Empat pelajar sekolah ditahan
14 April 2013

Mohd Nor (dua, kiri) bersama anggotanya melihat motosikal yang berjaya dirampas berikutan penahanan suspek kes curi kenderaan berkenaan.
KOTA TINGGI – Penahanan tujuh suspek termasuk empat pelajar sekolah oleh polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi, sekaligus berjaya menumpaskan antara geng remaja yang terlibat dalam kes kecurian motosikal di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, pihaknya mendapati semua suspek berusia antara 13 hingga 18 tahun itu baru pertama kali melakukan jenayah tersebut.
Menurutnya, polis berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang pelajar tingkatan empat pada 29 Mac lalu, kira-kira jam 12.40 malam, berikutan laporan kehilangan dua motosikal di Taman Kota Jaya.
Jelasnya, ekoran penahanan tiga suspek itu, pihaknya berjaya melakukan tangkapan susulan ke atas empat lagi suspek termasuk seorang pelajar tingkatan satu dan dua pelajar tingkatan tiga.
“Kita juga berjaya menemui motosikal jenis Yamaha 125Z dan motosikal jenis Yamaha Lagenda serta beberapa komponen motosikal yang telah dileraikan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kita percaya ekoran penahanan suspek, kita telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini,” katanya.
Mohd Nor berkata, kejayaan tersebut juga adalah hasil penubuhan ‘task force’ pada akhir Februari lalu, di mana pihaknya telah banyak menyelesaikan kes curi motosikal sama ada melibatkan kumpulan atau individu.
Menurutnya, sebanyak tiga kes kecurian motosikal yang membabitkan daerah luar iaitu di Setia Indah, Johor Jaya dan juga Pasir Gudang juga berjaya diselesaikan berikutan tangkapannya lima suspek secara berasingan.