Takdir bantu ibu menoreh – Metro


Takdir bantu ibu menoreh

Oleh Jaafar Mulup

Gemencheh: Pengorbanan dua beradik yang sanggup membanting tulang membantu ibu dan bapa menoreh getah berakhir tragedi pilu apabila mereka terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 7, Jala Air Kuning Selatan-Sungai Dua, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, Muhammad Syawal Noor Arzeme, 14, dan adik perempuannya, Nur Umi Umairah, 12, maut di tempat kejadian apabila motosikal Yamaha Ego ditunggangi mereka bertembung kenderaan pacuan empat roda.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Dua selepas melakukan kerja memasukkan cuka getah ke dalam mangkuk di kebun bapa mereka di Jalan Air Kuning Selatan.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang berkata, siasatan awal mendapati setibanya di tempat kejadian, Muhammad Syawal cuba memotong sebuah kenderaan lain dari arah sama dan memasuki arah bertentangan.
“Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun tidak sempat mengelak lalu bertembung motosikal dinaiki dua beradik itu.
“Kedua-dua mangsa melambung dan tercampak di bahu jalan, manakala motosikal diseret sejauh 20 meter dan terhumban ke dalam belukar sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi di sini.

 

Menurutnya, Muhammad Syawal dan Nur Umi Umairah yang cedera di kepala dan beberapa anggota badan mati di tempat kejadian.
“Mayat dua beradik itu dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya.

 

Sementara itu, ibu mangsa Nur Alieya Aman, 36, ketika ditemui di pekarangan bilik mayat HT tidak dapat menahan pilu apabila menceritakan kejadian menimpa anak pertama dan kedua daripada empat beradik itu. “Mereka (anak) biasa menolong saya untuk membuat getah beku, apatah lagi kesihatan suami kurang baik dalam beberapa hari ini.
“Petang tadi (kelmarin) anak keluar rumah kira-kira jam 2.30 petang menuju ke kebun getah untuk memasukkan cuka getah ke dalam mangkuk getah supaya susu yang ditoreh pada sebelah pagi cepat beku.
“Kira-kira jam 3.40 petang, saya terkejut apabila mengetahui kedua-dua anak terbabit kemalangan jalan raya daripada kawan-mereka,” katanya.
Nor Alieya berkata, dia dan suaminya, Noor Arzeme Mohd Yunus, 35, kemudian bergegas ke tempat kejadian dan terperanjat serta pilu apabila melihat mayat kedua-dua anak mereka terbaring berlumuran darah dan tidak bernyawa lagi.
Katanya, dia perasan beberapa perubahan berlaku ke atas diri Nor Umi Umairah yang kerap bermalam di rumah kakaknya, Noraida, 48.
“Sejak cuti persekolahan bermula, setiap malam Nur Umi Umairah akan pergi ke Gemencheh untuk tidur di rumah emak saudaranya dan pulang ke rumah pada sebelah pagi,” katanya.
Sementara itu, Noraida berkata, Nur Umi Umairah ada memberitahu dia akan tidur di rumahnya pada setiap malam bagi membiasakan ibunya berenggang dengannya.
“Dan kebelakangan ini perubahan dirinya amat ketara kerana tidak menggunakan telefon bimbit dan meminta saya menyimpannya.
“Pakaian sekolah yang saya belikan juga tidak pernah dicubanya, malah meminta saya sedekahkan kepada orang lain yang lebih memerlukan,” katanya.
Katanya, dia tidak menyangka perubahan sikap anak saudaranya itu petanda akan meninggalkan keluarga selama-lamanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/21