Rogol pelajar: Pemuda dipenjara 14 tahun, sebatan – Utusan


Rogol pelajar: Pemuda dipenjara 14 tahun, sebatan

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 8 Mac – Seorang pemuda berusia 26 tahun dihukum penjara 14 tahun dan sebatan tiga kali atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur, lima tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhirnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha sebulat suara menambah hukuman penjara terhadap Mohd. Muhsinun Wahab daripada tujuh tahun kepada 14 tahun dan sebatan selepas menolak rayuannya.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Mah Weng Kwai menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60(2) Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meminda hukuman tersebut.

Pada 11 April 2011, Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun manakala Mahkamah Tinggi Alor Setar mengekalkan hukuman itu pada 21 Februari tahun lalu.

Pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan. Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, hukuman diperintah berkuat kuasa mulai hari ini.

Dalam keputusannya, panel itu berpendirian, hukuman penjara tujuh tahun yang dikenakan sangat tidak mencukupi berbanding berat kesalahan yang dilakukan.

Hakim Jeffrey menyatakan, faktor kesalahan pertama lelaki itu tidak boleh dijadikan alasan untuk meringankan hukuman jika melibatkan perbuatan yang serius.

Mohd. Muhsinun didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun kira-kira pukul 8 malam, 5 Oktober 2008 di sebuah pondok di ladang kelapa sawit Padang Serai, Kulim.

Perayu ketika itu berusia 21 tahun manakala mangsa masih bersekolah. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

Keterangan kes menyatakan, sebelum kejadian, mangsa bersama-sama seorang rakan wanitanya berada di sebuah pusat beli-belah. Dia kemudian menelefon abang angkatnya agar menghantarnya pulang.

Abang angkatnya tiba bersama Mohd. Muhsinun menaiki dua buah motosikal. Abang angkatnya menghantar rakan wanita mangsa manakala gadis tersebut dihantar pulang oleh perayu.

Mohd. Muhsinun sebaliknya melencong ke arah ladang kelapa sawit dan merogol mangsa di pondok tersebut. Dia kemudian menelefon tujuh lagi rakannya agar datang ke situ lalu mangsa dirogol bergilir-gilir.

Perayu diwakili oleh peguam Aqbal Shiffuddin manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130308/ma_06/Rogol-pelajar-Pemuda-dipenjara-14-tahun-sebatan#ixzz2N3FhVtwL
© Utusan Melayu (M) Bhd

 Rogol: Mahkamah Kekalkan Hukuman Penjara 16 Tahun, 10 Sebatan Terhadap Buruh – Bernama


 

Rogol: Mahkamah Kekalkan Hukuman Penjara 16 Tahun, 10 Sebatan Terhadap Buruh

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan rotan terhadap seorang buruh yang merogol adik ipar bawah umur di ladang getah pada 2008.

Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 34 tahun itu terhadap sabitan, hukuman penjara dan sebatan.

Tan berkata selepas meneliti keterangan mangsa, mahkamah yakin terdapat bukti jelas berlaku penembusan.

Beliau berkata mahkamah tidak ditunjukkan sebarang alasan mengapa ia harus mengubah keputusan Mahkamah Sesyen justeru mahkamah tidak dapat mencari sebarang sebab untuk mengganggu keputusan itu.

Ketika menolak rayuan lelaki itu terhadap hukumannya, Tan berkata hukuman penjara dan sebatan yang diputuskan Mahkamah Sesyen tidak keterlaluan.

“Kami tidak boleh mengambil peranan mahkamah yang menjatuhkan hukuman. Selagi hukuman itu tidak keterlaluan, ia bukanlah fungsi Mahkamah Rayuan untuk mengganggu hukuman yang diputuskan mahkamah rendah,” kata Tan yang mengetuai panel itu bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohtarudin Baki dan Datuk Mah Weng Kwai.

Pada 27 Januari 2011, Mahkamah Sesyen Sungai Petani mendapati tertuduh bersalah merogol mangsa, yang ketika itu berusia 15 tahun satu bulan, di ladang getah di daerah Kuala Muda, Kedah antara 1.30 tengah hari dan 4 petang pada 7 November 2008.

Mahkamah Sesyen mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan rotan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 November 2008.

Pada 3 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman.

Berdasarkan fakta kes mangsa membonceng motosikal yang ditunggang tertuduh selepas gadis itu diminta mengikutnya ke pusat membeli-belah tetapi sebaliknya tertuduh membawa mangsa ke ladang getah sebaik hujan mulai turun.

Peguam K.T.Jayaraj yang dilantik Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan cawangan Kedah mewakili tertuduh, dalam hujahannya mempertikaikan sama ada berlaku hubungan seks kerana beliau berkata tiada bukti jelas menunjukkan ia berlaku.

Timbalan Pendakwa Raya Munahyza Mustapha berkata mangsa yang memberi keterangan bahawa terdapat penembusan, adalah seorang saksi yang boleh dipercayai.BERNAMA