Dua remaja hilang ditemui bersama tiga lelaki
8 Februari 2013

Remaja hilang Noor Nadilah dan Nor Azizah.
SELAYANG – Dua remaja Noor Nadilah Kamarudin dan Nor Azizah Jamaludin yang dilaporkan hilang sejak 31 Januari lalu ditemui semalam di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Batu Caves sekitar jam 3.30 petang bersama tiga lelaki.
Ayah Noor Nadilah, Zainudin Che Pa, 38, berkata, Noor Nadilah dan sahabat karibnya itu dipercayai cuba melarikan diri dan ingin keluar dari Selayang selepas kehilangan mereka dilaporkan dalam akhbar.
“Mereka membawa beg pakaian dan dua daripada tiga lelaki bersama mereka berjaya ditahan untuk membantu siasatan.
“Saya bersyukur kerana Noor Nadilah dan Nor Azizah ditemui dalam keadaan baik dan sihat,” katanya.
Zainudin berkata, dia berasa lega dan gembira anak perempuannya itu ditemui dan mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat.
Difahamkan, kelibat dua remaja perempuan terbabit dikesan selepas mereka bertembung dengan rakan sekolah di stesen komuter itu.
Rakan mereka itu kemudiannya bertindak memaklumkan pertemuan tersebut kepada keluarga Noor Nadilah dan Nor Azizah.
Semalam Sinar Harian melaporkan kehilangan dua remaja itu selepas gagal dikesan keluarga sejak 31 Januari lalu apabila didapati tidak pulang ke rumah sebaik tamat persekolahan.
Pelbagai cara dilakukan keluarga untuk menjejaki remaja berkenaan termasuk menampal poster mereka di beberapa negeri seperti Melaka dan Pulau Pinang selain menggunakan laman sosial facebook.
Kerisauan Zainudin memuncak apabila anaknya Noor Nadilah mempunyai masalah kesihatan dan bakal menjalani pembedahan usus 27 Februari ini.
Usaha menjejaki remaja berkenaan juga turut dipergiat oleh anggota polis yang menjalankan siasatan sejak kehilangan mereka dilaporkan.