Murid UPSR dikhuatiri lemas – Utusan


Murid UPSR dikhuatiri lemas

KUCHING 15 Sept. – Seorang murid lelaki yang baru selesai menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Khamis lalu dikhuatiri lemas ketika bermain papan luncur di Sungai Sarawak berhampiran Kampung Sinjan, Petra Jaya hari ini.

Kejadian berlaku pukul 10.45 pagi ketika Zulhaziq Fadhzely Randy, 12, bermain papan luncur bersama bapa saudaranya, Awang Ahmad Awang Joly, 55, di sungai itu yang terletak 20 kilometer dari rumahnya.

Difahamkan, ketika mereka sedang leka bermain tiba-tiba papan luncur itu dipukul ombak kecil menyebabkan mangsa yang juga anak bongsu daripada enam beradik terjatuh dan lemas.

Bagaimanapun, Awang Ahmad terselamat selepas dibantu oleh penduduk kampung manakala Zulhaziq dihanyutkan ombak dan gagal dikesan.

Sehingga pukul 4 petang ini, mangsa yang merupakan murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Thomas belum ditemui dan usaha mencari serta menyelamat giat dijalankan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya.