Henti tuduhan kerajaan ugut guru – Sinar Harian


Henti tuduhan kerajaan ugut guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Julai 2013
Henti tuduhan kerajaan ugut guru
Idris bersama warga pendidik daerah Besut di IPG Kampus Sultan Mizan, semalam.

BESUT – Menteri Pendidikan 11, Datuk Seri Idris Jusoh mengingatkan pihak tertentu agar menghentikan tuduhan kononnya kerajaan mengugut guru yang tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut nanti.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah PRK Dun Kuala Besut berkata, pihak terbabit diminta tidak buat tuduhan melulu, tambahan sekarang adalah bulan puasa.

Menurutnya, beliau dan kerajaan tidak pernah mengugut guru untuk mengambil sebarang tindakan jika tidak  menyokong BN. “Ia adalah tuduhan melulu bagi membangkitkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan warga pendidik,” katanya selepas Program Bicara Intelektual Bersama Menteri Pendidikan 11 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Profesion Perguruan (NUTP), Hashim Adnan yang disiarkan media tertentu yang mengingatkan parti-parti politik, guru tidak harus diancam atau diugut untuk mengundi mana-mana pihak.

Sinar Harian 7 Julai lalu menyiarkan kenyataan Idris menyeru supaya memilih calon BN bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat diteruskan.

Dalam kenyataan itu, beliau tidak mengeluarkan perkataan berbentuk ugutan atau paksaan terhadap guru menyokong kerajaan.

Beliau hanya seru agar guru buat pertimbangan sewajarnya memandangkan kerajaan melakukan pelbagai usaha demi kebaikan warga pendidik di negara ini.

Guru tak harus mudah terpengaruh media sosial – Bernama


Guru tak harus mudah terpengaruh media sosial

18 Julai 2013

KUALA BESUT – Guru digesa agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang paparan negatif mengenai kerajaan menerusi media sosial sehingga timbul sikap tidak mempercayai dan membenci pemerintah.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata guru sebagai profesion yang mulia dan dihormati, perlu mahir menilai sesuatu isu serta tidak membelakangi tanggungjawab mendidik anak bangsa.

Katanya banyak perkara negatif dipaparkan dalam media sosial yang tidak diketahui sumber sebenar dan ini perlu ditapis setiap guru yang merupakan golongan terpelajar.

“Kalau ingin menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan warganya yang hebat, guru seharusnya mengenepikan amalan mudah mempercayai fakta tidak sahih dalam sesetangah media sosial,” katanya ketika berucap pada program Bicara Intelektual kepada warga pendidik di Institut Pendidikan Guru Malaysia Sultan Mizan di Bukit Keluang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghaffar Mahmud, Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussin Awang dan Pengarah IPG Sultan Mizan, Kamaruddin Hashim.

Beliau berharap para guru untuk terus berbakti menjadikan Malaysia sebuah negara hebat menjelang 2025 dan bergerak seiring dengan kerajaan bagi membangunkan modal insan yang hebat untuk negara.

Dalam perkembangan lain, Idris menyarankan agar digabungkan tenaga dalam kalangan pakar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi memastikan wujud pengaliran ilmu dan kemahiran secara terus yang boleh dimanfaatkan pelajar di peringkat sekolah.

Menurut beliau, melalui penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi, para akademik seperti profesor dan pensyarah boleh menyampaikan ilmu dan kepakaran mereka kepada pelajar sekolah dan maktab pada bila-bila masa.

“Kita tidak mahu lagi melihat pakar atau profesor berada dalam alam pekerjaan mereka di IPT sahaja, malah sekali-sekala mereka juga boleh turun padang untuk menyampaikan ilmu di sekolah,” katanya.

Justeru, katanya langkah yang akan dilaksanakan Universiti Sains Malaysia(USM) Kelantan yang mengadakan Program Brain Bee dengan SMK Kuala Besut boleh dicontohi, yang bertujuan meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains dan Teknologi.  – Bernama

Guru ditetak gara-gara cemburu – Utusan


Guru ditetak gara-gara cemburu

KUALA TERENGGANU 24 Okt. – Seorang guru lelaki berusia 35 tahun cedera parah selepas ditetak dua lelaki bertopeng, dipercayai angkara cemburu di hadapan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Kuala Besut semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa yang ditemani adik lelakinya berusia 19 tahun tiba-tiba diserang dengan menggunakan parang panjang.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa yang turut menjalankan perniagaan barangan kosmetik menerima panggilan daripada seorang wanita yang berminat untuk membeli produknya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan, ketika menunggu pelanggan itu mangsa dan adiknya dihampiri dua buah kereta bercermin gelap.

“Dua lelaki bertopeng biru dan bersenjatakan parang panjang terus menuju ke arah mangsa lalu menyerangnya.

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121025/je_06/Guru-ditetak-gara-gara-cemburu#ixzz2AHMCSB6T
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pencabul kena RM6,000 – Metro


Pencabul kena RM6,000

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu van ‘prebet sapu’ didenda RM6,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencabul penumpangnya yang juga pelajar tingkatan empat pada 2 April tahun lalu.

Majistret Noradila Ab Latif membuat keputusan itu selepas Mohd Sahabuddin Razali, 27, dari Kampung Baru, Pusu 3, di sini, mengaku salah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan pelajar perempuan berusia 16 tahun itu dengan meraba buah dada dan paha mangsa di tempat letak kereta berhampiran Stadium Gong Badak di sini, antara jam 1.30 hingga 1.45 tengah hari pada 2 April 2011.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

 

Mengikut fakta kes, mangsa yang mahu pulang ke asrama sekolahnya di daerah ini, menaiki van sapu dipandu tertuduh di hadapan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, di sini.
Bagaimanapun, tertuduh tidak menghantar mangsa ke sekolah sebaliknya membawa pelajar itu ke arah jalan Stadium Sultan Mizan Gong Badak dan memberhentikan kenderaannya di depan Stadium Tertutup Gong Badak kira-kira jam 1.30 petang.
Ketika itu, mangsa dipaksa memegang kemaluannya dan pada masa sama tertuduh meraba mangsa.

Soalan bocor bukan punca – Sinar Harian


Soalan bocor bukan punca

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mac 2012
Soalan bocor bukan punca

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) menafikan berlaku soalan bocor dalam peperiksaan awam hingga membawa kepada kejayaan negeri ini mengungguli pencapaian dalam pendidikan negara sejak beberapa tahun ini.

Sebaliknya, kejayaan yang diperoleh itu hasil kerja keras warga pendidik, di samping sokongan padu Kerajaan Negeri yang sentiasa memberi keutamaan dalam bidang pendidikan membabitkan peruntukan yang cukup besar setiap tahun.

Pengarahnya, Zakaria Hussin berkata, kesungguhan Terengganu untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam pendidikan dan sukan jelas terbukti dengan pelbagai kejayaan, namun katanya, sukar untuk menghalang pihak lain beranggapan sedemikian (soalan bocor).\

“Kita tidak boleh untuk menghalang orang lain untuk beranggapan sedemikian (soalan bocor) dan biasalah apabila kita cemerlang akan timbul rasa tidak puas hati pihak lain, tetapi itu tidak halang kesungguhan kita.

“Malah, apa yang penting kita teruskan kerja dengan melaksanakan pelbagai perancangan yang telah dibuat bagi memastikan Terengganu terus mengungguli kejayaan dalam pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media pertama selaku Pengarah JPNT di bilik Mesyuarat Alamanda, JPNT, di sini, semalam.

Menurutnya, tidak dinafikan kejayaan Terengganu mengungguli kecemerlangan dalam pelbagai peperiksaan awam sebelum ini mengundang pelbagai persepsi ramai pihak dan situasi itu secara tidak langsung melonjakkan lagi semangat untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

Sementara itu, Zakaria yang memulakan tugas secara rasmi sebagai peneraju utama pendidikan di negeri ini semalam, turut bertekad untuk memastikan kejayaan terus menjadi milik Terengganu pada masa akan datang.

Beliau sebelum ini memegang jawatan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan mantannya, Razali Daud.

Guru Tadika diwajibkan mempunyai Diploma Prasekolah – Bernama


Guru Tadika diwajibkan mempunyai Diploma Prasekolah

20 Februari 2012

KUALA TERENGGANU – Semua guru tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan diwajibkan memiliki Diploma Pendidikan Prasekolah dalam
tempoh tiga tahun lagi sebagai usaha yayasan itu memantapkan kualiti pendidikan awal kepada murid-muridnya.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al Amin Ismail berkata sehingga kini seramai 126 daripada 197 orang guru seluruh Terengganu sedang mengikuti kursus lanjutan pendidikan prasekolah ketika musim cuti yang bermula November tahun lalu dan dijangka tamat pada tahun 2014.

“Yayasan komited dalam usaha melahirkan murid yang cemerlang akademik serta sahsiah diri sekaligus menjadi peneraju utama dalam pendidikan awal kanak-kanak di negeri Terengganu.

“Ini memerlukan pengorbanan besar daripada guru-guru yang sanggup bertungkus-lumus menyambung pelajaran ke peringkat diploma bagi memastikan kualiti dan sistem pendidikan menepati piawaian yang ditetapkan yayasan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Seramai 43 guru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini mengikuti Program Diploma Pendidikan Prasekolah di Institut Perguruan (IPG) Datuk Razali
di sini manakala 83 orang guru yang sudah mempunyai kelulusan ijazah dan diploma juga diwajibkan mengikuti kursus itu di IPG Sultan Mizan di Besut.

Beliau berkata walaupun sudah mempunyai ijazah dan diploma, namun guru-guru berkenaan tetap diwajibkan mengikuti kursus diploma anjuran YIT kerana ijazah yang dimiliki sebelum ini tidak menjurus kepada sistem pendidikan awal sekolah.

“Pelaksanaan ini adalah prosedur baru YIT dalam urusan pengambilan guru tadika yang mewajibkan guru memiliki Diploma Prasekolah kerana sebelum ini syarat pengambilan guru tidak begitu ketat,” katanya.

Selain itu, katanya program menghafal surah Yaasin beserta terjemahan yang dimulakan di semua 18 cawangan tadika YIT pada tahun 2006 akan diteruskan hasil maklum balas ibu bapa yang kagum dengan kebolehan anak mereka menghafal surah berkenaan.

Program hafalan itu adalah sebagai langkah awal YIT membentuk generasi cemerlang dan celik al-Quran selaras dengan hasrat Terengganu yang dikenali sebagai negeri anjung ilmu. – Bernama