Prosedur saringan mental calon guru diperbaiki – Bernama


Prosedur saringan mental calon guru diperbaiki 
2 September 2013
  • P KamalanathanP Kamalanathan
< 1 / 1 >

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan akan menambah baik prosedur saringan kesihatan mental calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan memperkenalkan ujian psikometrik.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata ujian psikometrik yang meliputi ujian psikologi termasuk tahap pengetahuan, kemampuan, sikap dan keperibadian dijadual dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata ujian psikometrik perlu dalam pengambilan guru baharu dalam usaha kementerian untuk menangani masalah guru-guru yang mungkin bermasalah daripada segi mental.

“Kementerian Pendidikan menerusi Bahagian Psikologi dan Kaunseling (BPsK) sebenarnya sebelum ini telahpun melaksanakan ujian kesihatan mental terhadap semua calon-calon guru baharu dari IPG yang dinamakan Indeks Pengesanan Kendiri (IPK).

“Ujian psikometrik ini merupakan penambahbaikan kepada ujian IPK dan ia telah diamalkan di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Psikologi dan Kaunseling bertema “Kenali Psikologi Terokai Potensi Diri” anjuran BPsK di sini hari ini.

Kamalanathan berkata seorang guru harus mempunyai kesihatan mental yang baik dan tahap kesabaran yang tinggi selain kelulusan akademik.

Selain itu, katanya kementerian juga akan mempertimbangkan untuk melaksanakan ujian itu dalam prosedur kenaikan pangkat untuk jawatan Guru Besar dalam memastikan calon benar-benar layak memegang jawatan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha BPsK Dr Ruziati Mior Ahamad berkata BPsK mempunyai 340 kaunselor di seluruh negara yang dapat memberi nasihat dan kaedah terbaik menyelesaikan masalah berkaitan kesihatan mental kepada semua jabatan dan bahagian di kementerian.

Mengenai ujian psikometrik, katanya ujian itu akan menggunakan alat khas dan sangat berkesan kerana ia berupaya mengesan calon yang diuji itu bercakap benar atau sebaliknya.

Ujian itu penting untuk memastikan kesihatan guru berada dalam keadaan baik, katanya. – Bernama

Perbelanjaan tidak banyak beza – Utusan


Perbelanjaan tidak banyak beza
MUHYIDDIN Yassin melambai tangan kepada para pelajar ketika hadir majlis perasmian bangunan baru SJKC Kampung Baru, Tampin, semalam. Turut hadir Mohamad Hasan. – UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMI
TAMPIN 17 Julai – Peruntukan perbelanjaan tahunan untuk sekolah kebangsaan (SK) dengan sekolah jenis kebangsaan (SJK) di negara ini tidak mempunyai perbezaan yang ketara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara purata sebuah SJK Cina (SJKC) menerima peruntukan sebanyak RM2.235 juta setahun, SJK Tamil (SJKT) (RM1.19 juta) dan SK (RM2.26 juta).

“Perbezaan ini adalah kecil kerana kerajaan memberi layanan yang sama kepada semua sekolah di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan baru SJKC Kampung Baru di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan membelanjakan RM2.8 bilion setahun untuk membayar gaji guru SJKC dan RM1.9 bilion (SJKT).

Katanya, semua sekolah termasuk SK, SJKC dan SJKT menerima peruntukan khas Perdana Menteri dalam jumlah yang sama iaitu sebanyak RM100 juta.

“Walaupun sistem pendidikan di negara ini pelbagai, apa yang penting ialah kerajaan mahu mutu ilmu pengetahuan yang diterima adalah setara dengan kualiti pendidikan di negara-negara maju,” ujarnya.

Bangunan baru SJKC Kampung Baru itu merupakan satu blok empat tingkat dan satu blok tiga tingkat yang siap didirikan pada Oktober 2010 dengan perbelanjaan sebanyak RM5 juta.

Terdahulu, Muhyiddin dan isteri tiba dengan menaiki helikopter yang mendarat di Stadium Mini Tampin pada pukul 11.55 pagi untuk lawatan kerja ke negeri ini.

Sementera itu di KUALA LUMPUR, Muhyiddin mengajak guru-guru yang telah bersara terutama guru mata pelajaran Bahasa Inggeris memohon menyambung perkhidmatan mengajar.

Beliau berkata, ia bagi menampung kekurangan guru di beberapa buah sekolah khususnya melibatkan mata pelajaran tertentu termasuk subjek tersebut.

“Sekitar dua tahun lalu, saya telah mengarahkan kementerian membuka permohonan guru-guru terbabit yang mahu menyambung perkhidmatan mengajar. Malangnya, hanya 200 orang sahaja yang memohon untuk kembali mengajar.

“Kita mahu mereka ini kembali (mengajar). Mohonlah dan kita akan tempatkan mereka (di sekolah-sekolah yang memerlukan). Tetapi kita berdepan masalah apabila ada guru-guru terbabit enggan ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu,” katanya pada sesi dialog bersama peserta Sidang Kemuncak Wanita Ke-10 selepas merasmikan sidang kemuncak itu di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini.

Turut sama dalam sesi dialog itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur.

Sidang Kemuncak Wanita anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menjadi platform penting bagi wanita dan menerusi persidangan berkenaan beberapa saranan dan resolusi dihasilkan dan bakal dipertimbang kerajaan.

Antara saranan itu ialah penglibatan 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor korporat, lanjutan cuti bersalin selama 90 hari bagi penjawat awam, peraturan kerja separa masa dan pindaan kepada Akta Kerja bagi menangani gangguan seksual di tempat kerja.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris kementerian telah melaksanakan pelbagai inisiatif meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan murid dan pelajar sekolah.

Antara inisiatif itu jelasnya, memperkenal program Pembantu Bahasa Inggeris (ETA).

“Melalui program itu, sukarelawan dari Amerika Syarikat (AS) ditempatkan di beberapa buah sekolah terpilih,” katanya.

Muhyiddin: Masalah kekurangan pelajar di SJKT perlu diatasi – Bernama


Muhyiddin: Masalah kekurangan pelajar di SJKT perlu diatasi

28 Jun 2012

Tan Sri Muhyiddin Yassin
PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemimpin masyarakat India perlu berbincang dengan Kementerian Pelajaran dalam mengatasi masalah kekurangan pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJKT).

Beliau berkata pada masa ini terdapat banyak sekolah SJKT yang hanya mempunyai 10 pelajar sahaja yang mendaftar daripada 100 pelajar yang sepatutnya, walaupun jumlah guru memenuhi syarat seramai tujuh orang.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan prihatin dengan perkara itu dan mahu supaya kelangsungan SJKT dapat diteruskan selain mutu pendidikannya dipertingkat.

Pembangunan sekolah-sekolah jenis kebangsaan turut dititikberatkan di bawah kajian semula sistem pendidkan negara yang sedang dijalankan, katanya semasa merasmikan blok bangunan tiga tingkat bernilai RM3 juta SJKT Vivekananda di sini hari ini.

Muhyiddin berkata walaupun sebahagian besar tanggungjawab pembangunan pendidikan berkualiti adalah komitmen kerajaan, semua pihak juga harus memainkan peranan untuk memastikan pembangunan pendidikan di negara ini dipertingkat dan setaraf dengan negara-negara maju.

Muhyiddin berkata Malaysia kini hampir mencapai universalisme dalam pendidikan dan beliau menyedari bahawa tuntutan yang paling penting oleh semua pihak ialah memastikan setiap anak-anak di negara ini mendapat pendidikan yang berkualiti.

Pada majlis itu, beliau turut meluluskan peruntukan dana sebanyak RM6 juta untuk menaik taraf tiga buah sekolah di bawah Vivekananda Ashrama, iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda di Petaling Jaya dan Brickfields dan Sekolah Menengah Kebangsaan Vivekananda di Brickfields seperti yang dipohon oleh badan itu.

Muhyiddin juga turut meluluskan pemohonan lembaga pengurus sekolah itu untuk mewujudkan sebuah kelas Tingkatan 6 di SMK Vivekanda sekiranya memenuhi syarat.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang turut hadir pada majlis itu memberitahu pemberita kebanyakan sekolah yang mempunyai jumlah pelajar yang sedikit terletak di kawasan ladang yang dibina sejak zaman penjajah bagi memenuhi keperluan masyarakat India pada masa itu, tetapi sekarang ramai masyarakat India telah berpindah ke kawasan bandar.

“Jadi masalah utama kita sekarang dalam hal ini ialah mencari tanah di kawasan bandar dan dana untuk membolehkan sekolah-sekolah terlibat dipindah ke kawasan bandar,” katanya.

Dr Subramaniam berkata pada masa ini sebanyak 265 daripada 530 SJKT di seluruh negara mempunyai jumlah pelajar kurang daripada 150 orang dan daripada 295 sekolah tersebut, 69 sekolah mempunyai pelajar kurang daripada 25 orang.

“Kita mahu memberi fokus untuk selesaikan masalah di 69 buah sekolah ini dulu,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden MIC yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk G. Palanivel dan pengerusi SJKT Vivekananda Petaling Jaya Tan Sri Dr Ampikaipakan Kandiah.- Bernama

Sistem pendidikan perlukan penambahbaikan berterusan – Bernama


Sistem pendidikan perlukan penambahbaikan berterusan

10/01/2012 4:02pm

 

PUTRAJAYA 10 Jan. – Sistem Pendidikan negara memerlukan penambahbaikan berterusan bagi memastikan mutu pendidikan Malaysia setanding dengan negara-negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kajian semula sistem pendidikan secara menyeluruh sedang dijalankan untuk memahami garis dasar pencapaian dan membangunkan fakta asas berdasarkan cabaran sistem sekolah di negara ini dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan standard dan merapatkan jurang pencapaian.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi fasa pertama, penilaian sistem dilaksanakan dengan menubuhkan Panel Penilai Bebas tempatan dan antarabangsa bertujuan memberi input dan panduan dalam penilaian tersebut.

“Panel yang dilantik membantu proses penilaian dengan menyediakan khidmat kepakaran dan nasihat serta mendapatkan pelbagai pandangan dan perspektif yang luas mengenai sistem pendidikan negara.

“Dalam menyokong penilaian ini, bantuan kepakaran juga diperolehi daripada UNESCO melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman Kajian Semua Dasar Pendidikan Malaysia yang ditandatangani pada 18 Disember 2011,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. – BERNAMA

Pendidikan vokasional perlu perubahan besar – TPM – Bernama


Pendidikan vokasional perlu perubahan besar – TPM

06/01/2012 3:02pm

 

BANGI 6 Jan. — Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan kebimbangan Malaysia tidak akan menjadi negara kompetitif dan terus ketinggalan sekiranya pendidikan vokasional tidak mengalami perubahan besar dan segera.

Mengambil kira perkembangan yang berlaku di negara maju dan serantau, Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan negara perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik tetapi definisi baru kejayaan ialah melalui bidang teknikal dan vokasional.

“Tugas yang paling mencabar ialah menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya ketika melancarkan Transformasi Pendidikan Vokasional, di Institut Jerman-Malaysia Bangi, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional.

Menurut beliau, kerajaan telah mengambil langkah proaktif sejak tahun 2009 dengan melihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan serantau.

Tambah beliau, kadar purata kemasukan pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus di Malaysia.

“Jika melihat kepada negara-negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan di semua negara itu.

“Sebagai contoh, di Jerman, Finland dan Austria hampir 50 hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah atas melalui program sepenuh masa (4-5 tahun) dan program perantisan,” katanya.

Justeru, Muhyiddin berkata, pendidikan vokasional di negara ini juga sedang menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). — BERNAMA