Keluarga risau anak perempuan lari ikut kenalan Facebook – Utusan


Keluarga risau anak perempuan lari ikut kenalan Facebook

ALOR SETAR 31 Mac – Seorang bapa bimbang perkara buruk berlaku terhadap anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi, dipercayai lari mengikut teman lelaki yang dikenali setahun lalu melalui laman sosial Facebook.

Kehilangan See Yuan Ping, 17, dari Taman Kota Jaya, Kota Sarang Semut di sini, disedari adik lelakinya, See Wei Loon, 15, kira-kira pukul 5.30 pagi semalam, setelah dia mendapati kakaknya itu tiada dalam bilik tidur.

Bapa gadis itu, See Eng Hua, 46, berkata, Yuan Ping yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muadzam Shah di sini, telah berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Ooi Kit Yee, 21, melalui Facebook.

Beliau berkata, sepanjang mereka berkawan sejak setahun lalu, lelaki terbabit pernah datang ke rumahnya sebanyak dua kali.

“Saya memarahi anak saya dan mahu dia tumpukan perhatian kepada pelajaran dahulu, jangan asyik melayari internet tetapi tak sangka dia bertindak lari dari rumah mengikut lelaki tersebut.

“Saya keluar bekerja pukul 9 malam tadi dan anak lelaki telefon beritahu kakaknya tiada di bilik tidur.

“Kami cuba cari Yuan Ping di sekitar bandar raya ini dengan bantuan Ahli Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan mendapati anak saya serta lelaki tersebut telah menaiki bas pergi ke Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di Bangunan MCA di sini hari ini.

Eng Hua bimbang perkara buruk menimpa anak gadisnya itu kerana lelaki terbabit tidak bekerja.

Katanya, kehilangan Yuan Ping telah dilaporkan kepada polis dan berharap orang ramai yang melihat anaknya itu segera menghubunginya di talian 010-5369490 atau CRSM Alor Setar (010-5652011).

Sementara itu, isterinya, Yeow Geek Sean turut merayu agar anak mereka itu segera pulang ke pangkuan keluarga kerana mereka bimbangkan keselamatannya.

“Saya rindukan dia, dia pergi tanpa tinggalkan apa-apa nota. Saya harap dia pulang segera dan teruskan persekolahan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130401/dn_17/Keluarga-risau-anak-perempuan-lari-ikut-kenalan-Facebook#ixzz2PDlmTcn0
© Utusan Melayu (M) Bhd