Remaja maut motosikal bertembung kereta – Utusan


Remaja maut motosikal bertembung kereta

KUANTAN 13 Mei – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira di Km28 Jalan Temerloh-Bandar Jengka dekat Maran pagi tadi.

Sheikh Mohd Farid Sheikh Zulkifli, 17, yang bekerja sendiri dan menetap di Felda Jengka meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan dalam kemalangan 1.20 pagi itu.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, ketika itu mangsa datang dari arah Bandar Jengka menuju Temerloh.

“Mangsa dipercayai memotong sebuah lagi motosikal sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta terbabit.

“Pemandu kereta berkenaan, Zool Amali Zainal Abidin, 39, dan penunggang sebuah lagi motosikal itu, Muhamad Shazwan, 18, yang turut terbabit dalam kemalangan, hanya cedera ringan,” katanya di sini hari ini.

Mohamed Fauzi berkata, siasatan awal turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130513/je_08/Remaja-maut-motosikal-bertembung-kereta#ixzz2TB3Gx1RL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dua pelajar STPM daerah Besut pelajar terbaik negara – Utusan


Dua pelajar STPM daerah Besut pelajar terbaik negara

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

KUALA TERENGGANU 18 Mac – Terengganu terus mencipta rekod tersendiri apabila dua daripada 15 orang calon di negeri itu yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumum antara pelajar terbaik negara.

Dua pelajar dari daerah Besut itu ialah Normadia Manaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra dan Nor Izyani Suhaimi dari SMK Renek. Masing-masing memperoleh 5A dan 4A 1A-.

Sementara itu, daripada keseluruhan 2,980 calon yang menduduki peperiksaan itu di seluruh Terengganu pada tahun lalu, seramai 2,861 orang atau 96.01 peratus mendapat lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil berbanding peratusan kebangsaan 94.44 peratus.

Selain itu, 13 buah sekolah memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) melebihi 2.60 berbanding GPS negeri iaitu 2.40, antaranya Sekolah Menengah Atas (Agama) Sultan Zainal Abidin,(3.05), SMK Renek (2.86), SMK (Agama) Durian Guling (2.85) dan SMK Tengku Ibrahim (2.85). – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130318/dn_28/Dua-pelajar-STPM-daerah-Besut-pelajar-terbaik-negara#ixzz2NsXm378V
© Utusan Melayu (M) Bhd

Majlis penutup rai anak yatim, ibu tunggal – Metro


Majlis penutup rai anak yatim, ibu tunggal
TELUK INTAN: Edisi sulung Program Titipan Kasih Harian Metro 2012 di Masjid As Saadah, Kampung Bahagia, di sini, kelmarin menutup tirainya apabila lebih 160 penduduk termasuk 100 anak yatim, 40 ibu tunggal dan 20 keluarga miskin diraikan pada majlis berkenaan.

Hadir sama lebih 200 penduduk kampung termasuk ahli jawatankuasa masjid, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta golongan tidak bernasib baik yang diraikan pada majlis berbuka puasa di pekarangan masjid.
Rata-rata penduduk dan anak yatim ditemui mengakui teruja dengan sumbangan diberikan, malah tidak menyangka dirai dan dihargai sebegitu rupa.

Individu paling seronok pastinya 100 anak yatim berkenaan kerana tidak menyangka menerima pelbagai sumbangan lain biarpun sudah membeli pakaian raya di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Jumaat lalu.
Kelmarin, 100 anak yatim berkenaan turut menerima hamper, beg sekolah baru dan duit raya RM100 setiap seorang disampaikan penaja dan Harian Metro.
Sumbangan disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Naib Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad.

Hadir sama pada program itu termasuk Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail; Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat dan Ketua Kampung Bahagia, Tajol Hasnan.
Anak yatim, Nawwarah Abd Kadir, 12, berkata, dia bersyukur kerana sumbangan diterima boleh digunakan menjelang Aidilfitri nanti.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Perwira itu berkata, sejak kematian bapa, Abd Kadir Zainal Abidin, 60, lima tahun lalu, dia tidak pernah menerima bantuan sebanyak itu.
“Saya berterima kasih kepada Harian Metro kerana sudi meringankan beban saya sekeluarga terutama ketika menyambut Ramadan dan Syawal,” katanya.
Sementara itu, Muhd Azri Rohaimi, 10, pula berkata, dia sekeluarga kini bergantung bantuan kebajikan disumbangkan Felcra setiap bulan selepas kematian bapanya, Rohaimi Mat Isa, 45, lima tahun lalu.
Katanya, ibunya, Norhasmah Ihsan, 40, tidak bekerja dan segala keperluan rumah ditampung abang dan kakaknya yang bekerja. “Saya sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro di atas sumbangan diberikan. Aidilfitri tahun ini pastinya akan bertambah meriah,” katanya.
Nur Izzah Aizi, 10, pula berkata, dia bertuah kerana terpilih menerima sumbangan itu selain menyifatkan ia hadiah paling banyak diterimanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/30

Bapa baru didakwa rogol – Sinar Harian


Bapa baru didakwa rogol

RUBIAH OMAR
17 April 2012
Bapa baru didakwa rogol

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang baru bergelar bapa dalam tempoh hanya beberapa hari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan bersubahat dengan dua rakannya dalam kejadian rogol pelajar tingkatan dua, awal April lalu.

Tertuduh, Nor Shahrul Zuraimie Noruddin, 20, dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila, Kampung Raja, Besut, didakwa dengan sengaja telah bersubahat dengan dua rakannya merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Tembila, Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Besut, pada 3 April lalu lebih kurang jam 8 pagi hingga 10 pagi.

Bagaimanapun, tertuduh yang bekerja sebagai buruh itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 116 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan bolehlah juga dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Zulfazliah Mahmud di hada­pan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Zainal Abidin menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Sementara itu, dua rakannya, yang juga bekerja sebagai buruh itu turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasi­ngan, semalam atas dakwaan merogol mangsa.

Bagi tertuduh, Abdullah Che Pa, 19, dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila, Kampung Raja, Besut didakwa dengan sengaja telah merogol mangsa pada 2 April lalu antara jam lebih kurang 9 malam hingga 11 malam.

Abdullah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Manakala bagi tertuduh, Faizol Yaacob, 22, dari Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Besut didakwa merogol mangsa pada keeso­kan harinya iaitu 3 April lalu lebih kurang jam 8 pagi hingga 10 pagi di rumah sama.

Dengan itu, Faizol didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh di penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan berkenaan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua tertuduh direkodkan, hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua mereka dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bekas penyelam nafi noda gadis – Metro


Bekas penyelam nafi noda gadis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas penyelam di sebuah pusat peranginan di negeri ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tiga pertuduhan merogol anak saudara tirinya yang berusia 15 tahun pada November lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Sapawi Ismail, 27, dari Kampung Beting Lintang, Kampung Raja, Besut yang berkerusi roda kerana mengalami penyakit saraf tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin. Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Sapawi didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Beting Lintang, Kampung Raja, Besut antara jam 8 hingga 11 malam pada 27 November lalu.
Selain itu, Mohd Sapawi turut mengulang perbuatan sama terhadap mangsa di kampung sama antara jam 8 hingga 11 malam pada 28 November lalu dan pada 29 November lalu antara jam 10 hingga 11 malam.

Pemuda lumpuh dituduh rogol pelajar 15 tahun – Bernama


Pemuda lumpuh dituduh rogol pelajar 15 tahun

2012/04/02

KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda yang lumpuh dari pinggang ke kaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana dituduh merogol seorang pelajar berusia 15 tahun sebanyak tiga kali pada November tahun lalu.

Mohd Sapawi Ismail, 27, yang terpaksa berkerusi roda ketika dihadapkan di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin, adalah bekas tenaga pengajar aktiviti selam skuba sebelum mendapat penyakit lumpuh pada tahun 2010. Bagi pertuduhan pertama, Mohd Sapawi didakwa merogol pelajar itu di rumahnya di Kampung Beting Lintang di Kampung Raja, Besut, antara jam 8 malam dan 11 malam 27 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dituduh mengulangi perbuatan itu pada 28 dan 29 November di sebuah rumah berdekatan rumahnya antara waktu yang sama.
Tiada pengakuan dicatatkan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zul Fazliah Mahmud manakala Mohd Sapawi tidak diwakili peguam.

Zainal Abidin menetapkan 25 April ini bagi tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh. – BERNAMA

MAKJ diumum sekolah terbaik empat peperiksaan – Sinar Harian


MAKJ diumum sekolah terbaik empat peperiksaan

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 16, 2012
Pelajar-pelajar-cemerlang--SMAKJ-Kluang-menunjukkan-sijil-peperiksaannya-yang-diperoleh-dalam-peperi

KLUANG – Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) Kluang diumumkan sekolah terbaik dalam empat peperiksaan utama peringkat sekolah agama negeri ini melibatkan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sekolah Menengah Rendah Agama (SMRA), Sijil Intensif Bahasa (SIB) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pengumuman keputusan SMA, SMRA, dan SIB itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman di SMAKJ, Kluang sempena Majlis Peng­isytiharan Keputusan Peperiksaan di sini, semalam.

Sekolah berkenaan cemerlang hampir 100 peratus dan mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) paling baik di setiap peperiksaan terutama dalam peperiksaan SMA, SMRA dan SIB.

GPS yang diterima untuk ketiga-tiga peperiksaan tersebut ialah 1.37, 1.38 dan 2.14 yang mana menunjukkan peningkatan jika mahu dibandingkan keputusan GPS yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Menurut Guru Penolong Kanan Akademik, Yatimah Subni berkata, pada tahun ini sekolah SMAKJ sangat bertuah kerana dapat memperoleh kecemerlangan 100 peratus dan pelajar yang mendapat keseluruhan ‘A’ juga semakin bertambah.

“Pelbagai program dijalankan bagi memastikan para pelajar yang menghadapi peperiksaan ini mendapat keputusan yang cemerlang. Antara program tersebut adalah program motivasi yang mana pihak sekolah akan memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar di awal
tahun.

“Selepas itu, pelajar-pelajar ini akan diberikan latihan menjawab soalan melalui program teknik menjawab peperiksaan yang mana latihan diberi sebelum pelajar menghadapi peperiksaan percubaan dan dua minggu diambil untuk melatih para pelajar tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Yatimah berkata, selepas peperiksaan percubaan pelajar turut didedahkan dengan program Gerak Gempur yang mengambil masa selama sebulan sebelum menghadapi peperiksaan yang sebenar.

“Dalam pada itu, yang membuatkan sekolah ini berlainan adalah kami mengadakan program makanan tambahan yang mana para pelajar yang akan menghadapi peperiksaan ini akan diberi makanan tambahan seperti susu dan kismis selama dua bulan sebelum menjelang peperiksaan.

“Malah, pemberian makanan tambahan tersebut akan diberikan sehingga pelajar tersebut habis menduduki peperiksaan. Kita percaya dengan pemakanan yang baik akan melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik,” katanya.

Bajet tambahan 12 peratus – Sinar Harian


Bajet tambahan 12 peratus

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 14, 2012

KLUANG – Sektor pendidikan agama menerima peruntukan tambahan sebanyak 12 peratus daripada Kerajaan Negeri pada tahun ini khusus untuk menggandakan lagi aktiviti-aktiviti keagamaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebelum bajet tambahan ter­­sebut dimaklumkan, Kerajaan Ne­geri telah memperuntukkan bajet sebanyak RM180 juta pada 2011 khusus untuk pengurusan pendidi­kan agama.

“Walau bagaimanapun, untuk portfolio agama, peruntukan yang diterima adalah peruntukan terbesar daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya sempena Majlis Peng­isytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA), Sijil Intensif Bahasa (SIB), Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) dan Peng­anu­gerahan Kecemerlangan Ujian Pe­nilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi tahun 2011 yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, dari segi pembinaan sekolah agama di negeri ini, Kerajaan Negeri tetap akan memberi keu­ta­maan kepada pendidikan agama dengan menambahkan jumlah sekolah agama mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan sedang membina 121 sekolah agama. Ia dibina berikutan terdapat sekolah-sekolah agama yang menumpang.

“Pembinaannya dijangka siap selewat-lewatnya pada 2013 dengan kos lebih daripada RM200 juta.

“Dengan pembinaan tersebut ia menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam pembangunan pendidikan agama di negeri ini,” katanya.

Katanya, Majlis Agama Islam Johor (Maij) telah mengeluarkan RM61.9 juta dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini bagi pembangunan sekolah agama rakyat (SAR), Skim Wakaf Kitab, bantuan anak-anak yatim dan insentif untuk pelajar tahfiz.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memberi perhatian dan sokongan terhadap program pembangunan pendidikan agama di negeri ini, khususnya yang menjurus ke arah pembentukan dan perkembangan minda anak-anak.
“Malah, ianya bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan warga Malaysia yang berilmu dan berpengetahuan menjelang 2020,” katanya.