Video pelajar dibelasah tersebar – Sinar Harian


Video pelajar dibelasah tersebar

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Jun 2013
Video pelajar dibelasah tersebar
Video terbabit dimuat turun dalam laman sosial sejak April lalu

BALING – Sebuah rakaman video memaparkan seorang remaja dibelasah oleh seorang lelaki dewasa yang didakwa berlaku di sebuah sekolah agama di sini mula tersebar di laman sosial.

Sebuah blog mendakwa lelaki dewasa itu merupakan seorang guru, manakala remaja itu merupakan pelajar di sekolah terbabit.

Video berdurasi 1.05 minit itu menunjukkan remaja terbabit ditampar, ditumbuk malah ditendang ala tomoi oleh lelaki dewasa terbabit.

Rakaman itu mula di muat turun dalam laman sosial sejak April lalu dan mendapat banyak kritikan daripada pengguna laman sosial.

Berdasarkan rakaman itu, remaja terbabit ditampar sekali di muka, ditumbuk di perut dan turut ditendang menggunakan lutut di perut.

Rakaman itu jelas menunjukkan remaja terbabit berada dalam kesakitan bagaimanapun, lelaki terbabit terus membelasah remaja terbabit tanpa belas kasihan.

Rakaman awal turut menunjukkan terdapat beberapa remaja yang berada dalam barisan berdekatan tempat kejadian, bagaimanapun, mereka seolah-olah tidak berani untuk mempertahankan mangsa.

Bagaimanapun, Jurucakap Polis Daerah Baling mengesahkan pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian berkenaan.

Pihak polis turut berharap pihak berkenaan dapat tampil membuat laporan polis bagi membolehkan pihaknya melakukan siasatan.

Pelajar dirogol bergilir-gilir – Sinar Harian


Pelajar dirogol bergilir-gilir

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Mei 2013
 Azham Othman
Azham Othman

KOTA BHARU – Akibat terlalu percaya kepada teman lelakinya, seorang pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah sekolah di daerah ini dirogol secara bergilir-gilir oleh enam lelaki dikenali termasuk kekasihnya sendiri, dalam kejadian di Kampung Tok Akil di sini Jumaat lalu.

Sebelum kejadian, mangsa dipercayai keluar dari rumah pada jam 1 pagi mengikut teman lelakinya ke rumah datuk salah seorang rakan kekasihnya itu di Kampung Tok Akil di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa yang dipercayai masuk ke dalam rumah berkenaan selepas menemani teman lelakinya itu dan kemudiannya dirogol bergilir-gilir.

“Hasil laporan awal yang diperoleh dari pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor, terdapat kesan koyakkan baru pada kemaluan mangsa.

“Selepas menerima aduan daripada mangsa, pihak polis terus melakukan serbuan di kampung terbabit dan berjaya menahan enam lelaki berumur antara 17 hingga 18 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Azham berkata, kesemua suspek yang ditahan merupakan bekas pelajar tingkatan lima yang juga merupakan sekolah mangsa berkenaan.

“Kes terbabit disiasat di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tukang kebun terkejut temui mayat di sekolah


Tukang kebun terkejut temui mayat di sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013

KOTA TINGGI – Seorang tukang kebun Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Dr Syed Nasir di Felda Pasak di sini  terkejut apabila kehadirannya untuk memotong rumput di belakang bangunan sekolah itu pagi tadi membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki.

Lelaki terbabit dipercayai berada di sekolah itu untuk mencuri wayar tembaga.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian tersebut berkata, siasatan awal mendapati usaha lelaki terbabit gagal apabila terjatuh dari bangunan sekolah setinggi tiga tingkat sebelum mati di tempat kejadian.

“Turut dijumpai di tempat kejadian pemotong wayar, tiga gulung wayar tembaga serta motosikal dipercayai milik mangsa yang ditinggalkan tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk urusan bedah siasat.

Remaja lari dari rumah perlindungan – Sinar Harian


Remaja lari dari rumah perlindungan

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Oktober 2012
lari dari rumah perlindungan
Keempat-empat remaja yang melarikan diri dari rumah perlindungan mendapat pertolongan dari bapa angkat salah seorang remaja itu.

BATU PAHAT – Empat remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun mendakwa menerima layanan buruk ketika ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Negeri Sembilan, sehingga bertindak melarikan diri 8 Oktober lalu.

Pada hari berkenaan, mereka sanggup berjalan kaki hampir 20 kilometer sebelum menumpang sebuah kenderaan.

Setibanya di Melaka kira-kira jam 4 petang, salah seorang daripada mereka kemudiannya menghubungi bapa angkatnya untuk menjemput mereka.

“Bapa angkat saya tiba pada jam 7 malam dan membawa kami pulang ke rumahnya.

“Kami tidak mahu pulang ke rumah tersebut walaupun bapa angkat memujuk ketika itu,” kata salah seorang remaja berkenaan.

Kumpulan empat remaja ini mendakwa tidak tahan dengan layanan yang diberikan oleh kakitangan di rumah perlindungan itu.

“Bukan sengaja kami melarikan diri, tetapi layanan buruk daripada kakitangan pusat perlindungan itu menyebabkan kami berempat tidak tahan lagi untuk tinggal di situ.

“Ada sahaja yang tidak kena sehingga perbuatan kasar itu menjadi rutin harian ,” katanya ketika ditemui di rumah bapa angkatnya di Kampung Parit Bengkok, Semerah, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, bapa angkat kepada salah seorang remaja itu, Mohd Yusof Othman, 51, berkata, dia berasa kesal sekiranya benar dakwaan yang dibuat oleh anak angkatnya itu.

“Saya sudah maklumkan kejadian ini kepada rumah perlindungan itu, namun pihak pengurusannya mahu saya menghantar mereka ke sana semula atau mengancam akan membuat laporan polis terhadap saya atas tuduhan melarikan remaja berkenaan.

“Saya tumpangkan keempat- empat remaja ini kerana risaukan keselamatan mereka, niat saya hanyalah untuk membantu, katanya.

Sementara itu, jurucakap rumah perlindungan berkenaan ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum dengan kejadian tersebut.

“Kami sedang jalankan siasatan berkaitan kes itu dan pihak kami tidak boleh mengulas lanjut,” katanya.

Awasi anak dari bermain mercun – Sinar Harian


Awasi anak dari bermain mercun
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Ogos 2012
PASIR MAS – Ibu bapa dan golongan dewasa perlu memastikan anak-anak kecil diawasi sepenuhnya, agar mereka tidak leka membeli dan bermain mercun.

Aktivis masyarakat, Daud Abdullah berkata, meskipun kerajaan melarang penjualan barangan berasaskan mercun, namun anak-anak kecil dan remaja mempunyai cara tersendiri untuk mendapatkan bekalan mercun.

“Banyak kes melibatkan kecederaan dilaporkan dan yang terlibat adalah kanak-kanak dan remaja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, anak-anak perlu dididik mengenai kesan jangka panjang, yang mana jika berlaku sesuatu perkara, ia mungkin menjadi satu tragedi buruk sehingga boleh mengakibatkan kehilangan anggota badan mahupun nyawa.

Mengaku salah rogol remaja – Sinar Harian


Mengaku salah rogol remaja
WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Jun 2012
KUANTAN – Seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam diperintah menjalankan kerja kemasyarakatan selama empat jam sehari selama tiga bulan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah merogol remaja bawah umur pada 2008.

Hakim, Fathiyah Idris menetapkan hukuman tiga bulan perintah kehadiran wajib dan kerja kemasyarakatan berkuat kuasa semalam terhadap tertuduh, Raja Faez Raja Ngah, 20, dari Tanah Putih, di sini.

Sebelum itu, tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan seorang penjamin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh merogol mangsa bawah umur berusia 14 tahun 4 bulan di sebuah rumah di Taman Cenderawasih, di sini, pada Julai 2008, kira-kira jam 6 hingga 7 petang.

Tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Nor Nordin.

‘Macam mana anak saya nak ke sekolah’ – Sinar Harian


‘Macam mana anak saya nak ke sekolah’
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Jun 2012

Sharipah Ismail buntu memikirkan hal persekolahan anaknya selepas tinggal sehelai sepinggang akibat rumah yang didiaminya di Bukit Besi hangus dalam kebakaran huj
JERANGAU SUNGAI – “Sekolah akan dibuka semula sehari dua lagi, tapi anak saya masih tidak mempunyai pakaian sekolah kerana hangus dalam kebakaran tempoh hari, saya tidak tahu di mana harus mengadu. Itu luahan Sharipah Ismail, 46, ibu tunggal yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Bukit Besi, kira-kira jam 8.50 malam, 29 Mei lalu.

Sharipah yang kini menumpang teduh di rumah anak perempuannya, Norhayati Hitam, 25, dekat sini berkata, sebagai ibu tunggal, dia hanya bergantung harap dengan hasil menoreh getah bagi menyara kehidupan.

Menurutnya, kejadian kebakaran itu membuatkan fikirannya benar-benar buntu memikirkan nasib keluarganya kerana segala perkakas rumah serta pakaian sekolah anaknya, Fatira Hitam, 11, musnah dalam tragedi yang meranapkan rumah yang sebelum ini dihuni kakaknya, Rokiah Ismail, 56.

Sharipah berkata, disebabkan kemiskinan hidup, dia tiada tempat tinggal setelah suaminya, Hitam Muda,70 meninggal dunia tiga bulan lalu akibat asma.

“Saya tiada duit simpanan langsung, pendapatan dengan mengambil upah menoreh getah hanya cukup untuk membeli keperluan makanan sahaja, itu pun tidak menentu.

“Kalau anak saya tiada pakaian, bagaimana dia hendak ke sekolah dalam masa terdekat. Ini yang paling merunsingkan. Nak beli baru, saya tak ada duit, hidup sekarang pun menumpang di rumah anak,” katanya.

Sharipah berkata, sebagai warga miskin, apatah lagi wanita berstatus ibu tunggal yang tiada sumber pendapatan, dia amat berharap agar pihak berkenaan dapat menyediakan tempat tinggal untuk membolehkan dia dua beranak berteduh bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, sebagai insan daif, dia tidak tahu bagaimana ingin membebaskan dirinya dari kemelut kemiskinan yang sentiasa menghimpit kehidupannya.

“Bagi mata yang memandang, mereka bercakap memang senang, tapi bagi saya yang melaluinya, hanya Tuhan tahu peritnya,” katanya.

13 buku latihan satu subjek – Sinar Harian


13 buku latihan satu subjek

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
13 buku latihan satu subjek

BAGAN DALAM – Nak mengajar atau menghukum, itu dua persoalan yang sering bermain di fikiran Abdul Jamil Othman, 52, selepas mendapati anak bongsunya terpaksa menggunakan 13 buku untuk menyiapkan latihan mata pelajaran Matematik yang diberi guru sepanjang tahun lalu.

Biarpun terpaksa bersengkang mata hingga lewat malam menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru, anaknya Mardhiah Safwan, 12, murid tahun enam sebuah sekolah rendah di sini tidak pernah memperoleh markah tinggi.

“Saya hairan kerana latihan yang diberikan guru terbabit seolah-olah ingin mendera anak saya, bukan menurunkan ilmu untuk mengajar dan menjadikannya cerdik.

“Mungkin lepas ini anak saya boleh mencatat nama sebagai murid yang paling banyak menggunakan buku untuk menyiapkan latihan mata pelajaran Matematiknya itu,” katanya.

Abdul Jamil yang tinggal di Rumah Pangsa Bagan Dalam di sini, berkata, sepatutnya jika anaknya itu sering membuat latihan dia akan menjadi cekap dalam mata pelajaran terbabit tetapi keadaan menjadi sebaliknya.

“Saya tak tahu apa motif sebenar guru itu memberikan latihan yang begitu banyak kepada anak saya kerana sepanjang pengetahuan, rakan sekelasnya tidak pula diarah berbuat demikian.

“Sepanjang tahun lalu anak saya terpaksa menggunakan 13 buku latihan hanya untuk mata pelajaran Matematik sahaja,” katanya.

Abdul Jamil berkata, dia tidak kisah menyediakan buku sebanyak itu demi pelajaran anaknya, tetapi dalam masa sama timbul kehairanan apakah motif sebenar guru mata pelajaran itu bertindak sedemikian.

“Saya berharap untuk sesi persekolahan tahun ini anak saya diberi pendidikan sama seperti rakannya yang lain dan tidak diarah melakukan perkara berbeza hingga menimbulkan tanda tanya dan tidak boleh diterima akal,” katanya.