Sambung belajar – Metro


Sambung belajar
KUALA LUMPUR: Kakitangan kerajaan dan swasta, terutama golongan pendidik, disaran melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi dalam memastikan kredibiliti profesion mereka meningkat dengan menggunakan saluran pendidikan sedia ada.

Canselor Wawasan Open University (WOU), Tun Dr Lim Keng Yaik berkata, sistem pendidikan yang fleksibel membolehkan golongan bekerja membahagikan masa dengan sebaik-baiknya tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab profesional.
Beliau yang juga bekas Presiden Gerakan berkata, golongan pendidik yang hanya memiliki kelulusan diploma digalakkan merebut peluang ditawarkan institusi pengajian, sekali gus memberi manfaat kepada diri sendiri, sama ada daripada segi pendapatan, jawatan mahupun keluarga.

“Dipercayai hanya 20 peratus daripada lebih 10 juta sumber tenaga negara merebut peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, manakala selebihnya selesa dengan kedudukan sekarang.
“Dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, kita memerlukan tenaga kerja berkaliber, mahir dan berpengetahuan tinggi, sekali gus meningkatkan industri perniagaan, kerajaan serta negara.
“Walaupun beberapa kali kita cuba mempromosikan sistem pembelajaran sepanjang hayat di kalangan masyarakat, ia seakan-akan tidak berjaya.

“Malah, puncanya turut gagal dikenal pasti, sama ada rakyat berpuas hati dengan kelayakan dimiliki atau tersilap kaedah promosi,” katanya ketika menghadiri Majlis Konvokesyen Istimewa WOU, semalam.
Jelasnya, sistem pembelajaran bagi golongan dewasa mempunyai kepentingan sama seperti di kalangan generasi muda dalam mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian negara pada masa depan.

Katanya, umur median bagi pekerja Malaysia adalah 27 tahun dan mereka dijangkakan berada dalam lapangan kerja untuk tempoh 30 tahun atau lebih, berikutan itu pendidikan secara berterusan sangat penting.
Justeru, pelaksanaan sistem pembelajaran sepanjang hayat harus diserahkan ke tangan agensi pendidikan seperti sekolah, kolej serta universiti bagi memastikan ia berjalan lancar.
Sempena majlis konvokesyen, Lim menyerahkan ijazah kehormat kepada tiga individu iaitu Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Holdings Berhad, Datuk Seri Nazir Razak; Pengerusi East Asean Institute, Profesor Emeritus Wang Gungwu dan R Padmanathan.