Zawin Najah harumkan nama negara – Utusan Malaysia


Zawin Najah harumkan nama negara

Maximus Ongkili menyampaikan hadiah komputer riba 1Malaysia dan sijil penghargaan kepada Zawin Najah Zulkefli di Arau, kelmarin.

 

KANGAR 24 Jun – Pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di sini, Zawin Najah Zulkefli, 17, mengharumkan nama negara apabila berjaya memenangi tempat ketiga Intel International Science and Engineering Fair (ISEF) 2011 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), bulan lalu.

Zawin Najah berjaya menggondol tempat ketiga Grand Award dan membawa pulang wang tunai bernilai AS$1,000 (RM3,000) melalui projek bertajuk Green Based Conductive Polymer Sensorbagi kategori Sains Alam Sekitar.

Menurutnya, melalui projek tersebut dia berjaya menghasilkan kit pengesan gas beracun seperti gas ammonia dalam industri yang diperbuat daripada sisa kulit telur yang lebih murah dan mesra alam.

“Projek itu telah bermula sejak enam bulan lalu semasa saya menyertai Intel ISEF peringkat kebangsaan pada Disember tahun lalu dan berjaya menggondol tempat kedua,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu, Zawin Najah menerima sumbangan komputer riba sebagai hadiah kemenangan daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pada satu majlis yang turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu di sini, semalam.

Zawin Najah berkata, dia mendapat kerjasama dan bantuan daripada Universiti Malaysia Perlis (Unimap) untuk melaksanakan uji kaji keberkesanan kit tersebut.

“Selain bantuan itu, Unimap turut memberi peluang kepada saya untuk menggunakan tiga makmal mereka bagi menguji kit berkenaan,” katanya.

Dia berkata, sepanjang melaksanakan projek tersebut, dia hanya mengeluarkan modal sebanyak RM100 terutamanya bagi mendapatkan sisa kulit telur.

Dalam pertandingan Intel ISEF 2011 yang berlangsung dari 8 Mei sehingga 13 Mei itu, Zawin Najah berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan para pemenang kategori berkenaan yang majoriti dimenangi oleh para pelajar AS.