Kes perogol bersiri disebut 7 Feb. – Utusan


Kes perogol bersiri disebut 7 Feb.

BENTONG 17 Jan. – Kes terhadap seorang perogol bersiri, Rabidin Satir (gambar) yang didakwa merogol dan membunuh seorang gadis berusia 17 tahun, hampir empat tahun lalu di Kampung Ketari akan disebut semula di Mahkamah Majistret di sini pada 7 Februari ini.

Majistret Nurliyana Ismail menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Aiman Fikri Kwee yang kertas siasatan kes itu masih diteliti oleh Ketua Unit Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Rabidin, 42, didakwa pada 12 Disember tahun lalu atas tuduhan membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, di Lot 4168 Kampung Ketari di sini antara pukul 11.30 malam, 7 Mac 2009 dan 1.50 petang, 8 Mac 2009

Dakwaan terhadap penganggur itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130118/ma_03/Kes-perogol-bersiri-disebut-7-Feb#ixzz2IJn1kgdy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Desak Koperal Jenain mohon maaf secara terbuka – Sinar Harian


Desak Koperal Jenain mohon maaf secara terbuka

RUWAIDA MD ZAIN
8 Disember 2012
Desak Koperal Jenain mohon maaf secara terbuka
Khalid, Azura, dan Norsiah ketika sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM – Koperal Jenain Subi  didesak memohon maaf secara bersemuka dengan ibu dan keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah, 15 yang mati terkena tembakan anggota polis terbabit dua tahun lalu.

Kakak mangsa, Aisyah berkata, Jenain, 42, perlu menemui ibunya, Norsiah Mohamad, 62, untuk meminta maaf dan menceritakan segala yang berlaku kepada mereka pada malam kejadian.

“Dia (Jenain) perlu datang berjumpa, bersemuka dan meminta maaf dengan kami, terutamanya ibu. Kami hendak dengar dari mulut dia sendiri, apa sebenarnya berlaku pada malam tersebut,” katanya.

Norsiah kesal dengan tindakan Jenain yang hanya memohon maaf kepada keluarganya  di hadapan pemberita, selepas dibebaskan  daripada hukuman penjara dalam kes tersebut Rabu lalu.

Beliau juga terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Jenain atas alasan hanya menjalankan tugas dan membunuh tanpa niat.

Seorang lagi kakak Allahyarham, Azura, berkata, walaupun keluarga mereka menghormati keputusan mahkamah itu mereka berasa mereka tiada berpeluang untuk membela diri seadilnya.

“Saya amat berharap semakan berhubung kes kematian adik kami dibuat semula,” katanya pada sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang hadir di sidang media tersebut, berkata, pihak Peguam Negara mesti menyemak dan melihat semula keputusan mahkamah berkenaan.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerima rayuan Jenain dan membebaskan dia daripada hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya pada September 2011 berhubung kes menembak mati remaja lelaki itu, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempertimbangkan rayuannya memutuskan demikian selepas mendapati Jenain, 49, tidak mempunyai niat untuk membunuh remaja berkenaan tetapi tujuan utamanya hanya untuk memberhentikan kenderaan dipandunya.

Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Beliau juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

‘Belum terima laporan’ – Metro


‘Belum terima laporan’
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

PAGOH: Kerajaan belum menerima laporan mengenai cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana ia masih dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Disiplin Peringkat Kementerian Pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu daripada subjek dibincangkan jawatankuasa itu sejak beberapa minggu lalu ialah penggunaan telefon bimbit serta iPad di sekolah.
“Hal itu hanya dibincangkan di peringkat jawatankuasa dan mereka belum bawa kepada saya sama ada bersetuju atau tidak,” katanya selepas majlis perjumpaan bersama pesara kerajaan Parlimen Pagoh di sini, semalam.

Beliau mengucapkan terima kasih atas pelbagai maklum balas diberikan pelbagai pihak selepas isu itu didebatkan dalam media.
Katanya, semua maklum balas sama ada pro atau kontra amat dihargai dan kerajaan akan mengambil kira semua pandangan sebelum membuat keputusan.
“Kita mengambil kira perkembangan teknologi, persekitaran sekolah, keselamatan namun ada juga mengatakan penggunaan telefon bimbit dan iPad boleh mengganggu proses pembelajaran.

“Selain itu, ada guru dan kesatuan guru tidak setuju dengan penggunaan itu, namun pada masa sama ada pihak menyokong kuat.
“Ini kerana kita semua tahu betapa sibuk seseorang itu apabila mempunyai telefon bimbit inikan pula iPad,” katanya.

Menurutnya, belum ada keputusan dibuat dan kerajaan perlu membuat kajian terlebih dulu.
sebelum sebarang keputusan dikeluarkan. Muhyiddin berkata, sebarang keputusan perlu dirujuk kepada Peguam Negara kerana membabitkan undang-undang.
Semalam, akhbar tempatan melaporkan lebih 90 peratus guru dan 80 peratus pemimpin sekolah tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Malah, kajian mendapati lebih 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus pelajar sendiri menolak cadangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20

Pandangan pelbagai pihak dikaji sebelum benar pelajar bawa telefon bimbit – Bernama


Pandangan pelbagai pihak dikaji sebelum benar pelajar bawa telefon bimbit
18:15:50 PM Cetak Emel Kawan

MUAR: Kementerian Pelajaran akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk masyarakat, guru-guru dan ibu bapa sebelum membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran itu hanya keputusan pada peringkat Jawatankuasa Disiplin Murid peringkat Kementerian Pelajaran dan belum dimuktamadkan. “Itu hanya keputusan di peringkat jawatankuasa, mereka belum bawa kepada pihak saya sama ada setuju atau tidak.
“Kita akan ambil kira pandangan semua pihak termasuk kesatuan guru yang tidak berapa setuju dengan keputusan itu dan dalam masa yang sama pandangan badan lain juga yang menyokong cadangan itu,” katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas bantahan pelbagai pihak terhadap cadangan Jawatankuasa Disiplin untuk membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPAd ke sekolah menerusi Draf Peraturan Pendidikan Disiplin Murid 2012.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong pada Selasa.

Beliau yang sebelum itu menghadiri majlis Himpunan Mesra Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pesara-pesara kerajaan Parlimen Pagoh di sini, hari ini berkata, cadangan itu sebelum ini diusulkan setelah mengambil kira perkembangan semasa.
“Apabila sampai aspek keselamatan ada pihak yang berpandangan dengan adanya kemudahan seperti telefon bimbit ini pelajar-pelajar boleh hubungi pihak sekolah atau ibu bapa sedangkan peraturan sebelum ini tidak membenarkan.

“Tetapi kita juga ambil kira pandangan kalau itu boleh timbulkan banyak masalah seperti gangguan dalam proses pembelajaran, murid terpengaruh guna telefon bimbit dan internet sewaktu belajar dengan sibuk melayari facebook dan twitter,” katanya.

Katanya, sebelum sebarang keputusan dibuat, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada Peguam Negara kerana ia berkaitan undang-undang.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas pandangan yang disuarakan menerusi media termasuk daripada kalangan tokoh akademik. – BERNAMA