Seminar mengenai LGBT diperluas kepada pegawai kerajaan – Bernama


Seminar mengenai LGBT diperluas kepada pegawai kerajaan

26 Februari 2013
Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr Mohd Puad Zarkashi

BUKIT MERTAJAM – Seminar penjelasan dan pemahaman mengenai gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad kini diperluas kepada penjawat awam khususnya daripada Jabatan Agama Islam.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, penyertaan pegawai kerajaan dalam seminar itu dapat meningkatkan kesedaran dan maklumat berhubung LGBT selain berkongsi maklumat dengan masyarakat.

“Oleh kerana banyak permintaan, maka kali ini kita libatkan juga pegawai-pegawai dari Jabatan Agama selain ibu bapa, PIBG (persatuan ibu bapa dan guru) dan guru-guru terutamanya guru kaunseling, guru hal ehwal pelajar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar keibubapaan mengenai ‘Menangani Isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT)’ di Universiti Teknologi Mara, di sini hari ini.

Beliau berkata seminar kali kedua diadakan di peringkat negeri Pulau Pinang itu merupakan yang ke-23 di seluruh negara, membabitkan penyertaan 20,500 orang yang terdiri daripada guru kaunseling, guru hal ehwal pelajar, guru pendidikan kesihatan dan PIBG setakat ini.

Mohd Puad berkata seminar keibubapaan itu akan diteruskan di seluruh negara susulan sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

“Usaha murni ini cukup berkesan, sebab itulah seminar ini sentiasa mendapat perhatian dan masih banyak lagi PIBG meminta kita mengadakan seminar ini di tempat mereka,” katanya.

Seminar sehari itu dihadiri lebih 1,000 peserta dan sebanyak dua kertas kerja dibentangkan oleh dua anggota panel iaitu Pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Sekolah-sekolah Putrajaya Datuk Shahlan Ismail serta perunding kaunseling dan motivasi Hushim Salleh.

Turut diadakan ialah sesi perkongsian pengalaman dengan individu yang pernah terlibat dengan gejala LGBT yang dikendalikan oleh Hushim.  – Bernama

Jangan malu bincang isu LGBT – Puad – Utusan


Jangan malu bincang isu LGBT – Puad

Oleh NORAZLINA ISMAIL

SEBAHAGIAN daripada kira-kira 1,000 peserta yang hadir Seminar Keibubapaan Menangani Isu LGBT yang di rasmikan Dr. Mohd. Puad Zarkashi di UiTM Cawangan Pulau Pinang di Bukit Mertajam hari ini. – UTUSAN.SAZALI CHE DIN

BUKIT MERTAJAM 26 Feb. – Masyarakat tidak perlu malu dan bersikap lebih terbuka untuk berbincang mengenai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) jika mahu benar-benar mahu gejala itu dibanteras segera.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, masyarakat harus memandang serius gejala berkenaan kerana LGBT bukan lagi isu yang berlaku di sekolah semata-mata sebaliknya melibatkan semua pihak.

“Kita perlu tahu bahawa masalah LGBT ini boleh ditangani dan seminar keibubapaan merupakan satu cara yang sesuai bukan untuk mendiskriminasi sebaliknya mendidik kumpulan yang terlibat dengan gejala ini supaya kembali ke pangkal jalan.

“Walaupun sesetengah negara mengiktiraf perhubungan dan perkahwinan sejenis, namun di Malaysia kita tidak boleh menerimanya kerana ia bukan sahaja ditentang agama, malah perlakuan itu juga terbukti membawa pelbagai keburukan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berucap di Seminar Keibubapaan Menangani Isu LGBT anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad yang dihadiri kira-kira 1,000 orang peserta di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130226/dn_31/Jangan-malu-bincang-isu-LGBT—Puad#ixzz2LzcfOxZZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

LGBT bukan isu remeh – Sinar Harian


LGBT bukan isu remeh

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Februari 2013
LGBT bukan isu remeh
Mohd Puad berbincang dengan guru dan ibu bapa yang hadir pada seminar berkenaan, semalam.

BATU PAHAT – Gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang menjadi masalah sosial dalam kalangan masyarakat masa kini tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia dilihat boleh menjadi penyumbang kepada HIV/Aids.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bukan sahaja penagih dadah yang membawa HIV/Aids, tetapi golongan LGBT juga penyumbang utama hasil aktiviti seks bebas sesama jenis.

“Bagi memerangi masalah itu dan mendidik murid-murid supaya tidak terlibat dengan LGBT, Kementerian Pelajaran tidak akan menyekat penglibatan guru dalam seminar (Keibubapaan-Menangani Isu LGBT) untuk pendedahan dan akan disampaikan kepada pelajar mereka.

“Selain memberitahu pelajar, mereka juga turut didedahkan langkah pencegahan dan akibatnya jika mengamalkan gejala buruk itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Keibubapaan (Menangani Isu LGBT) kali ke-22 peringkat Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, semalam.

Seminar anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang memberi pendedahan berhubung keburukan gejala LGBT itu dihadiri 3,500 tetamu terdiri daripada ibu bapa serta warga pendidik.

Lebih bermakna apabila seminar itu turut dihadiri dua bekas gay dan transgender yang telah insaf kesilapan pernah dilalui berkongsi pengalaman mengenai kesan dan keburukan gejala LGBT.

Mohd Puad berkata, seminar berkenaan yang sudah memasuki kali ke-22 itu mendapat sambutan luar biasa terutamanya di Selangor.

Menurutnya, seminar itu kini mula diadakan di peringkat daerah di Selangor seperti di Gombak, Kuala Selangor dan Ampang Jaya, namun hanya melibatkan golongan pendidik sahaja pada peringkat permulaan.

“Walaupun seminar itu tidak melibatkan murid-murid sekolah, namun penglibatan ibu bapa dan guru amat penting bagi menangani gejala LGBT yang dikesan mudah terdedah kepada remaja.

“Ibu bapa dan warga pendidik memainkan peranan penting untuk memantau dan mencegah jika mendapati anak mereka atau anak murid dikesan menunjukkan simptom terjebak ke arah gejala LGBT.

“Kita tidak mahu mendiskriminasikan mereka yang terlibat dalam LGBT, tetapi gejala yang boleh membawa kepada liberalisme agama ini perlu ditangani lebih awal dan cepat supaya ia tidak merosakkan norma kehidupan,” katanya.

LGBT: Guru perlu kreatif didik pelajar – Utusan


LGBT: Guru perlu kreatif didik pelajar

Sebahagian daripada guru dan ibu bapa yang menghadirI Seminar Keibubapaan Menangani Isu LGBT di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

BUKIT MERTAJAM 31 Jan. – Guru perlu mengunakan kreativiti mereka untuk mendedahkan pelajar kepada kesan buruk gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang kini merupakan masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya menyedari gejala itu semakin menular di negara ini dan satu langkah segera lebih proaktif harus diambil bagi menanganinya.

Ekoran itu ujarnya, kementerian memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan Reproduktif di sekolah yang menekankan isu-isu pendidikan seks dalam kalangan pelajar.

“Selain itu, melalui transformasi pendidikan yang dibuat, mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral juga diperkemaskan bagi menyediakan pelajar yang lebih matang tentang isu-isu berkaitan sosial.

“Biarpun tiada garis panduan khusus tetapi guru-guru terutama kaunselor dan guru hal ehwal murid harus lebih kreatif untuk menjelaskan isu ini kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan Menangani Isu LGBT di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Seminar sehari anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-sekolah Putrajaya itu adalah kali kedua diadakan di Pulau Pinang.

Tambah Mohd. Puad, pada masa sama peranan untuk menangani isu LGBT dalam kalangan pelajar sekolah juga tidak terletak di bahu guru semata-mata tetapi melibatkan ibu bapa dan masyarakat.

“Ini kerana tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang mengetahui tanda-tanda awal seseorang pelajar itu terjebak atau mengenali simptom LGBT sebelum terdedah lebih jauh,” katanya.

Jelasnya, ibu bapa sendiri harus mengawal anak masing-masing sejak di bangku sekolah lagi serta mendidik mereka tentang gejala sosial yang serius itu.

“Isu ini harus dicegah dari peringkat awal lagi dan tidak hanya dibincangkan apabila berlaku sesuatu kes melibatkan sekolah yang dilanda masalah LGBT,” ujarnya.

“Oleh itu, peranan ibu bapa di dalam PIBG juga amat diharapkan agar ditangani sebaiknya serta pencegahan awal dapat dibuat dan tidak hanya menunggu program pemulihan,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130201/dn_07/LGBT-Guru-perlu-kreatif-didik-pelajar#ixzz2JeQ0iX9a
© Utusan Melayu (M) Bhd

LGBT Penyakit Boleh Dirawat – Dr Puad – mStar


LGBT Penyakit Boleh Dirawat – Dr Puad

Oleh TEH ENG HOCK

SHAH ALAM: Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi menyifatkan kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai penyakit yang boleh dirawat.

Beliau menggesa ibu bapa untuk mengenal pasti simptom awal bagi menghalang anak-anak mereka daripada mengamalkan gaya hidup golongan tersebut.

Bagi mereka yang sudah mengamalkan gaya hidup golongan tersebut, Dr Puad berkata “campur tangan oleh guru dan ibu bapa disusuli sesi kaunseling, boleh membantu mereka kembali ke pangkal jalan”.

Dr Puad berkata demikian pada seminar kekeluargaan tentang bagaimana untuk menangani kegiatan LGBT yang dianjurkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad.

“LBGT adalah penyakit sosial. Kita harus meningkatkan kesedaran mengenainya. Sama seperti dadah, kurang kesedaran mengenainya akan menyebarkan kegiatan LGBT,” katanya.

Beliau turut menggesa ibu bapa untuk memberikan perhatian penuh kepada anak-anak mereka dan mengenal pasti tingkah laku mereka.

“Jika anak lelaki anda sentiasa meminta kebenaran untuk bermalam di rumah kawan lelaki, anda perlu melakukan pemeriksaan untuk memastikan tiada apa yang berlaku,” katanya.

11 resolusi bela guru – Berita Harian


11 resolusi bela guru

pix_gal0

KONGRES cadang tubuh bank untuk manfaat pendidik, murid

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Guru-Guru Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) mengemukakan resolusi 11 perkara kepada kerajaan untuk membela nasib pendidik dan pesara guru, termasuk penubuhan bank guru.Penubuhan bank yang dicadang diterajui Yayasan Guru Malaysia Berhad itu bertujuan memberi manfaat kepada 430,000 guru dan 5.5 juta murid di seluruh negara.

Tabung Kebajikan Guru Presiden, Jemale Paiman berkata, untuk manfaat pesara guru pula, pihaknya mencadangkan penubuhan organisasi mirip Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dikenali Lembaga Tabung Kebajikan Guru yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan pendidik dan keluarga mereka.

Beliau berkata, resolusi lain termasuk menyerap lebih 60,000 guru lepasan diploma, terutama berusia 50 tahun ke atas dalam skim siswazah tanpa temu duga.

Bagi tujuan itu, kerajaan disaran mewujudkan Skim Perkhidmatan Bersepadu Pelajaran Persekutuan. Skim yang dicadangkan ialah gabungan Skim Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma dan Skim Perkhidmatan Siswazah Tanpa Temu Duga pada gred DG 42.
“Kelonggaran khas menerusi skim istimewa kepada mereka berusia 50 tahun ke atas untuk diserapkan dalam skim siswazah sudah dilaksanakan Kementerian Kesihatan dan sesuai diamalkan oleh Kementerian Pelajaran pula,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Resolusi itu diputuskan pada mesyuarat Exco Khas KONGRES, pada Sabtu lalu dan dihantar kepada kementerian dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut.

Cadangan lain ialah:

  • Menubuhkan majlis guru bertaraf profesional, berdaftar dan bertauliah untuk menjaga dan mengawal pendidik. Ia berfungsi sebagai pengawal dan mengambil tindakan tatatertib atau disiplin, denda dan menggantung atau menamatkan perkhidmatan pendidik yang berkhidmat dengan kerajaan atau swasta, institusi pengajian tinggi dan pusat tuisyen.
  • Menukar pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) kepada biasiswa. Pelajar yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) layak untuk menerimanya.

Guru Kaunseling Mampu Cegah LGBT Di Sekolah – Bernama


Guru Kaunseling Mampu Cegah LGBT Di Sekolah

KUALA TERENGGANU:Guru kaunseling mampu menjadi petugas barisan hadapan bagi mencegah penyebaran fenomena Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata untuk tujuantersebut, guru kaunseling mesti dilengkapi dengan pengetahuan dan pemahamansimptom LGBT untuk menawarkan nasihat untuk mana-mana pelajar yang terlibat.

“Guru kaunseling ini kalau mereka ada kemahiran, kefahaman secara umummemberi penerangan, motivasi, kesedaran, keinsafan dalam isu seperti ini mampumembantu pelajar di peringkat sekolah sebenarnya.

“Guru kaunseling mesti memahami perkara sendiri untuk memberi penjelasan serta membawa pelajar kembali ke jalan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan dalam menangani LGBT peringkat NegeriTerengganu di Stadium Negeri di sini, Khamis.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad dan MajlisPemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-sekolah Putrajaya.

Katanya tanggungjawab mengekang simptom LGBT bukan terletak di bahu pihaktertentu sahaja tetapi ia perlu dilaksanakan bersama-sama untuk mencaripendekatan terbaik menangani isu ini.

Dr Mohd Puad juga menggesa para guru dan kaunselor untuk menyemai pengetahuan mengenai penggunaan internet di kalangan pelajar dengan cara yang betul kerana terdapat banyak laman web menyokong penyebaran gejala LGBT.

Mengenai seminar itu, beliau berkata ia bertujuan untuk memberi pendedahankepada guru dan ibu bapa berhubung usaha pencegahan awal bagi menangani isuLGBT.

“Seminar ini tidak direka untuk mendiskriminasi kumpulan sedemikiantetapi untuk menyebarkan kesedaran yang lebih supaya ibu bapa akan mempunyaikeberanian untuk menyatakan tentang perkara ini dengan anak-anak mereka,”katanya.

Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno juga menyelar pihak tertentu yang mempolitikkan isu LGBT demi keuntungan politik mereka.

“Kebimbangan kita, pemimpin (pembangkang) dia melihat soal politik, merekaini tidak melihat soal generasi negara bangsa yang kita nak bina. Tetapi merekaseolah-olah anggap ia peluang untuk mereka mendapat simpati dan meletakkan persepsi kita (kerajaan) ini ganas, tiada tamadun sedangkan kita bukanlah begitu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Sekolah-sekolah Putrajaya, Datuk Sahlan Ismail berkata seminar di Terengganu adalah yang kelapan antara 12 seminar, dengan yang pertama bermula di Putrajaya. BERNAMA

7,000 pelajar nikmati i-TR1M – Berita Harian


7,000 pelajar nikmati i-TR1M

07/09/2012 – 05:45:45 AM Oleh Norrasyidah ArshadCetakEmel Kawan
Shah Alam: Kira-kira 7,000 pelajar dari 100 sekolah menengah di Selangor akan menikmati kemudahan tuisyen percuma dalam talian menerusi program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M).

Tuisyen itu yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat membabitkan pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia inisiatif Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB) yang memperluaskan kemudahan tuisyen secara talian itu kepada pelajar sekolah menengah.

Pengetua atau penyelaras teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dari 100 sekolah terbabit hadir pada perasmian perluasan i-TR1M yang disempurnakan Koordinator Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, di sini semalam.

Program i-TR1M dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jun lalu.

Keputusan lebih baik

Mohd Zin berkata, maklum balas terhadap i-TR1M di kawasannya, menyaksikan peningkatan sistem pembelajaran dalam talian biarpun sewaktu cuti umum, baru-baru ini.
Malah, di Sekolah Rendah Sungai Melut, pelajar Orang Asli menunjukkan keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan bulanan selepas menggunakan i-TR1M.

Melihatkan peningkatan ini, kami mengambil keputusan untuk memperluaskan lagi program itu dan hari ini (semalam) fasa kedua I-TR1M dilancarkan dengan menambah 100 lagi sekolah bagi mengikuti program ini, katanya.

Manfaat pelajar miskin

Sementara itu, Pengarah Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGBM), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata projek perintis berkenaan yang dilaksanakan di Selangor, akan memberi manfaat kepada pelajar miskin yang tidak mampu mendapatkan khidmat guru tuisyen swasta.

i-TR1M yang bermula pada 18 Jun lalu akan berakhir Oktober ini membabitkan 207 sekolah di negeri itu.

Program i-TR1M membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar dari kalangan keluarga berpendapatan rendah selain membantu mereka memanfaatkan bantuan Netbook 1Malaysia dan kemudahan ICT yang disediakan kerajaan, katanya.

Najib lancar program iTR1M bantu pelajar UPSR, SPM di Selangor – Bernama


Najib lancar program iTR1M bantu pelajar UPSR, SPM di Selangor

28 Jun 2012
PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan peruntukan RM2 juta daripada Dana Khas untuk melaksanakan program Interaktif – Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) untuk memberi tuisyen secara percuma kepada 10,000 pelajar di negeri Selangor yang bakal menduduki peperiksaan umum pada tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan program yang dilaksanakan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di kediamannya, Seri Perdana di sini hari ini. Hadir sama ialah Pengerusi YGMB Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Alimuddin berkata projek perintis yang dilaksanakan di negeri Selangor akan memanfaatkan pelajar yang tidak mampu menghadiri kelas tuisyen berbayar tetapi bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM pada tahun ini.

“Program iTR1M ini akan meningkatkan prestasi akademik bagi anak-anak golongan berpendapatan rendah untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran di sini hari ini.

Alimuddin berkata program yang berlangsung dari 18 Jun hingga Oktober ini dilaksanakan di 107 buah sekolah, iaitu 30 buah sekolah menengah dan 77 buah sekolah rendah di Selangor.

Beliau berkata seramai 350 guru akan memberi tuisyen dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jummat.

“Matlamat Program iTR1M adalah untuk memberi bimbingan di luar waktu sekolah secara percuma kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah pelbagai kaum dan membantu mereka mengoptimumkan penggunaan ‘Netbook 1Malaysia’ dan kemudahan ICT yang disediakan kerajaan,” katanya.

Alimuddin berkata di bawah program ini, calon UPSR menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara online dari rumah, sekolah dan pusat komuniti (Perpustakaan Desa, Pusat Jalur Lebar Komuniti dan medan Infodesa).

Beliau berkata bagi calon PMR dan SPM, bimbingan secara konvensional di beberapa sekolah menengah terpilih diadakan dari pukul 3 hingga 5 petang, pada setiap Isnin, Rabu, dan Jumaat.

Selain itu, beliau berkata calon SPM yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen (Biologi, Kimia dan Fizik) akan menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara online dari rumah.

“Seminar dan bengkel persediaan menghadapi peperiksaan yang akan diadakan menjelang tarikh peperiksaan,” katanya.- Bernama

MAJLIS PERASMIAN DAN MESYUARAT AGUNG YAYASAN GURU MALAYSIA BERHAD (YGMB) KALI KE 18


MAJLIS PERASMIAN DAN MESYUARAT AGUNG YAYASAN GURU MALAYSIA BERHAD (YGMB) KALI KE 18

MAJLIS PERASMIAN DAN MESYUARAT AGUNG
YAYASAN GURU MALAYSIA BERHAD (YGMB) KALI KE 18
Tarikh : 23 Jun 2012 (Sabtu)
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Selesa Beach Resort Port Dickson, Batu 5 Jalan Pantai Port Dickson, N.Sembilan

SEMUA AHLI YGMB DAN GURU-GURU DI JEMPUT HADIR