Terdampar atas benteng – Metro


Terdampar atas benteng
Oleh MOHD NOR ASRI YAACOB
metahad@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang lemas selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya ketika mandi di Sungai Kelantan, Kuala Besar, dekat sini, kelmarin, ditemui penduduk kampung jam 9.45 pagi semalam.

Mayat Nurfitriah Mat Yasin dari Kampung Kedai Buluh, dekat sini, ditemui terdampar pada benteng sungai, 150 meter dari tempat dia tenggelam.
Pegawai Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Kota Bharu, Abdullah Mohamad berkata, sekumpulan penduduk yang membantu anggota bomba dalam operasi mencari dan menyelamat bermula jam 9 pagi semalam, ternampak mayat Nurfitriah terdampar di benteng sungai sebelum memaklumkan anggota bomba.

“Lapan anggota bomba ke tempat mayat ditemui menggunakan dua bot. Mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.
“Mayat ditemui 150 meter dari tempat dia tenggelam semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi, semalam.
Harian Metro semalam melaporkan, Nurfitriah dihanyutkan arus deras selepas cuba menarik tangan anak saudaranya, Muhammad Ishrak Mohd Sofian, 9, yang lemas ketika mereka mandi Sungai Kelantan, Kuala Besar, dekat sini.

Bagaimanapun, Muhammad Ishrak diselamatkan penduduk yang melihat kejadian itu, manakala Nurfitriah gagal diselamatkan.
Kakak mangsa, Norzulini Mat Yasin, 24, berkata, dia bersyukur mayat adiknya ditemui dan reda dengan apa yang berlaku.

“Nurfitriah manja dan aktif, dan saya masih terbayang raut wajahnya ketika meminta saya membelikan ayam goreng dan air batu campur di pasar malam sebelum kejadian,” katanya ketika ditemui di HRPZ II, semalam.

‘Mak Su tarik tangan’ – Metro


‘Mak Su tarik tangan’
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KOTA BHARU: “Tidak sangka, ia menjadi kenyataan apabila malam sebelum kejadian, anak saya memberitahu arwah kakaknya mengajaknya tinggal bersama,” kata Mat Yasin, 51, bapa kepada seorang murid perempuan tahun enam yang dikhuatiri lemas selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya berusia sembilan tahun ketika mereka mandi di Sungai Kelantan, Kuala Besar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Nurfitriah Mat Yasin, 12, dihanyutkan arus deras selepas cuba menarik tangan anak saudaranya, Muhammad Ishrak Mohd Sofian yang lemas.
Bagaimanapun, Muhammad Ishrak diselamatkan seorang penduduk kampung yang melihat kejadian itu, manakala Nurfitriah gagal diselamatkan.

Sehingga jam 7 malam semalam, Nurfitriah belum ditemui.

 

Mat berkata, dia tidak menyangka kata-kata anaknya itu petanda dia akan kehilangan seorang anak.