Sekolah tidak perlu sewa van lagi – Sinar Harian


Sekolah tidak perlu sewa van lagi

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Sekolah tidak perlu sewa van lagi
Sabri (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada Ahmad sebagai gimik penyerahan di perkarangan Maahad Muhammadi Pasir Pekan.

TUMPAT – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyumbangkan sebuah van Toyota Hiace bernilai RM104,000 kepada Sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan bagi kemudahan pengangkutan 884 pelajar, di sini.

Penyerahan van tersebut disempurnakan Ketua Eksekutif PKINK, Sabri Abdullah kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, merangkap Adun Pasir Pekan.

Pengetua Maahad Muhammadi Pasir Pekan, Tarmizi Said berkata, sumbangan van ini memberi manfaat besar kepada pelajar.

“Setiap kali aktiviti kokurikulum di luar sekolah, pihak sekolah tidak perlu menyewa pengangkutan lain kerana ada pengangkutan sendiri.

“Begitu juga bagi kegunaan pelajar asrama untuk ke mana-mana destinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan van sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Pelajar, Huda Syafinaz Badri pelajar tingkatan empat berkata, dia gembira dengan sumbangan van tersebut kerana ia kemudahan yang bernilai kepada pelajar.

“Biasanya, setiap kali aktiviti luar, pihak sekolah perlu menyewa bas dan van sekolah, paling dibanggakan di van itu ada nama sekolah,” katanya.

Pelajar tingkatan enam, Siti Salsadila Ishak berkata, wajar di setiap sekolah ada pengangkutan sendiri dan sumbangan ini merealisasikan impian pelajar di sini.

“Ia aset berharga sekolah kami dan terima kasih kepada PKINK atas keprihatinan mereka menyumbangkan van kepada sekolah kami,” katanya.

36,000 pelajar YIK nikmati BB1M, bantuan awal sekolah – Utusan


36,000 pelajar YIK nikmati BB1M, bantuan awal sekolah

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 10 Mac – Yayasan Islam Kelantan (YIK) menerima peruntukan Bantuan Awal Persekolahan dan Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M) berjumlah hampir RM4 juta untuk para pelajar di 68 buah sekolah di bawah kelolaannya.

Timbalan Pengarah YIK (Bahagian Sekolah), Mohamed Ya berkata, jumlah tersebut tidak termasuk kepada pelajar di 20 buah sekolah lagi yang sudah berdaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang mana telah menerima bantuan lebih awal.

Beliau berkata, pihaknya amat bersyukur kerana Kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan sekolah-sekolah YIK daripada agihan bantuan tersebut yang akan memberi manfaat kepada lebih 36,000 pelajar YIK secara keseluruhannya.

“Keprihatinan Kerajaan Persekutuan ini sekali gus menunjukkan pengiktirafan kerajaan kepada sekolah-sekolah agama di negeri ini yang mengamalkan sistem pembelajaran bersepadu antara kurikulum Kementerian Pelajaran dan sukatan YIK yang memfokus kepada Bahasa Arab dan agama.

“Soal duit datang daripada mana tidak penting tetapi yang jelas ia adalah bantuan daripada Kerajaan Persekutuan yang mana kita mesti bersyukur dan pelajar mesti manfaatkan.

“Para pelajar tidak boleh membazir membeli bahan bacaan tidak berkaitan sebaliknya hendaklah membeli buku untuk kepentingan pendidikan mudah-mudahan rezeki akan bertambah lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan dan BB1M kepada 2,296 pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi (P) berjumlah RM213,000 di dewan sekolah itu di sini hari ini.

Turut hadir menyampaikan bantuan adalah Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Ab. Aziz Daud mewakili Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130310/dn_32/36000-pelajar-YIK-nikmati-BB1M-bantuan-awal-sekolah#ixzz2N8oM5cwq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sultan rai pelajar cemerlang – Sinar Harian


Sultan rai pelajar cemerlang

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Disember 2012

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan meraikan pelajar cemerlang Sijil pelajaran Malaysia (SPM) 2011 sebagai bukti keprihatinan baginda terhadap kejayaan rakyat.

Majlis Anugerah Kecemerlangan D’ Raja anjuran Pertubuhan Kerabat D’ Raja Kelantan Al- Muhammadi menjadi saksi betapa baginda menghargai usaha gigih pelajar-pelajar cemerlang ini.

Bendaharinya, Tengku Ibrahim Farihaddin Datuk Feissal berkata, program pertama kali yang bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dicapai pelajar- pelajar di negeri ini adalah penghormatan tertinggi Sultan untuk mereka.

“Majlis julung kali dan akan menjadi aktiviti tahunan ini diadakan khas untuk meraikan bersama kejayaan pelajar di negeri ini tanpa mengira latar belakang dan keturunan.

“Baginda berkenan meraikan kejayaan pelajar ini yang bukan sahaja membanggakan diri dan ibu bapa mereka, malah masyarakat dan negeri ini secara keseluruhannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika menghadiri majlis itu di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Hadir sama, Yang DiPertua pertubuhan, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim dan isteri, Tengku Puan Laksamana Syarifah Azwan Syed Jamalullai; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad; Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang serta Koordinator pertubuhan itu, Kapten Mohd Khairul Anuar Ilias.

Menurutnya, majlis dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan, Yayasan Islam Kelantan (YIK), dan Kerajaan Negeri menyaksikan kira-kira 537 pelajar mendapat A  keseluruhan dari seluruh negeri ini.

“Sebagai kenangan daripada pertubuhan, pelajar-pelajar ini kita hadiahkan dengan Sijil Pengiktirafan daripada Sultan, selain jam tangan dan pen sebagai tanda kenangan,” kata Tengku Ibrahim Farihaddin.

Sementara itu, Baginda yang berangkat tiba jam 6 petang meluangkan masa kira- kira setengah jam menyempurnakan penyampaian kepada 40 penerima termasuk pelajar paling cemerlang, anak-anak kerabat dan penaja.

35,525 calon duduki PMR di Kelantan bermula hari ini – Utusan


35,525 calon duduki PMR di Kelantan bermula hari ini

KOTA BHARU 9 Okt. – Seramai 35,525 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 di Kelantan, menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini sehingga 16 Oktober depan.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 28,542 merupakan calon sekolah bantuan penuh kerajaan.

Beliau berkata, selebihnya adalah calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan persendirian.

“Kesemua calon menduduki peperiksaan di 321 pusat peperiksaan tetap yang disediakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121009/dn_28/35525-calon-duduki-PMR-di-Kelantan-bermula-hari-ini#ixzz28o4OOZnn
© Utusan Melayu (M) Bhd

110 pelajar OKU duduki PMR di Kelantan – Bernama


110 pelajar OKU duduki PMR di Kelantan

9 Oktober 2012

KOTA BHARU – Seramai 110 daripada 35,525 calon yang menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Kelantan tahun ini, terdiri daripada calon kurang upaya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Husin Awang berkata mereka dikategorikan sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang menduduki peperiksaan di sekolah khas, hospital dan sekolah harian biasa.

Daripada jumlah itu, seramai 31 orang ialah pelajar kurang upaya pendengaran, rabun (11), terencat akal (18), dan lain-lain kecacatan (50), katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Husin berkata kebanyakan mereka yang dikategorikan sebagai calon CBK itu mempunyai Kad Orang Kurang Upaya dan didaftarkan dengan JPN sebelum menduduki sesuatu peperiksaan.

Daripada jumlah 35,525 calon itu, seramai 28,542 calon sekolah kerajaan, calon sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) 5,454 orang, calon Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) 745, MARA (628) dan swasta/persendirian (156), katanya. – Bernama