Limpa rosak akibat ditendang- Berita Harian


Limpa rosak akibat ditendang

Radin (kanan) menunjukkan luka pembedahan anaknya kepada Michael Chong dan Muhd Khairun di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.Radin (kanan) menunjukkan luka pembedahan anaknya kepada Michael Chong dan Muhd Khairun di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Akibat melewatkan solat Asar, seorang pelajar Tingkatan Dua ditendang beberapa kali di perut oleh lima rakannya di dalam bilik air asrama sekolahnya.

Berikutan kejadian itu, Muhammad Ridwan Radin, 14, pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat Maahad Al-Islah, Parit Sungai Lampan, Teluk Intan, terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang limpanya kerana koyak akibat hentakan kuat.

Terpaksa ambil antibiotik hingga umur 21 tahun

Lebih malang, anak sulung daripada tiga beradik itu terpaksa mengambil antibiotik sehingga berusia 21 tahun.

Dalam kejadian 29 Jun lalu, mangsa berada dalam tandas asrama apabila didatangi lima rakannya yang bertanyakan sama ada sudah menunaikan solat Asar.

Mangsa yang menjawab belum kerana mahu mandi dulu terus disepak salah seorang rakannya sebelum mangsa berlari ke biliknya. Namun, mereka mengikutnya ke bilik dan terus menyerangnya.

“Saya kemudian memaklumkan kejadian itu kepada rakan, namun tidak menceritakan kepada keluarga atau guru kerana takut dimarahi. Akibat terlalu sakit di perut, saya meminta guru supaya menghubungi bapa,” katanya ketika di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusinya, Datuk Seri Micheal Chong dan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh.

Bapa mangsa, Radin Mohd Nor Ashikin Osman, 38, berkata beliau dihubungi guru sekolah meminta mengambil anaknya yang mengadu sakit perut.

Beliau yang tinggal di Setapak, kemudian membawa anaknya ke Klinik Teluk Intan, namun kesakitan dialami anak sulungnya semakin teruk sebelum merujuknya ke Hospital Kuala Lumpur. (HKL).