Dua rakan ditemui lemas – Kosmo


Dua rakan ditemui lemas

Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB
yunus.yakkub@kosmo.com.my

ORANG ramai melihat jenazah dua kanak-kanak yang ditemui
lemas di Putatan semalam.

PUTATAN – Kebimbangan seorang bapa mengenai keselamatan anaknya yang dilaporkan tidak ke sekolah menjadi kenyataan apabila kanak-kanak itu ditemui lemas bersama rakannya ketika mandi-manda di pantai Kuala Laut berhampiran Taman Teluk Villa dekat sini kelmarin.

Mayat Mohammad Nurrabbiyel Ismail dan Sufian Sahide, kedua-duanya berusia sembilan tahun, ditemui pada pukul 6 petang dalam keadaan terapung di tebing berhampiran taman tersebut.

Ketika ditemui, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Putatan itu lengkap memakai seragam sekolah dan berkasut.

Bapa Nurrabbiyel, Ismail Ahmad, 40, memberitahu, sebelum mayat anaknya ditemui, dia merasa tidak sedap hati apabila dimaklumkan yang anak bongsu daripada enam beradik itu tidak masuk ke kelas ketika dia datang untuk menjemputnya.

“Biasanya, saya yang akan menjemput anak saya setiap kali sesi persekolahan tamat. Saya terus mencarinya di kawasan sekitar sebaik dimaklumkan mengenai Nurrabbiyel yang tidak ke sekolah.

“Berderau darah saya apabila dimaklumkan terdapat kejadian lemas membabitkan kanak-kanak di kawasan taman perumahan dan apabila saya pergi, memang sah ia melibatkan anak saya,” ceritanya dalam nada sebak ketika ditemui.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa telah dilarang mandi di kawasan berkenaan oleh sekumpulan nelayan ekoran cuaca buruk yang menyebabkan laut bergelora.

Sementara itu, saksi kejadian, Abdul Malik Abdul Raup, 40, berkata, mayat dua kanak-kanak itu pada mulanya disangka tunggul oleh sekumpulan remaja yang menemuinya.

“Saya bersama penduduk kampung kemudian pergi ke tempat yang dimaksudkan sebelum mendapati objek yang disangka tunggul itu merupakan mayat kanak-kanak itu,” kata guru SK Putatan itu.

Dua beradik ditelan ombak – Metro


Dua beradik ditelan ombak
Oleh Norasikin Daineh dan Hayati Nasrah
hmkk@hmetro.com.my

KUDAT: Kegembiraan lima remaja mandi-manda di Pantai Tindakon Dazang, dekat sini, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka yang juga adik- beradik lemas dihanyutkan ombak, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mayat Jaidi Injau, 24, ditemui ahli keluarga, jam 9.30 malam pada hari kejadian, manakala adiknya, Wilson, 14, ditemui pasukan penyelamat, jam 7.44 pagi, kelmarin.
Difahamkan, dua beradik itu bersama tiga lagi sepupu mereka ke pantai itu untuk mandi sebelum dihanyutkan ombak menyebabkan kelima-lima mereka lemas, manakala tiga lagi sepupu dapat menyelamatkan diri sebelum meminta bantuan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, Mustama Oyong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.03 petang dan tiba di tempat kejadian sejam kemudian.
“Pihak kami memulakan operasi menyelamat pada jam 4.04 petang dan seramai tiga anggota diarahkan ke pantai ini bagi mencari mangsa yang hilang selain turut dibantu ahli keluarga mangsa.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/31

2 mati lemas, 1 kritikal, 3 terselamat – Utusan


2 mati lemas, 1 kritikal, 3 terselamat

 

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
utusanpahang@utusan.com.my

 

SEORANG lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa bertungkus-lumus memberi bantuan kecemasan kepada kanak-kanak yang lemas di Pantai Sepat, Kuantan, semalam.

 

KUANTAN 22 Jan. – Kegembiraan satu keluarga meluangkan masa dengan mandi-manda di Pantai Sepat di sini sempena cuti hujung minggu dan Tahun Baru Cina, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas.

Mereka yang meninggal dunia merupakan adik- beradik tiri iaitu Mohd. Saiful Mohd., 11, dan Mohd. Zaiful Abu Talib, 13.

Dalam kejadian pukul 4 petang itu, seorang lagi daripada mereka yang terselamat dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini manakala tiga lagi dirawat di wad pesakit luar.

Menceritakan kejadian malang itu, ibu mangsa, Zaleha Abd. Ghani, 42, berkata, mereka sekeluarga yang berasal dari Sungai Isap di sini, datang ke pantai itu untuk mandi-manda.

“Kesemua enam anak saya mandi di pantai tersebut. Sedang asyik mandi, tiba-tiba mereka dipukul ombak menyebabkan tiga daripadanya lemas.

“Saya cuba tarik mereka tetapi hanya seorang sahaja dapat diselamatkan. Dua lagi dapat dibawa ke darat oleh orang ramai tetapi meninggal dunia akibat sesak nafas manakala yang lain dapat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di HTAA, di sini malam ini.

Zaleha dalam nada sebak berharap tragedi di Pantai Sepat itu tidak berulang dan menimpa keluarga lain.

“Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan pengawasan di pantai ini,” katanya.

Sementara itu, jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Mahathir Ali yang kebetulan melalui kawasan tragedi untuk ke rumah rakannya di Pekan, mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku apabila melihat orang ramai berkerumun.

“Ketika saya sampai, orang ramai sedang memberi bantuan kecemasan kepada seorang kanak-kanak yang lemas di gigi air.

“Saya kemudian diberitahu ada seorang lagi mangsa terdampar di kawasan rumput tidak jauh dari situ yang menunggu untuk dibawa ke hospital.

“Secara tiba-tiba juga orang ramai menjerit melihat seorang lagi mangsa terapung di air dan mereka bergegas untuk menyelamatkannya,” katanya.

Menurut Mahathir, selang beberapa minit pula, dia melihat seorang lagi mangsa lain didukung oleh orang awam naik ke pesisir pantai.

Katanya, kebanyakan mangsa dibawa ke hospital menggunakan kereta orang ramai di kawasan itu sebelum pasukan bomba dan polis tiba di lokasi kejadian pukul kira-kira pukul 6.15 petang.