Cadangan wajibkan semua lepasan sekolah menengah sertai PLKN perlu diteliti – Bernama


Cadangan wajibkan semua lepasan sekolah menengah sertai PLKN perlu diteliti

BAGAN DATOH 25 Mei – Cadangan mewajibkan semua pelajar lepasan sekolah menengah menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu diteliti sebaik mungkin kerana ia membabitkan kos hampir RM1 billion setiap tahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM260 juta bagi melatih 120,000 pelatih setiap tahun.

“Kalau kita bersetuju dengan cadangan Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) ini, ertinya kita akan membelanjakan empat kali ganda untuk melatih 500,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di PLKN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SM) Parlimen Bagan Datoh di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi MLKN Datuk Dr Tiki Lafe supaya pelajar lepasan sekolah menengah menyertai PLKN.

Beliau dilaporkan berkata jika cadangan itu dipersetujui sekurang-kurangnya 500,000 pelatih akan terlibat untuk satu tahun. – BERNAMA

Atasi masalah 3M – Metro


Atasi masalah 3M

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Pertahanan bagi mengenal pasti sekolah yang mempunyai pelajar gagal menguasai 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) ketika mendaftar menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selepas dikenal pasti pihaknya akan menilai sama ada perlu mengadakan program khas bagi membantu sekolah terbabit meningkatkan penguasaan 3M di kalangan murid mereka.
“Kami nak kenal pasti mereka datang dari sekolah mana, bandar ke luar bandar, (Sekolah) Kebangsaan (SK) dan (Sekolah) Jenis Kebangsaan. Dari situ kami akan susun balik sekolah yang dikenal pasti.

 

“Kalau perlu ada program khas mengatasi masalah ini kami akan laksanakan. Ini satu penemuan penting untuk kami mengambil perhatian kerana dalam rekod kementerian pun memang terdapat sebilangan kecil daripada pelajar yang sampai tingkatan lima masih mempunyai masalah tidak boleh membaca dan menulis,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Khas Amanat Tahun Baru Kementerian Pelajaran 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.
Hadir sama, kedua-dua timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi kelmarin bahawa lapan peratus daripada 6,667 pelatih PLKN dari 30 kem terpilih tidak boleh membaca dan menulis.

 

 

Zahid dilaporkan berkata, penemuan itu berdasarkan kajian projek perintis menggunakan modul I-Smart yang dilaksanakan terhadap kumpulan pelatih daripada pengambilan siri ketiga, Ogos tahun lalu.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi mengatasi masalah ini, kementerian memperkenalkan program literasi dan numerasi (Linus) sejak 2010 bertujuan menilai tahap kefahaman murid.

 

Katanya, penilaian dibuat sejak murid memasuki tahun satu, dari situ guru mengenal pasti kekurangan pelajar sama ada daripada segi fizikal, pendengaran dan penglihatan.
“Harapan saya apabila Linus diperkenalkan, kes pelajar tidak menguasai 3M tidak berlaku lagi. “Daripada apa yang sudah kami lakukan (keputusan pelaksanaanya) amat berkesan, apabila lebih 90 peratus dapat menerima proses pembelajaran dengan baik, tetapi program ini mengambil masa tiga tahun.
“Sekarang program ini sedang digunapakai untuk murid tahun dua, jadi tahun berikutnya amat penting kerana selepas tiga tahun kita harus dapat mencapai 100 peratus murid yang dapat menguasai 3M,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kementerian mempertimbangkan menambah panel penilai bebas tempatan dan antarabangsa yang diwujudkan bagi mengkaji semula sistem pendidikan negara ini.
“Panel ini dibentuk untuk membantu proses penilaian dengan menyediakan khidmat kepakaran dan nasihat serta mendapatkan pelbagai pandangan dan perspektif mengenai sistem pendidikan negara,” katanya.