Pendidikan Kemahiran & Vokasional Bukan Pengajian Kelas Kedua – KP JTM – Bernama


Pendidikan Kemahiran & Vokasional Bukan Pengajian Kelas Kedua – KP JTM

BUKIT MERTAJAM: Masyarakat terutama ibu bapa perlu mengubah pemikiran yang menganggap pendidikan dalam bidang kemahiran dan vokasional sebagai bidang pengajian kelas kedua.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Romli Hassan berkata tanggapan itu perlu dikikis kerana lulusan institut latihan dan kemahiran di negara ini mampu memenuhi keperluan pasaran industri tempatan dan luar negara.

“Masalahnya sekarang ni dari segi minda masyarakat. Media perlu memainkan peranan untuk menukar pemikiran masyarakat, ‘think out of the box’. Mereka seperti tidak boleh menerima apabila anak mereka mahu bekerja di kilang.

“Mereka tidak tahu kerja kilang tu taraf mana. Bukan semua yang kerja kilang tu jadi pekerja biasa. Ada yang menjadi ‘supervisor’, ‘technician’. Kalau semua nak kerja kerajaan mana boleh, kilang siapa yang nak kerja? Lagi satu pelaburan macam mana nak masuk? Kerja di mana-mana sama sahaja, yang penting ikhlas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan bagi sekolah-sekolah teknik dan vokasional seluruh negara tahun 2012 di Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI), di sini, Isnin. Romli berkata antara 10,000 hingga 13,000 pelatih institut latihan dan kemahiran di bawah JTM menamatkan pengajian mereka setiap tahun dan 88 peratus berjaya mendapat pekerjaan dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh enam bulan.

“Hanya 12 peratus daripada jumlah itu masih belum mendapat kerja dan mereka dalam proses mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata pelajar juga berpeluang memiliki kerjaya yang baik dalam bidang itu kerana kemahiran dan latihan yang diterima menjadikan mereka mudah ‘dipasarkan’.

Mengulas lanjut, Romli berkata seiring dengan usaha kerajaan untuk mentransformasikan bidang kemahiran dan vokasional, sebanyak empat institut latihan kemahiran baharu akan dibuka iaitu di Taiping, Perak; Jerantut, Pahang; Kemaman, Terengganu dan Bintulu, Sarawak yang dijangka beroperasi pada Januari dan Julai tahun depan.

Katanya ketika ini terdapat 28 institut latihan di bawah JTM sedang beroperasi dan berkeupayaan melatih 23,000 pelajar setiap tahun dengan menawarkan 68 bidang kemahiran dan vokasional di seluruh negara. -BERNAMA

Latihan Vokasional Di Sekolah Tinggi Menjelang 2013 – mStar


Latihan Vokasional Di Sekolah Tinggi Menjelang 2013
Oleh TASHNY SUKUMARAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia berhasrat untuk memulakan latihan vokasional di sekolah tinggi menjelang 2013, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam.

“Kami mahu menjadikan pendidikan vokasional sebagai satu sistem pilihan yang menarik malah menjadi pelajar lebih cemerlang,” kata beliau, yang berucap pada Konvensyen Kemahiran Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Beliau berkata, pendidikan vokasional amat penting, dan para pelajar perlu diberikan pendedahan mengenainya dari Tingkatan Satu dan seterusnya.

Pelajar juga akan menerima sijil vokasional berserta dengan sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Subramaniam menjelaskan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang berunding dengan beberapa universiti bagi membincangkan tentang pemberian ijazah bagi kemahiran yang dipelajarinya dan bukannya diploma supaya graduan sekolah vokasional akan memiliki dua kelayakan dan memerlukan pengalaman itu.

“Saya berharap ia dapat menyesuaikan diri dengan sektor swasta supaya kita dapat memperoleh sinergi,” katanya kepada delegasi pada konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu.

“Mendedahkan para pelajar kepada pendidikan vokasional pada usia muda membantu mereka untuk terus mahir… menjelang 2020, 60 peratus daripada pekerjaan adalah berdasarkan kemahiran,” kata beliau.

Eksploitasi kudrat pelajar – Metro


Eksploitasi kudrat pelajar

Oleh Aniza Zainudin dan Nurul Husna Mahmud
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyifatkan unsur eksploitasi terhadap kanak-kanak melakukan jualan pengumpulan dana pusat tahfiz dengan alasan memberi pendedahan keusahawanan adalah tidak wajar, apatah lagi kegiatan itu turut dikaitkan dengan individu yang terbabit dalam ajaran sesat.

Ini bermakna tanggungjawab yang diamanahkan ibu bapa dan penjaga menjadikan anak mereka sebagai tahfiz seolah tidak kesampaian apabila tumpuan sepenuhnya gagal diberikan berikutan kepenatan selepas melakukan penjualan.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, terdapat unsur eksploitasi terhadap golongan berkenaan menggunakan pelbagai alasan termasuk latihan amali untuk berdikari dan memperkenalkan budaya berniaga.

 

“Akibat daripada kepenatan mengutip dana dengan menjual pelbagai barangan, membuatkan kanak-kanak ini gagal menumpukan perhatian sepenuhnya untuk bergelar tahfiz.
“Kementerian tidak mempunyai kuasa ke atas pusat tahfiz persendirian berikutan ia didaftarkan dengan pusat agama negeri (malah ada yang tidak berdaftar), walau bagaimanapun, kita sememangnya memberi bantuan kewangan kepada mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai kegiatan pihak tertentu yang cuba menghidupkan semula ajaran sesat Azhar Wahab dengan mengumpul dana menerusi pelbagai sumber termasuk menggunakan murid sebuah pusat tahfiz di Kedah untuk melakukan jualan amal di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya di sekitar Lembah Klang.

 

 

Menurutnya, pusat tahfiz berkenaan seharusnya prihatin dengan tindakan diambil kerana ia tidak adil bagi kanak-kanak terbabit terutama yang berstatus anak yatim.
Katanya, jabatan berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Sumber Manusia seharusnya mengambil tindakan dengan menyiasat sama ada kanak-kanak itu dieksploitasi ataupun sebaliknya.

 

Selain itu, ibu bapa harus memainkan peranan dengan membuat laporan polis sekiranya anak mereka disuruh melakukan aktiviti berkenaan.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, pusat tahfiz mempunyai kaedah lain untuk mendapatkan dana termasuk daripada perbadanan serta yayasan agama, bukan mengerah tenaga pelajar terutama di musim cuti perayaan dan persekolahan di lokasi tumpuan ramai.
Katanya, pelajar seharusnya memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran bukannya dikerah tenaga bagi mengutip dana pusat tahfiz. “Jika benar, ingin memberi pendedahan mengenai keusahawanan seharusnya pemantauan dilakukan bersama termasuk jadual anjal bagi masa rehat dan makan.
“Kes eksploitasi kanak-kanak ini sudah terlalu lama berlanjutan, namun ia seakan tidak pernah selesai.
“Pihak berwajib seperti jabatan agama negeri perlu melakukan pemeriksaan dan pemantauan termasuk di manakah wang penjualan itu disalurkan dan berapa banyak had kutipan diwajibkan bagi seseorang pelajar,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pelajar itu dibiarkan melakukan penjualan hingga lewat malam tanpa memikirkan aspek keselamatan dan seharusnya di waktu senggang kanak-kanak berkenaan berehat atau melakukan ulang kaji pelajaran.
Menurutnya, beliau sendiri kerap kali didatangi pelajar tahfiz berkenaan biarpun bersimpati, namun beliau enggan melayan permintaan kanak-kanak itu kerana mengetahui ia satu eksploitasi didalangi individu tertentu.