Sistem pendidikan diperkasa – Berita Harian


Sistem pendidikan diperkasa

Daripada Fadzlena Jafar di Abu Dhabi
fadzlena@bharian.com.my
2012/05/10

MUHYIDDIN dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman   beramah mesra dengan murid Sekolah Al Mushrif ketika melawat  sekolah berkenaan di Abu Dhabi, kelmarin.

MUHYIDDIN dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman beramah mesra dengan murid Sekolah Al Mushrif ketika melawat sekolah berkenaan di Abu Dhabi, kelmarin.

Kerajaan beri keutamaan tingkat mutu capai bertaraf dunia: Muhyiddin

USAHA meningkatkan kualiti sistem pendidikan supaya bertaraf dunia menjadi keutamaan kerajaan bagi memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi pada 2020, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sistem pendidikan di sesebuah negara perlu terus berkembang untuk kekal bersaing dalam dunia yang sentiasa berubah selain berupaya memenuhi aspirasi negara.

“Sebagai pemimpin hari ini, menjadi tanggungjawab kerajaan dalam memastikan generasi muda hari ini dapat melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Oleh itu, setiap kerajaan yang efektif perlu membabitkan semua sektor untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dalam membantu menjayakan transformasi sistem pendidikan termasuk mengambil kira pandangan mereka dalam membentuk hala tuju pendidikan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Leading Across – How Do Effective Government Leaders Engange Across Sectors? pada Sidang Kemuncak Mentransformasikan Pendidikan (TES) anjuran Majlis Pelajaran Abu Dhabi (ADEC) di sini, semalam.

Persidangan yang julung kali diadakan itu dinaungi Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan yang juga Pengerusi ADEC merangkap Timbalan Ketua Pemerintah Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kira-kira 200 pakar dalam bidang masing-masing termasuk pemimpin, ahli akademik dan penggiat dalam sektor swasta dijemput menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Selain Muhyiddin, turut menyampaikan ucaptama pada TES bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown; bekas Presiden Finland, Tarja Halonen dan bekas Menteri Pelajaran Ireland, Mary Hanafin.

Muhyiddin yang turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam membangunkan sistem pendidikan sejak mencapai kemerdekaan berkata, kerajaan perlu menangani pelbagai cabaran bagi melaksanakan program bersesuaian membabitkan semua pihak berkepentingan.

“Ketika ini, ada 400,000 guru, lebih lima juta pelajar di 10,000 sekolah dan 27 juta rakyat merangkumi pelbagai etnik, agama dan latar belakang sosial di Malaysia.

“Oleh itu, cabaran utama dalam menjayakan transformasi untuk mengimbangi dan mencari kesamaan di kalangan setiap pihak ini untuk melaksanakan program serta polisi bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berasingan, beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji kemampuan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid bagi membolehkan generasi muda hari ini bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kita sudah biasa dengan (pengajaran) dwibahasa di sekolah di negara ini dan kajian sedang dijalankan sama ada kita boleh menggalakkan pengajaran multi bahasa,” katanya kepada wartawan Malaysia sejurus melakukan lawatan ke Sekolah Al Mushrif di sini, kelmarin.

Sistem pendidikan lahirkan tenaga kerja pakar, berkemahiran tinggi – Utusan


Sistem pendidikan lahirkan tenaga kerja pakar, berkemahiran tinggi

ABU DHABI 8 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan ketika ini memberi tumpuan penuh terhadap bagaimana sistem pendidikan negara mampu melahirkan tenaga kerja pakar dan berkemahiran tinggi pada masa depan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, transformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini dijangka menyediakan kira-kira 3.3 juta peluang pekerjaan baru dengan sebahagian besarnya perlu diisi oleh tenaga kerja pakar dan berkemahiran tinggi dalam kalangan rakyat tempatan.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, sistem pendidikan negara perlu sentiasa dikaji dan ditingkatkan dari semasa ke semasa ke arah mencapai matlamat tersebut.

“Salah satu yang menjadi penekanan sudah semestinya kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, selain memberi tumpuan kepada subjek berteraskan sains dan teknologi maklumat yang semakin penting ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan dengan 250 rakyat Malaysia yang menetap di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), di sini malam tadi.

Majlis pertemuan itu merupakan antara program dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari beliau di Abu Dhabi bermula semalam hingga esok.

Terdahulu, Muhyiddin turut melakukan kunjungan hormat ke atas Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, selain memenuhi undangan makan malam bersama rakan sejawatannya, Sheikh Saif Zayed Al Nahyan.

Sepanjang berada di sini juga, Muhyiddin dijadual mengetuai delegasi perdagangan Malaysia bersama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin akan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Mentransformasikan Pendidikan (TES) 2012 esok.

Menurut Muhyiddin, proses transformasi pendidikan merupakan proses berterusan seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan perubahan dunia hari ini yang semakin pantas serta dinamik.

Katanya, proses pendidikan juga bukan lagi semata-mata untuk memenuhi keperluan rakyat sebaliknya menyediakan mereka dengan sebarang perubahan yang akan berlaku untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

“Kerajaan sangat fokus dengan apa yang dilaksanakan menerusi transformasi pendidikan ini termasuk mengadakan dialog bersama pelbagai pihak dalam mendapatkan pandangan mengenai cara terbaik ke arah tersebut.

“Laporan pelan hala tuju pendidikan negara itu akan dibentangkan pada Ogos ini dan ia akan menjadi panduan dalam membentuk sistem pendidikan negara yang bersesuaian pada masa depan,” katanya. – UTUSAN