LGBT Penyakit Boleh Dirawat – Dr Puad – mStar


LGBT Penyakit Boleh Dirawat – Dr Puad

Oleh TEH ENG HOCK

SHAH ALAM: Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi menyifatkan kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai penyakit yang boleh dirawat.

Beliau menggesa ibu bapa untuk mengenal pasti simptom awal bagi menghalang anak-anak mereka daripada mengamalkan gaya hidup golongan tersebut.

Bagi mereka yang sudah mengamalkan gaya hidup golongan tersebut, Dr Puad berkata “campur tangan oleh guru dan ibu bapa disusuli sesi kaunseling, boleh membantu mereka kembali ke pangkal jalan”.

Dr Puad berkata demikian pada seminar kekeluargaan tentang bagaimana untuk menangani kegiatan LGBT yang dianjurkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad.

“LBGT adalah penyakit sosial. Kita harus meningkatkan kesedaran mengenainya. Sama seperti dadah, kurang kesedaran mengenainya akan menyebarkan kegiatan LGBT,” katanya.

Beliau turut menggesa ibu bapa untuk memberikan perhatian penuh kepada anak-anak mereka dan mengenal pasti tingkah laku mereka.

“Jika anak lelaki anda sentiasa meminta kebenaran untuk bermalam di rumah kawan lelaki, anda perlu melakukan pemeriksaan untuk memastikan tiada apa yang berlaku,” katanya.

11 resolusi bela guru – Berita Harian


11 resolusi bela guru

pix_gal0

KONGRES cadang tubuh bank untuk manfaat pendidik, murid

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Guru-Guru Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) mengemukakan resolusi 11 perkara kepada kerajaan untuk membela nasib pendidik dan pesara guru, termasuk penubuhan bank guru.Penubuhan bank yang dicadang diterajui Yayasan Guru Malaysia Berhad itu bertujuan memberi manfaat kepada 430,000 guru dan 5.5 juta murid di seluruh negara.

Tabung Kebajikan Guru Presiden, Jemale Paiman berkata, untuk manfaat pesara guru pula, pihaknya mencadangkan penubuhan organisasi mirip Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dikenali Lembaga Tabung Kebajikan Guru yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan pendidik dan keluarga mereka.

Beliau berkata, resolusi lain termasuk menyerap lebih 60,000 guru lepasan diploma, terutama berusia 50 tahun ke atas dalam skim siswazah tanpa temu duga.

Bagi tujuan itu, kerajaan disaran mewujudkan Skim Perkhidmatan Bersepadu Pelajaran Persekutuan. Skim yang dicadangkan ialah gabungan Skim Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma dan Skim Perkhidmatan Siswazah Tanpa Temu Duga pada gred DG 42.
“Kelonggaran khas menerusi skim istimewa kepada mereka berusia 50 tahun ke atas untuk diserapkan dalam skim siswazah sudah dilaksanakan Kementerian Kesihatan dan sesuai diamalkan oleh Kementerian Pelajaran pula,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Resolusi itu diputuskan pada mesyuarat Exco Khas KONGRES, pada Sabtu lalu dan dihantar kepada kementerian dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut.

Cadangan lain ialah:

  • Menubuhkan majlis guru bertaraf profesional, berdaftar dan bertauliah untuk menjaga dan mengawal pendidik. Ia berfungsi sebagai pengawal dan mengambil tindakan tatatertib atau disiplin, denda dan menggantung atau menamatkan perkhidmatan pendidik yang berkhidmat dengan kerajaan atau swasta, institusi pengajian tinggi dan pusat tuisyen.
  • Menukar pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) kepada biasiswa. Pelajar yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) layak untuk menerimanya.

Puad: ‘LGBT penyakit sosial, makin serius’ – Sinar Harian


Puad: ‘LGBT penyakit sosial, makin serius’

NURUL AINI MOHAMED ALI
15 Oktober 2012
Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

FENOMENA golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan isu baru di kalangan masyarakat kita.

Namun, fenomena ini seakan-akan menjadi ‘duri dalam daging’ dan satu “penyakit” senyap melanda negara.

Sama ada ramai yang tidak mahu ambil tahu atau merasakan fenomena ini masih lagi ‘taboo’ di kalangan masyarakat, hakikatnya fenomena ini semakin serius dan jika ia tidak dibendung dari akar umbi, penyakit ini mampu menjadi semakin parah.

Ke mana hilangnya nilai moral rakyat Malaysia kini? Soal moral dan akidah sudah ditolak tepi, jalan yang lurus juga seakan-akan sudah hilang dari pandangan mereka.

Ikuti  wawancara Sinar Harian Online bersama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang sanggup turun padang mengikuti setiap seminar yang dijalankan bagi membendung fenomena yang semakin menghantui negara ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana timbul idea menjelajah sekolah seluruh negara bagi membendung fenomena LGBT di negara ini?

DR PUAD ZARKASHI: Sebenarnya seminar keibubapaan menangani gejala LGBT ini bukanlah anjuran Kementerian Pelajaran. Ia dianjurkan oleh NGO, Majlis Permuafakatan PIBG Putrajaya dan Yayasan Guru Malaysia. Pada mulanya, saya hadir hanya sebagai perasmi sahaja, setiap seminar yang mereka anjurkan.

Tidak ada kena-mengena dengan Kementerian Pelajaran, jadi oleh kerana, saya dijemput merasmikan, selepas itu mereka rasakan nak terus jemput saya untuk setiap seminar mereka adakan. Seperti baru-baru ini, di Perlis seminar mereka yang ke-13 dan yang terdekat pada 16 Oktober ini di  Kota Bharu, Kelantan.

Saya difahamkan setakat ini, di negeri Perlis baru-baru ini, hampir 11,000 orang yang menghadiri seminar ini yang melibatkan ibu bapa dan juga guru-guru terutamanya guru-guru kaunseling, guru pendidikan Islam, Moral dan juga Guru Hal Ehwal Murid. Jadi ini anjuran NGO pada mulanya.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi apabila timbulnya idea ini, adakah YB rasa mahu teruskan misi jelajah?

DR PUAD ZARKASHI: Ya, pada saya seminar ini bagus.  Sebab ia memberi pendedahan kepada ibu bapa terutama guru kaunseling gejala LGBT. Sebab selama ini orang ramai melihat LGBT sebagai satu ‘taboo’ di kalangan masyarakat untuk bercakap mengenai LGBT.

Sama juga mengenai isu seks untuk kita cakap di hadapan anak-anak kita, kita anggap  satu ‘taboo’ satu ketika dulu, macam satu yang tidak bermoral pula. Tapi sekarang ini, ramai ibu bapa, ramai yang berani berbicara isu seks kerana kalau tidak berterus terang dengan anak-anak, ditakuti anak-anak mereka terlibat dengan seks bebas. Begitu juga dengan isu LGBT ini. Masih ramai yang tidak mahu membicarakannya.

Sebab itu, kita dapati ramai yang tidak faham apa itu LGBT. Mungkin ada yang faham mengenai lesbian dan gay tetapi mereka ada yang tidak faham mengenai biseksual, transgender, bahkan pada saya sendiri, setelah saya hadir mendengar ceramah yang disampaikan oleh kaunselor bertauliah dan mendengar dua orang yang pernah terlibat dengan kes LGBT menceritakan pengalaman mereka dan mereka sudah bertaubat.

Jadi, maksudnya, ia lebih berkesan dengan cara begini kerana seminar diadakan berdasarkan kes orang yang pernah terlibat dan bertaubat, pernah bergelumang hampir 20 tahun sama ada sebagai transgender atau sebagai gay.

Jadi maksudnya guru dan ibu bapa mudah faham mengenai simptom, mengapa ia boleh berlaku dan adakah kita tidak mampu untuk lakukan pencegahan dari awal lagi terhadap gejala ini? Sebab itu, pada saya seminar ini penting untuk dihadiri oleh ibu bapa dan guru-guru.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, bagi orang yang berpengalaman terlibat dengan LGBT ini juga akan meneruskan siri jelajah mereka?

DR PUAD ZARKASHI: Ya, setiap kali seminar diadakan, mereka akan hadir. Tapi mereka hadir atas dasar dakwah dan mahu buktikan kepada masyarakat di luar sana, orang yang terlibat dengan LGBT boleh kembali ke pangkal jalan, boleh dipulihkan dengan syarat, mereka mestilah dipulihkan melalui proses kaunseling dan mesti ada keazaman yang tinggi.

Sebab itulah mereka sanggup datang dan sanggup dedahkan identiti mereka kerana mereka menganggap usaha mereka ini sebahagian dari dakwah dan sebahagian daripada tanggungjawab untuk mencegah supaya gejala ini tidak berleluasa.

Mereka yang melibatkan diri dalam siri jelajah seminar ini pernah terlibat dalam gejala LGBT, seorang menjadi gay dan seorang lagi terlibat dalam transgender ialah seorang guru.

Sebenarnya lelaki, tetapi memilih menjadi wanita. Tetapi sudah berubah menjadi lelaki, saya sendiri terkejut lihat gambar beliau semasa berubah jadi perempuan, memang nampak sebagai seorang perempuan tetapi personaliti sekarang ialah lelaki. Sebab itulah pentingnya seminar ini.

Kalau sebelum ini, kita dengar kes seorang profesor berkahwin dengan perempuan dan mempertikaikan jantina isterinya… tetapi saya tak mahu campur kes ini. Tetapi isunya sekarang ini ialah, LGBT merupakan isu yang amat besar berlaku di negara kita. Sebab itu, seminar yang diadakan ini penting.

Pertama, untuk kita memberi pendedahan kepada ibu bapa dan guru tentang gejala ini. Kedua, untuk yakinkan kepada mereka yang pernah terlibat bahawa penyakit ini boleh diperbaiki dan dipulihkan dan yang ketiga, memberi kefahaman kepada ibu bapa dan guru bagaimana untuk melakukan langkah pencegahan iaitu kita mesti melakukan langkah pencegahan sejak awal lagi.

Jika kita tak lakukan pencegahan awal ini, ia akan menjadi sukar untuk kita pulihkan walaupun sebenarnya gejala ini boleh dipulihkan. Ini kerana dalam setiap siri jelajah, kita mempunyai penceramah yang bertauliah bahkan mempunyai klinik mereka sendiri, jumlah pesakit 800 hingga 900 orang dan ramai yang dapat dipulihkan.

Sebab itu bila timbul isu ini, ramai yang mengkritik saya. Mereka menuduh saya sebagai yang tidak rasional dan ada yang sanggup berkata saya ini tidak layak menjadi timbalan menteri kerana mereka sendiri salah faham.

Salah faham ini terjadi apabila ada pemberita dari sebuah media ini, hadir ke seminar yang dikendalikan NGO ini dan memberi laporan bahawa kementerian mengeluarkan tatacara mengenai LGBT dan mendakwa kementerian menyokong tatacara yang dikeluarkan. Apa yang saya mahu tegaskan di sini ialah, perkara ini bohong.

Kementerian tidak pernah mengeluarkan garis panduan dan tidak pernah menyokong tatacara ini. Saya sendiri ada bertanya kepada penganjur adakah mereka ada terbitkan tatacara mengenal golongan LGBT ini dan mereka sendiri nafikan. Tatacara itu hanya bahan ceramah yang digunakan oleh penceramah undangan setiap kali seminar dijalankan.

Kementerian sendiri tidak pernah menyebut untuk menyokong tatacara itu untuk digunakan di sekolah. Akhirnya timbul salah faham dan ada pihak yang menyerang dan menuduh saya macam-macam. Ada yang mengatakan saya tidak bertamadun dan sebagainya.

Dari sinilah menggambarkan bahawa gejala LBGT ini berleluasa di negara kita. Kalau kita selidik, golongan ini mempunyai blog dan website mereka sendiri.

Jadi apabila saya diserang sebegitu, hinggakan golongan ini sanggup menganjurkan perhimpunan “V Neck” baru-baru ini, ini menjadi bukti kuat gejala inilah yang sedang kita hadapi. Senario yang terjadi seperti ini yang meyakinkan saya pencegahan awal mesti dilakukan.

Pencegahan yang kita mahu buat ini bukanlah bermaksud apabila ada garis panduan ini, kita pergi ke jalan raya dan tangkap mereka yang terlibat dalam LBGT ini, tidak sama sekali. Ini yang saya katakan salah faham hingga ada yang sanggup mempertikaikan saya melalui blog, menyerang saya mengatakan gejala ini bukan penyakit tetapi ia merupakan kejadian ‘biological’ atau anugerah Tuhan tetapi pada saya gejala ini merupakan penyakit iaitu penyakit sosial kerana berdasarkan fakta, gejala LGBT ini juga menjadi penyumbang kepada HIV, selain daripada dadah.

Kedua, LGBT juga menjadi penyumbang kepada masalah keruntuhan rumah tangga. Pada saya ini merupakan penyakit. Jika ada yang berkata ia merupakan masalah keturunan atau kecenderungan yang tidak boleh disekat, sedangkan mereka yang pernah terlibat dalam gejala ini, mereka sendiri telah buktikan kepada masyarakat di luar sana, mereka boleh diperbetulkan.

Sebab itu saya kata tadi isunya ialah melalui pencegahan dan ibu bapa, kalau mereka tidak sedar gejala ini dari awal, akan jadilah seperti kes yang ada ibu bapa buat laporan polis mengatakan anak mereka hilang dan tidak dapat dihubungi ketika di luar negara, apabila disiasat, baru mendapat tahu yang anak lelaki mereka sudah berkahwin dengan kaum sejenis.

Maksudnya di sini ialah, jika ibu bapa lakukan pencegahan dari awal. Jadi, adakah ibu bapa mahu melihat senario ini berlaku di masa akan datang.

Jika satu hari nanti anak lelaki mereka pulang bawa menantu lelaki dan anak perempuan bawa pula menantu perempuan? Saya tidak fikir ibu bapa di negara ini mampu menerima anak-anak mereka melakukan perkahwinan sesama jenis.

Masalahnya pula LGBT ini melibatkan pelbagai isu seperti HIV, keruntuhan rumah tangga, gejala sosial, kehidupan yang tidak bermaruah dan sebagainya. Sebab itu saya kata seminar ini penting bagi memberi pendedahan dan usaha yang kita boleh lakukan untuk membendung gejala ini dari terus berlaku. Contohnya jika anak lelaki kita selalu dan kerap minta kebenaran untuk tidur di rumah rakan lelaki, jadi kita mesti siasat, kenapa kerap sangat minta kebenaran? Kalau tiada apa-apa, tidak mengapalah, tetapi kita bimbang berlaku sesuatu dan risau jika mereka terpengaruh.

Sebab itu, saya mahu katakan di sini, gejala ini timbul bukan sekadar kecenderungan seks semata-mata, tetapi ia juga melibatkan pengaruh rakan sebaya. Terutama sekali pengaruh internet sekarang ini. Golongan LGBT ini, ada blog mereka sendiri, ada pesta tersendiri, mana tahu anak-anak kita baca blog seperti ini lalu terpengaruh, akhirnya mereka juga terlibat. Sebab itu saya katakan perlunya pencegahan awal.

Golongan ini juga mengecam hingga sanggup membuat tuduhan liar mengatakan kementerian mengisytiharkan LGBT ini merupakan musuh nombor satu. Ini tidak betul dan kita sendiri tidak pernah mengatakan perkara sebegitu.

Cuma pada saya, tujuan mereka ini hanyalah untuk memburuk-burukkan seminar ini semata-mata dan memberi persepsi negatif dan satu lagi mereka katakan kita memberikan mesej yang amat berbahaya antaranya menimbulkan kebencian, yang kedua ‘intolerance’, yang ketiga ialah ‘homophobia’, yang keempat ialah ‘violence’.

Ini antara mesej yang mereka katakan apabila kita adakan seminar tetapi semua ini tidak betul. Kita mengadakan seminar ini bukanlah bertujuan apabila kita tahu ciri-ciri golongan LGBT, maka kita pergi ke jalan raya, nampak saja ciri-ciri LGBT, kita tangkap atau pukul, kita tidak akan buat begini.
‘Intolerance’, maksudnya jika kita tahu mereka yang bersifat ‘lembut’. Kita tidak terima mereka untuk menjadi seorang guru, tapi stigma ini tidak betul. Kita tidak pernah ‘discriminate’ seseorang walaupun mereka lembut.

Hakikatnya, kementerian sendiri memang ada guru yang ‘lembut’ tapi kita tak pernah pun buang mereka kerana mereka ‘lembut’. Cuma, kita hanya akan ambil tindakan jika ada seorang guru yang terlibat dalam pertandingan seperti ‘Ratu Pondan’.

Jika melibatkan kes sebegini, memang kita akan ambil tindakan kerana menyertai pertandingan ‘Ratu Pondan’. Maksudnya, mereka telah melanggar etika seorang guru tetapi jika mereka  berpewatakan lembut, itu bukan soal kementerian untuk ‘discriminate’ mereka sebagai seorang guru. Jadi, tidak timbul soal ‘intolerence’, ‘violence’ atau homophobia.

Sebab tu kita buat seminar, supaya sesiapa yang terlibat dengan LGBT ini, mereka boleh diberi kaunseling. Orang yang membuli pun kita boleh beri kaunseling supaya mereka tidak membuli lagi golongan LGBT ini. Ini sebenarnya tujuan kita jadi, tidak timbul soal mesej bahaya yang mereka tuduh hingga mereka gelarkan saya seorang Timbalan Menteri Pelajaran yang tidak bertamadun.

SINAR HARIAN ONLINE: Jika seminar ini dimulakan oleh usaha NGO, ada atau tidak usaha kementerian dalam menangani fenomena LGBT ini?

DR PUAD ZARKASHI: Setakat ini memang tiada lagi. Sebab itu kita mengalu-alukan seminar ini kerana mereka menjemput VIP dari PIBG kerana jawatankuasa ini bercampur dengan guru-guru. Jadi kita perlulah memberi sokongan atas usaha-usaha murni seperti ini.

LGBT ini berlawan dengan etika manusia yang dianugerahkan oleh Tuhan iaitu hidup berpasangan lelaki dan perempuan. Kenapa pulak lelaki kena kahwin dengan lelaki? Perkara ini yang kita nak tangani kerana jelas ia memang salah.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah YB akan panjangkan atau usulkan perkara ini ke pihak kementerian atau terus bergerak secara sendiri?

DR PUAD ZARKASHI: Sebab itu saya cakap tadi, isu ini harus ditangani bersama. Sebab itu, pada saya apabila ada pihak lain terutama sekali orang politik (pembangkang) yang cuba mempolitikkan isu ini, dalam perkataan lain, ada pemimpin yang menyokong Seksualiti Merdeka.

Apabila mereka menyokong Seksualiti Merdeka, atas isu ‘human right’, pada saya ini adalah satu tindakan yang melampaui batasan nilai masyarakat Malaysia.

Mereka seolah-olah melihat kita mesti memberi kebebasan kepada golongan ini secara terbuka, sedangkan hakikatnya kita lebih suka menggunakan pendekatan untuk melakukan sesi kaunseling, bukannya kita mahu buat kekacauan atau sebagainya. Jadi apabila ada pemimpin yang mempertahankan isu seksualiti merdeka ini, saya melihat tujuan mereka lebih kepada politik. Mereka mempolitikkan isu ini, seolah-olah kita ini mendiskriminasi sedangkan ia tidak timbul sama sekali.

Jadi maksudnya, bukan saja kita harus menolak pemimpin yang terlibat dengan gejala ini, tetapi yang menyokong pun, pada saya amat keterlaluan. Kita di Malaysia cukup jelas yang kita tidak akan lakukan sebarang diskriminasi, apa yang kita mahu lakukan hanyalah pembetulan.

Iaitu jika ada golongan seperti transgender terlibat dengan pelacuran dan benda seperti ini bukan menjadi satu rahsia lagi. Kita sendiri boleh lihat di iklan-iklan yang menawarkan perkhidmatan seperti ini, maka kita sendiri perlu betulkan.

Sebab itu, kita sendiri tak pernah lihat mana-mana pegawai agama atau penguatkuasa yang pergi ke tepi-tepi jalan tangkap orang jika mereka lesbian atau gay, tidak pernah sama sekali.

Seksualiti Merdeka ini tidak seharusnya timbul kerana jika ada pun sesuatu kes, jika ada penguatkuasa tempatan majlis perbandaran melakukan tangkapan jika golongan ini terlibat dalam aktiviti pelacuran. Golongan bukan LGBT juga ditangkap jika terlibat dengan pelacuran sebab melacur tanpa lesen. Bukan mereka ditangkap kerana mereka ini golongan LGBT.

SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh mana keberkesanan usaha bendung LGBT melalui seminar-seminar di sekolah atau siri jelajah ini?

DR PUAD ZARKASHI: Saya cukup yakin usaha ini berkesan terutama kerana ini merupakan pendedahan yang murid-murid sekolah tidak pernah dapat. Mereka juga berpeluang untuk bersoal jawab dengan golongan yang pernah terlibat dengan LGBT ini dan mereka juga boleh faham sepenuhnya yang gejala yang tidak pernah didedahkan. Sebelum ini orang akan beranggapan yang gay ini merupakan lelaki lembut sedangkan gay ini juga kadang-kala akan berperwatakan seperti lelaki normal yang lain.

Seperti golongan yang pernah terlibat dalam fenomena LGBT, untuk melindungi dirinya supaya tidak dikenali sebagai gay, jadi dia pun berkahwin. Jadi orang luar tidak akan tahu yang dia ini gay.

Tetapi pada waktu malam, dia akan keluar dan cari lelaki. Saya sendiri pernah berhadapan dengan kes, seorang guru lelaki berjumpa dengan saya, minta tolong kerana digantung tugas sebagai seorang guru. Lalu saya bertanya mengapa sampai digantung tugas? Dia berkata yang dia didakwa di mahkamah majistret dan dia tunjukkan surat bukti dia didakwa di mahkamah.

Jadi saya pun bertanya, mengapa sampai didakwa? Maka, dia kata yang dia didakwa atas kesalahan merangsang seks. Kemudian saya bertanya, adakah sudah berkahwin dan dia menjawab sudah tetapi bercerai dengan isterinya.

Jadi kita dapat lihat, gejala ini juga boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga. Kemudian saya tanya dia ada anak atau tidak? Kemudian dia kata, tiada anak. Lalu saya pun bertanya, merangsang seks kepada pelajar lelaki atau perempuan dan dia mengaku merangsang seks pada pelajar lelaki. Maksudnya mungkin cikgu ini gay.

Maksudnya di sini ialah kita tidak boleh melihat secara luaran saja dan jangan pandang ringan masalah ini. Ini bukan nilai kemanusiaan. Sebab itu, saya berani membantah jika mereka mengatakan gejala ini melibatkan keturunan atau biologi.

Ada juga pihak yang bertanya saya, adakah perkara ini begitu serius terjadi di sekolah? Masalahnya sekarang ini, bukan soal serius atau tidak perkara ini hingga terpaksa adakan seminar ke sekolah, tetapi soalnya ialah perkara ini semakin serius di kalangan masyarakat kita.

Maka atas sebab itu, kita mesti lakukan pencegahan awal kerana segalanya akan bermula di sekolah. Sama juga jika kita mahu mencegah orang ramai terlibat dengan gejala dadah, kita mesti mulakan langkah pencegahan dari sekolah supaya mereka sedar.


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula sambutan yang diterima di kalangan murid-murid sekolah?

DR PUAD ZARKASHI: Alhamdulillah, mereka tidak berganjak dan tidak sedetik pun mereka bising apabila mendengar pendedahan sebegini. Guru-guru juga menunjukkan minat untuk bertanyakan soalan dan apabila mereka tidak berganjak untuk mendengar seminar, saya menganggap yang mereka juga merasakan perkara (LGBT) ini merupakan perkara yang serius.

Seperti juga diri saya, saya sanggup pergi menjelajah ke semua tempat untuk menyampaikan mesej ini sebab kalau saya baca dalam blog, menurut blog LGBT Malaysia, menyebut bahawa dianggarkan negara kita ini menjelang tahun 2015, terdapat lebih kurang 300,000 pengidap HIV. Saya kurang pasti dari mana data itu diperoleh. Jadi maksudnya, pengidap HIV di negara kita ini meningkat. Ini kerana bukan soal dadah semata-mata tetapi juga melibatkan gejala LGBT.

SINAR HARIAN ONLINE: Setakat ini adakah kementerian mempunyai statistik sendiri berhubung fenomena ini?

DR PUAD ZARKASHI: Setakat ini tidak ada lagi. Saya juga tidak ada lagi statistik.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah kekangan yang terpaksa dihadapi dalam menjayakan misi ini?

DR PUAD ZARKASHI: Tidak ada halangan. Halangan yang kita terpaksa hadapi cuma ada pihak lain terutama golongan LGBT ini yang memberi gambaran yang salah, mereka mengadakan perhimpunan V-neck, ada juga sebuah restoran beriani yang beri makanan percuma kepada sesiapa yang memakai baju V-neck. Mereka memperolok-olokkan seminar ini. Isu ini juga mendapat perhatian antarabangsa.

Sebab itu, saya melihat ada pemimpin yang membuat kenyataan mengatakan akta sodomi ini perlu dipinda, sudah ketinggalan zaman. Pada saya, kenyataan ini seperti fahaman liberal.

SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh mana tahap serius fenomena LGBT di negara ini?

DR PUAD ZARKASHI: Memang serius. Cuba buka blog LGBT, baru kita akan tahu sejauh mana seriusnya fenomena LGBT ini di negara kita. Apabila mereka mengecam saya dengan mengadakan perhimpunan V-neck, maksudnya mereka memperlekehkan seminar ini, mereka juga timbulkan persepsi yang salah. Ini yang kita anggap perkara ini serius.

Mereka ada blog sendiri, ada perhimpunan mereka sendiri, buat perjumpaan jadi dari sini kita tahu perkara ini memang serius.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah langkah seterusnya selain road tour di sekolah-sekolah? Ada misi atau jalan lain untuk perangi LGBT?

DR PUAD ZARKASHI: Saya harap, lebih ramai pihak yang tampil ke depan bagi sama-sama menangani masalah ini. Saya harap lebih ramai kaunselor-kaunselor bertauliah yang mahir dengan isu ini, membuka klinik-klinik mereka, supaya bila ada saja kes, mereka yang terlibat mudah untuk dapatkan khidmat kaunseling, saya harap lebih ramai klinik-klinik kaunseling ini diwujudkan.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana penerimaan yang diterima oleh pihak sekolah dan ibu bapa?

DR PUAD ZARKASHI: Berdasarkan seminar itu, nampaknya mereka lebih terbuka menerima seminar yang dijalankan ini. Jadi dari situ, peserta seminar ini akan timbul keinsafan, apabila banyak perkara dalam seminar ini dapat mengingatkan ibu bapa mengenai langkah pencegahan.

Ibu bapa sekarang pun sudah semain terbuka untuk menerima, kita tidak boleh menyerahkan isu pendidikan ini kepada sekolah semata-mata, ibu bapa sendiri kena lihat dan pantau anak-anak mereka. Sebab itu kita panggil seminar ini sebagai seminar keibubapaan, sebab seminar yang dijalankan ini khusus untuk ibu bapa. Walaupun sudah lama bergelar ibu bapa, tidak semestinya mereka mahir mengenai isu LGBT dan tidak semestinya mereka mahir mengenai internet. Sebab itu saya katakan yang seminar ini penting, dan ibu bapa juga bersikap terbuka untuk menerima.

Setakat ini, seminar yang dijalankan memang mendapat sambutan. Ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menghadiri seminar yang dijalankan.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah YB akan meneruskan usaha ini turun ke padang bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa di luar sana?

DR PUAD ZARKASHI: Ya, memang saya akan teruskan misi jelajah ini. Walaupun saya sibuk, terpaksa berkejar ke sana ke mari, saya akan tetap laksanakan tanggungjawab saya dan mencuri sedikit masa bagi mengikuti siri jelajah atau seminar keibubapaan ini ke setiap negeri.

7,000 pelajar nikmati i-TR1M – Berita Harian


7,000 pelajar nikmati i-TR1M

07/09/2012 – 05:45:45 AM Oleh Norrasyidah ArshadCetakEmel Kawan
Shah Alam: Kira-kira 7,000 pelajar dari 100 sekolah menengah di Selangor akan menikmati kemudahan tuisyen percuma dalam talian menerusi program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M).

Tuisyen itu yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat membabitkan pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia inisiatif Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB) yang memperluaskan kemudahan tuisyen secara talian itu kepada pelajar sekolah menengah.

Pengetua atau penyelaras teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dari 100 sekolah terbabit hadir pada perasmian perluasan i-TR1M yang disempurnakan Koordinator Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, di sini semalam.

Program i-TR1M dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jun lalu.

Keputusan lebih baik

Mohd Zin berkata, maklum balas terhadap i-TR1M di kawasannya, menyaksikan peningkatan sistem pembelajaran dalam talian biarpun sewaktu cuti umum, baru-baru ini.
Malah, di Sekolah Rendah Sungai Melut, pelajar Orang Asli menunjukkan keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan bulanan selepas menggunakan i-TR1M.

Melihatkan peningkatan ini, kami mengambil keputusan untuk memperluaskan lagi program itu dan hari ini (semalam) fasa kedua I-TR1M dilancarkan dengan menambah 100 lagi sekolah bagi mengikuti program ini, katanya.

Manfaat pelajar miskin

Sementara itu, Pengarah Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGBM), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata projek perintis berkenaan yang dilaksanakan di Selangor, akan memberi manfaat kepada pelajar miskin yang tidak mampu mendapatkan khidmat guru tuisyen swasta.

i-TR1M yang bermula pada 18 Jun lalu akan berakhir Oktober ini membabitkan 207 sekolah di negeri itu.

Program i-TR1M membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar dari kalangan keluarga berpendapatan rendah selain membantu mereka memanfaatkan bantuan Netbook 1Malaysia dan kemudahan ICT yang disediakan kerajaan, katanya.

Najib lancar program iTR1M bantu pelajar UPSR, SPM di Selangor – Bernama


Najib lancar program iTR1M bantu pelajar UPSR, SPM di Selangor

28 Jun 2012
PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan peruntukan RM2 juta daripada Dana Khas untuk melaksanakan program Interaktif – Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) untuk memberi tuisyen secara percuma kepada 10,000 pelajar di negeri Selangor yang bakal menduduki peperiksaan umum pada tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan program yang dilaksanakan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di kediamannya, Seri Perdana di sini hari ini. Hadir sama ialah Pengerusi YGMB Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Alimuddin berkata projek perintis yang dilaksanakan di negeri Selangor akan memanfaatkan pelajar yang tidak mampu menghadiri kelas tuisyen berbayar tetapi bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM pada tahun ini.

“Program iTR1M ini akan meningkatkan prestasi akademik bagi anak-anak golongan berpendapatan rendah untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran di sini hari ini.

Alimuddin berkata program yang berlangsung dari 18 Jun hingga Oktober ini dilaksanakan di 107 buah sekolah, iaitu 30 buah sekolah menengah dan 77 buah sekolah rendah di Selangor.

Beliau berkata seramai 350 guru akan memberi tuisyen dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jummat.

“Matlamat Program iTR1M adalah untuk memberi bimbingan di luar waktu sekolah secara percuma kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah pelbagai kaum dan membantu mereka mengoptimumkan penggunaan ‘Netbook 1Malaysia’ dan kemudahan ICT yang disediakan kerajaan,” katanya.

Alimuddin berkata di bawah program ini, calon UPSR menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara online dari rumah, sekolah dan pusat komuniti (Perpustakaan Desa, Pusat Jalur Lebar Komuniti dan medan Infodesa).

Beliau berkata bagi calon PMR dan SPM, bimbingan secara konvensional di beberapa sekolah menengah terpilih diadakan dari pukul 3 hingga 5 petang, pada setiap Isnin, Rabu, dan Jumaat.

Selain itu, beliau berkata calon SPM yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen (Biologi, Kimia dan Fizik) akan menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara online dari rumah.

“Seminar dan bengkel persediaan menghadapi peperiksaan yang akan diadakan menjelang tarikh peperiksaan,” katanya.- Bernama

Pandangan rakyat lengkapkan pelan transformasi pendidikan – Utusan


Pandangan rakyat lengkapkan pelan transformasi pendidikan

KUALA LUMPUR 12 Mei – Kementerian Pelajaran memerlukan pandangan dan maklum balas pelbagai pihak bagi melengkapkan penyediaan dokumen Pelan Hala Tuju Pendidikan Negara sebelum ia dimuktamadkan menjelang Julai ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ghafar Mahmud berkata, usaha mengumpul pandangan pelbagai pihak penting bagi membantu menyediakan rangka tindakan dokumen dan langkah terbaik bagi melaksanakan rancangan tersebut.

Menurutnya, setakat ini, kementerian sudah mendapat maklum balas daripada kumpulan sasaran pertama terdiri daripada warga pendidik seperti guru, pengetua dan tokoh pendidik.

“Dalam tempoh masa lapan minggu ini, kita akan cuba masukkan lebih ramai penyertaan daripada kumpulan berbeza agar terlibat sama dalam merangka pelan strategik pendidikan sebelum ia siap menjelang Julai nanti,” katanya selepas merasmikan Seminar Kepimpinan dan Transformasi Pendidikan anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di sini hari ini. – UTUSAN

SMK Rahmat catat sejarah – Kosmo


SMK Rahmat catat sejarah

 

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my

 

ALIMUDDIN (dua dari kiri) menyampaikan sijil SKM kepada salah seorang pelajar pada majlis graduasi di SMK Rahmat, Alor Gajah semalam.

 

ALOR GAJAH – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat di sini mencatat sejarah tersendiri dalam sistem pendidikan negara apabila menjadi sekolah harian pertama yang melaksanakan kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Sebelum ini SKM hanya ditawarkan oleh sekolah aliran vokasional.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pentauliahan SKM kepada pelajar sekolah berkenaan merupakan peristiwa penting kerana tiada sekolah harian lain di negara ini yang menawarkan kursus tersebut.

“SMK Rahmat berjaya membuktikan sekolah harian juga mampu melaksanakan SKM tanpa bergantung sepenuhnya daripada Kementerian Pelajaran,” katanya ketika berucap pada majlis graduasi di sekolah berkenaan semalam.

YGMB pelawa 270,000 guru jadi ahli – Berita Harian


YGMB pelawa 270,000 guru jadi ahli
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/01/26

Potongan lima peratus untuk anak ahli melanjutkan pengajian di MUCH

SERAMAI 270,000 guru di seluruh negara yang belum menganggotai Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dipelawa menyertainya bagi membolehkan anak mereka menikmati potongan lima peratus yuran melanjutkan pengajian di Masterskill University College of Health Science (MUCH).

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kemudahan atau `produk’ baru itu adalah antara keistimewaan terkini yang ditawarkan kepada 130,000 anggota YGMB.

Dengan gabungan pengalaman dan kelayakan tenaga pengajar, suasana pengajaran di MUCH sentiasa interaktif dan berorientasikan industri. – Alimuddin Mohd Dom, Pro-Canselor MUCH

Beliau yang juga Pro-Cancelor MUCH berkata, sebagai langkah permulaan, YGMB menjalankan usaha mempromosi peluang melanjutkan pengajian ke MUCH dalam kalangan ahli.

“Kita yakin kemudahan baru itu dapat menarik minat guru bukan anggota YGMB menganggotainya,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara YGMB dan MUCH di kampus kolej universiti itu di Cheras, Selangor, baru-baru ini.

YGMB diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk Asariah Mior Shaharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yayasan itu, Hashim Mohd Yusof. MUCH diwakili Timbalan CEO Masterskill Education Group Berhad (MEGB), Datuk Kamarudin Khalil.

Hadir sama, Naib Canselor yang juga CEO MUCH, Prof Datuk Nik Rahimah Nik Yacob; Ketua Pegawai Operasi (COO) MEGB, Datuk Alicia Nathan; Naib Presiden Kanan MEGB, Datuk Abdul Rashid Mohd Sharif dan Pengarah MEGB, Datuk Kamaruddin Md Ali.
Alimuddin berkata, hasil MoU itu, pengambilan pertama pelajar dalam kalangan anak anggota YGMB adalah pada April ini menerusi pengajian peringkat diploma dalam bidang sains kesihatan.

Katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kolej universiti itu adalah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan pendidikan bertaraf dunia menggunakan teknologi canggih serta melahirkan graduan berdaya saing.

“Dengan gabungan pengalaman dan kelayakan tenaga pengajar, suasana pengajaran di MUCH adalah sentiasa interaktif dan berorientasikan industri,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin Khalil berkata, MUCH menawarkan 14 program ijazah sarjana muda, diploma (12), ijazah sarjana (enam) dan masing-masing satu program Doktor Falsafah (PhD) dan yayasan.

Asariah pula berkata, promosi YGMB bertujuan membantu anak anggota melanjutkan pengajian ke kolej universiti itu terutama yang meminati bidang sains kesihatan seperti kejururawatan, pengimejan perubatan dan fisioterapi.

“Kerjasama dalam kalangan guru menerusi organisasi seperti ini mewujudkan transformasi untuk dimanfaatkan ahli dan ahli keluarga bagi memperoleh pendidikan berkualiti,” katanya.

Alimuddin dilantik Pengerusi KTAC – Berita Harian


Alimuddin dilantik Pengerusi KTAC

2012/01/16

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

BEKAS Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, dilantik sebagai Pengerusi Kolej Antarabangsa Cybernatic (KTAC).

Pelantikan beliau bertepatan dengan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki sepanjang tempoh 35 tahun berkhidmat bersama kementerian selain keupayaannya sebagai tokoh pendidik disegani.

KTAC dalam kenyataannya, pelantikan beliau diadakan dengan penuh meriah di kampus KTAC, di Taman Maluri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelantikannya itu juga katanya, bertujuan meningkatkan jaringan akademik selain meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar.

Seluruh warga kampus begitu menghargai kehadiran Alimuddin yang juga Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Bhd sebagai peneraju kolej.