Empat pelajar sekolah ditahan – Sinar Harian


Empat pelajar sekolah ditahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 April 2013
Empat pelajar sekolah ditahan
Mohd Nor (dua, kiri) bersama anggotanya melihat motosikal yang berjaya dirampas berikutan penahanan suspek kes curi kenderaan berkenaan.

KOTA TINGGI – Penahanan tujuh suspek termasuk empat pelajar sekolah oleh polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi, sekaligus  berjaya menumpaskan antara geng remaja yang terlibat dalam kes kecurian motosikal di  daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, pihaknya mendapati semua suspek berusia  antara 13 hingga 18 tahun itu baru pertama kali  melakukan jenayah tersebut.

Menurutnya, polis berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang pelajar tingkatan  empat pada 29 Mac lalu, kira-kira jam  12.40 malam, berikutan laporan kehilangan dua motosikal di Taman Kota Jaya.

Jelasnya, ekoran penahanan tiga suspek itu, pihaknya berjaya melakukan tangkapan susulan ke atas empat lagi suspek termasuk seorang pelajar tingkatan satu dan dua pelajar  tingkatan tiga.

“Kita juga berjaya menemui motosikal  jenis Yamaha 125Z dan motosikal jenis Yamaha Lagenda serta beberapa komponen motosikal yang telah dileraikan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kita percaya ekoran penahanan suspek, kita telah berjaya menyelesaikan  sekurang-kurangnya lima kes kecurian  motosikal di sekitar daerah ini,” katanya.

Mohd Nor berkata, kejayaan tersebut juga adalah hasil penubuhan ‘task force’ pada akhir Februari lalu, di mana pihaknya telah banyak menyelesaikan kes curi motosikal sama ada  melibatkan kumpulan atau individu.

Menurutnya, sebanyak tiga kes kecurian motosikal yang membabitkan daerah luar iaitu di Setia Indah, Johor Jaya dan juga Pasir Gudang juga berjaya diselesaikan berikutan tangkapannya lima suspek secara berasingan.

Cuti akhir persekolahan – Sinar Harian


Cuti akhir persekolahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013
Cuti akhir persekolahan
Keadaan mangsa yang maut selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah kenderaan.

RAWANG – Kegembiraan seorang pelajar menghabiskan cuti akhir persekolahan bersama rakannya berakhir tragedi apabila motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan di kilometer 14 Jalan KL-Ipoh, pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.56 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125z dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mandi di sebuah kolam air panas dekat sini.

Jurucakap Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berkata, mangsa Izat Muadzam Junaidi, 16, beralamat di Jalan Klang Lama disahkan maut akibat kecederaan dalaman.

Menurutnya, siasatan awal kemalangan mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah Rawang menghala ke Kuala Lumpur dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan.

Pemandu kenderaan yang masih belum dapat dikenalpasti itu dikatakan melarikan diri selepas kejadian berlaku.

“Mangsa yang hilang kawalan akibat geselan dengan kenderaan lain terpelanting dan tercampak di lorong kiri jalan.

“Kenderaan yang bergesel dengan motosikal mangsa dipercayai melarikan diri dan masih dikesan sehingga kini,” katanya.

Kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mangsa didapati tiada lesen memandu.

Sehubungan itu, saksi kemalangan atau mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,  Inspektor Muhamad Izam Ibrahim di talian 03-61262273, 03-61262257 atau 013-2006111 untuk membantu siasatan.