Isu pelajar Cina: Kementerian Pendidikan nafi dakwaan Ka Siong – Utusan


Isu pelajar Cina: Kementerian Pendidikan nafi dakwaan Ka Siong

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong bahawa hanya 19 peratus pelajar Cina yang mencatat Purata Penilaian Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya memberitahu, bagi sesi akademik 2012/2014, seramai 3,584 pelajar mendapat PNGK 4.0 dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,275 merupakan pelajar keturunan Cina.

Katanya, selebihnya meliputi pelajar bumiputera iaitu 1,673; pelajar India seramai 361 dan lain-lain keturunan sebanyak 275 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 3,545 pelajar telah ditawarkan tempat ke IPTA. Ini jelas menunjukkan sebanyak 99 peratus pelajar yang memperoleh PNGK 4.0 mendapat tempat di IPTA dan hanya satu peratus tidak menerima tawaran,” kata kenyataan kementerian tersebut di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kementerian Pendidikan memberitahu, kegagalan 39 pelajar berkenaan mendapat tempat di IPTA adalah disebabkan beberapa faktor.

Katanya, antara faktor tersebut meliputi pelajar tidak memenuhi syarat khusus program; unjuran tempat telah penuh terutamanya program perubatan, pergigian dan farmasi serta pelajar membuat pernyataan ‘Tidak’ sekiranya ditawarkan program selain daripada yang dipohon.

“Selain itu, sebab kegagalan golongan ini mendapat tawaran ke IPTA adalah kerana gagal dalam saringan temuduga dan pelajar berada pada merit yang rendah kerana markah kokurikulum yang rendah,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan turut menafikan dakwaan Ka Siong bahawa sistem kuota yang diperkenalkan pada 2002 adalah satu bentuk sistem yang lebih buruk dan telah membawa kepada kemerosotan kadar kemasukan pelajar Cina ke dalam lapan bidang kritikal di IPTA.

Menurut kementerian itu, dasar meritokrasi yang dilaksanakan adalah mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum untuk menjana markah merit calon.

“Sehubungan itu, penetapan merit tidak hanya melihat kepada pencapaian akademik semata-mata. Penentuan dibuat dengan mengambil kira kedua-dua elemen akademik dan kokurikulum calon untuk memastikan IPTA melahirkan graduan yang holistik,” kata kementerian itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130803/dn_03/Isu-pelajar-Cina-Kementerian-Pendidikan-nafi-dakwaan-Ka-Siong#ixzz2ar65wGZ6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tambah Baik Sekolah Berisiko Banjir – Ka Siong – Bernama


Tambah Baik Sekolah Berisiko Banjir – Ka Siong

KANGAR: Kementerian Pelajaran akan memastikan projek pembangunan sekolah di kawasan berisiko banjir turut mengambil kira aspek tambahan termasuk meningkatkan ketinggian lantai bangunan sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Selain itu, pihaknya juga mengkaji kemungkinan membina bangunan sekolah yang lebih tinggi di kawasan berisiko seperti membina blok setinggi tiga tingkat, katanya pada Jumaat.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat projek pembangunan sekolah di negeri ini, beliau berkata kerajaan tidak akan meminggirkan pembangunan sekolah di kawasan berisiko banjir kerana ia merupakan satu keperluan.

“Kita mungkin bina tapak bangunan yang lebih tinggi walaupun ia tidak memberi jaminan bebas daripada ancaman banjir,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang meneliti sekolah yang memerlukan sistem pendawaian dikemas kini demi keselamatan sekolah dan pelajar.

Mengenai lawatannya, Wee berkata ia bertujuan meninjau pelaksanaan projek tambahan dan pembaikan enam buah sekolah bantuan kerajaan yang membabitkan peruntukan RM1 juta.

“Setakat ini saya amat berpuas hati dengan pelaksanaan pembangunan enam sekolah berkenaan termasuk dua projek yang hampir siap,” katanya.

Mengenai perhimpunan pembangkang di ibu negara esok, beliau yang juga Ketua Pemuda MCA berharap para pelajar tidak dieksploitasi untuk tujuan politik pembangkang.

Katanya ibu bapa perlu memastikan anak mereka memberi tumpuan kepada pelajaran dan tidak menyertai sebarang kegiatan yang merugikan mereka. –BERNAMA

Jangan heret pelajar dan kanak-kanak sertai perhimpunan – Berita Harian


Jangan heret pelajar dan kanak-kanak sertai perhimpunan

2013/01/11 – 14:19:18 PMCetakEmel Kawan
KANGAR: Kerajaan memberi peringatan kepada pembangkang supaya tidak mengheret pelajar sekolah dan kanak-kanak menyertai himpunan KL112 esok bagi memastikan keselamatan golongan itu terjamin.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pembangkang tidak boleh mengeksploitasikan pelajar sekolah dan kanak-kanak dengan mengheret sama golongan itu menyertai perhimpunan berkenaan semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik mereka semat-mata.

Beliau berkata, ibu bapa juga dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian kerana ia disifatkan satu tindakan tidak wajar yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada golongan itu sekiranya berlaku perkara luar jangkaaan.

“Tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang membenarkan penyertaan pelajar sekolah dalam perhimpunan seperti ini bagi menjamin keselamatan mereka.

“Justeru, kita mengingatkan pelajar sekolah supaya tidak terbabit dengan perkara seumpama itu, tambahan sekolah baru bermula seminggu dan adalah lebih baik mereka bagi tumpuan terhadap pelajaran,” katanya.

Keputusan pelajar bawa iPad, telefon bimbit akhir tahun ini – Bernama


Keputusan pelajar bawa iPad, telefon bimbit akhir tahun ini

16 Ogos 2012

KUCHING – Cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan akan diputuskan menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pandangan daripada semua pihak berkepentingan akan diambil kira sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung cadangan tersebut.

Sebelum ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional tidak merestui cadangan Kementerian Pelajaran itu atas alasan ia membawa lebih banyak keburukan terutama dari segi tumpuan pelajar terhadap pembelajaran.

Wee berkata cadangan itu adalah selari dengan perkembangan semasa serta garis panduan akan ditetapkan bagi mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelak ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek bantuan tahunan sebanyak RM11.2 juta kepada 165 buah sekolah jenis kebangsaan (SJK) bantuan kerajaan dan sekolah mubaligh aliran Cina di sini hari ini.

Wee juga berkata kementerian akan memperbaiki bangunan sekolah SJK yang usang di Sarawak termasuk menggantikan struktur bumbung, perabot serta menambah kapasiti bilangan murid.- Bernama

Kementerian Pelajaran Tidak Halang Inisiatif PIBG Kumpul Dana – Bernama


Kementerian Pelajaran Tidak Halang Inisiatif PIBG Kumpul Dana
IPOH: Kementerian Pelajaran mengalu-alukan inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah mengutip derma bagi mengumpul dana untuk tujuan aktiviti pelajar dengan syarat ia perlu mendapatkan kelulusan pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pengarah JPN perlu memperhalusi sebab dan tujuan kutipan derma itu sebelum memberikan kelulusan.

“Kita mengalu-alukan apa juga inisiatif di bawah persatuan (PIBG) itu tetapi ia tertakluk kepada kelulusan pengarah JPN…perlu perhalusi permohonan itu,”katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek bantuan modal Sekolah Bantuan Kerajaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah JenisKebangsaan (SMJK) di SMJK Sam Tet di sini, Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah kerana ia sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.

Bagaimanapun beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan dermaseperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dansebagainya.

Wee berkata, pihak kementerian tidak pernah menghalang inisiatif PIBG bagi mengumpul dana contohnya bagi tujuan pembinaan gelanggang sukan yang lebih canggih dan moden serta program peningkatan akademik pelajarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian akan selesai mengagihkan bantuan modal kepada semua Sekolah Bantuan Kerajaan dalam tempoh sebulan mulai Ogos.

“Majoriti sekolah akan terima sebelum Aidilfitri, namun kerana kita akan bercuti hari raya ada negeri yang akan menerimanya selepas itu. Kita akan menjadualkan semula penyerahan bantuan itu,” katanya.

Beliau berkata, pembayaran bantuan modal kepada SJKC, SJK Tamil, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Mubaligh adalah janji kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012.

“Kerajaan sangat komited untuk bidang pendidikan dan inilah janji kita yangsemuanya ditepati,” katanya.

Bagi negeri Perak bantuan modal sebanyak RM16.53 juta diagihkan kepada 96 buah SJKC dan 17 buah SMJK, katanya. – BERNAMA

Kerajaan Lulus Pembinaan Sekolah Bebas Cina Di Kuantan – mStar


Kerajaan Lulus Pembinaan Sekolah Bebas Cina Di Kuantan
Oleh TAN EE LOO

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi lampu hijau untuk membina sekolah bebas Cina di Kuantan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, sekolah baru itu akan berdasarkan model yang digunakan oleh Sekolah Tinggi Bebas Chong Hwa, Kuala Lumpur, menawarkan peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Cina (UEC) dan SPM.

Pengumuman itu dibuat lebih dua bulan selepas perhimpunan di Kuantan 20 Mei lalu bagi mendesak pembinaan sekolah bebas Cina di sana.

Bantah pelajar bawa telefon bimbit ke sekolah – Sinar Harian


Bantah pelajar bawa telefon bimbit ke sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Julai 2012

Shamsul Bahar
ALOR SETAR – Cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah perlu dikaji semula kerana dibimbangi akan mengundang kepada masalah sosial yang lebih serius.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, kaedah terbaik perlu dicari untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin sewaktu berada di sekolah.

“Membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik yang boleh menjamin keselamatan .

“Sebaliknya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu pada, guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan masing-masing berhubung isu ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang, Shaharol Niza Omar berkata, walaupun tanpa telefon bimbit dan gajet seperti iPad, masalah disiplin pelajar adalah tidak terkawal pada masa kini, apatah lagi jika cadangan itu dibenarkan.

Menurutnya, adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, mengumumkan bahawa pelajar sekolah dibenarkan membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah.

“Kita tidak menafikan bahawa telefon bimbit adalah keperluan tetapi di kalangan pelajar tetapi penggunaannya pada tahap minima.

“Sekiranya masalah menghubungi keluarga dijadikan alasan sewaktu kecemasan, ia tidak logik kerana masih ada pilihan telefon awam atau telefon sekolah,” katanya.

Shaharol Niza berkata, terdapat beberapa perkara yang membimbangkan antaranya dikhuatiri boleh menjejaskan tumpuan pelajar sewaktu dalam kelas dan masa senggang untuk mengulang kaji pelajaran akan digunakan untuk ‘bersosial’ bersama rakan menerusi telefon bimbit.

“Malah, kecanggihan teknologi juga dibimbangi akan membolehkan pelajar mengakses laman yang tidak sewajarnya, jika tiada pemantauan rapi dibuat.

“Beberapa lagi kemungkinan yang timbul ialah berlaku peningkatan kes kecurian di sekolah, sikap menunjuk-nunjuk dan berlumba memiliki telefon bimbit paling canggih, selain membebankan ibu bapa dan waris,” katanya.

Menurutnya, kementerian seharusnya bersikap realistik sebelum memutuskan cadangan itu kerana kewujudan makmal komputer dengan pemantauan guru sudah memadai .

Bantah pelajar bawa telefon – Utusan


Bantah pelajar bawa telefon

Oleh SOFIAN BAHAROM dan AZHARI ZAINOODDIN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Julai – Langkah membenarkan para pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah dikhuatiri boleh menyebabkan tumpuan mereka terhadap pembelajaran di dalam kelas terganggu.

Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, selain tidak sesuai dilaksanakan kerana memberi kesan terhadap fokus pelajar, ia juga boleh mewujudkan jurang antara pelajar berkemampuan dan kurang berkemampuan.

”Perkara ini perlu dikaji kerana dikhuatiri ia akan menganggu fokus para pelajar ketika di dalam kelas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong kelmarin, berhubung kebenaran kepada pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan seperti yang digariskan menerusi Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012.

Bawa telefon, iPad ke sekolah – Utusan


Bawa telefon, iPad ke sekolah

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 16 Julai – Kementerian Pelajaran sedang merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang akan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bagaimanapun akan menetapkan garis panduan yang mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Menurutnya, keputusan untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah adalah selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar.

”Sebelum ini, para ibu bapa pernah beberapa kali meminta Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, ini bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka,” katanya.

Agenda pendidikan negara tanggungjawab semua: TPM – Bernama


Agenda pendidikan negara tanggungjawab semua: TPM

2012/04/25

SERDANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata agenda pendidikan negara tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian oleh kerajaan, sebaliknya membabitkan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan ia mencapai taraf dan kualiti tinggi setanding negara maju.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi mencapai kejayaan itu, kekuatan kerjasama dalam dan luar sekolah khususnya hubungan yang erat antara sekolah dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) perlu sentiasa dipertingkatkan.

“Memandangkan pendidikan hari ini berdepan dengan cabaran globalisasi, fenomena sosial yang sangat mencabar serta aspirasi yang perlu dicapai, maka usaha bersepadu harus dilakukan demi perubahan dari segi pemikiran dan pendekatan, sejajar dengan kehendak dan perubahan pendidikan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis anugerah cemerlang PIBG kebangsaan 2011 yang julung kali diadakan bertemakan “PIBG Pemangkin Gagasan 1Malaysia”, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha, Datuk Dr Rosli Mohamed; dan Ketua Pengarah, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pembabitan ibu bapa secara berterusan amat diperlukan bagi membolehkan perkembangan semasa persekolahan anak-anak dapat diikuti sekaligus membantu pengurusan sekolah merencanakan pembangunan aktiviti sekolah secara bersepadu.

Katanya, masih ada lagi ruang yang perlu diisi untuk memantapkannya lagi dengan memastikan keperluan persekolahan anak-anak dipenuhi.
“Justeru PIBG diharap dapat membantu terutamanya dalam menyediakan program-program pembangunan sahsiah murid yang lebih komprehensif atau pembangunan peningkatan prestasi yang lebih tersusun selain daripada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah,” katanya.

Muhyiddin berkata, oleh kerana sistem pendidikan negara kini mempunyai fungsi sosial dan ekonomi yang jauh lebih mencabar daripada dahulu, pihak yang terbabit dalam sektor itu perlu memastikan potensi generasi muda secara menyeluruh dan sempurna supaya mereka dapat bersaing dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.

Justeru, katanya, soal berkaitan kualiti guru, kepimpinan sekolah, kurikulum dan pentaksiran, kemampuan murid menguasai pelbagai bahasa, peluang pasca-menengah bagi setiap murid, peranan ibu bapa dan masyarakat, pengggunaan sumber secara cekap dan berkesan serta kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian pendidikan negara harus diberi perhatian serius.

“Jika semua aspek penting ini dapat kita mantapkan melalui satu proses transformasi pendidikan secara menyeluruh, saya pasti generasi muda kita pada masa kini mampu dipersiapkan untuk menerajui negara pada masa akan datang,” katanya.

Muhyiddin berkata, pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaya dan miskin atau bandar dan luar bandar.

Katanya, sektor pendidikan adalah elemen penting dalam menyediakan modal insan yang mampan bagi memastikan apa yang dihasratkan oleh kerajaan dapat direalisasikan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, berkebolehan untuk menguasai dan mengaplikasi ilmu serta memiliki daya kreativiti dan inovasi yang tinggi,” katanya.

Menyentuh mengenai anugerah PIBG, Muhyiddin berkata ia relevan dengan matlamat supaya ibu bapa dapat bersama-sama memainkan peranan dalam usaha membangunkan modal insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Pada majlis itu, PIBG Sekolah Menengah Agama Jaim Al-Ehya Al-Karim, Melaka yang diumumkan sebagai PIBG terbaik peringkat nasional 2011 menerima wang tunai RM50,000, piala pusingan Menteri Pelajaran dan sijil penghargaan daripada Muhyiddin. – BERNAMA