Gagal elak kereta keluar melulu – Metro


Gagal elak kereta keluar melulu

 1  1 Google +0  0  0

Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Rembau: Seorang guru bersama lima murid berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki dirempuh kereta lain yang tiba-tiba meluru keluar dari simpang di Kilometer 3, Jalan Kota-Astana Raja, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, guru Tabika Kemas Sungai Timun Nur Masyitah Ibrahim, 24, yang memandu Proton Saga FLX bersama lima murid berusia enam tahun itu dalam perjalanan pulang selepas menjalani latihan futsal dan bola jaring di Tabika Kemas Kota Pekan, dekat sini.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan empat muridnya bersama seorang murid Tabika Kemas Lubok China, Syed Shazwan Sharuddin, Mohd Shafiq Shahmi Aizat, Mohamad Akhmar Mohd Firdaus, Mohd Danish Aiman Omar serta Arina Umairah Mohd Salmi tergamam apabila melihat kereta tiba-tiba keluar dari simpang berkenaan.

“Saya tidak mampu mengelak kerana jarak terlalu dekat menyebabkan berlaku perlanggaran dan seorang anak murid saya, Arina Umairah yang duduk di bahagian penumpang depan lebam di muka kerana terhantuk cermin hadapan.
“Arina Umairah dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut manakala yang lain tidak cedera, namun kelihatan terkejut dan trauma,” katanya. ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Nur Masyitah berkata, dia segera keluar dari kereta dan mengeluarkan lima murid terbabit berikutan bimbang mereka parah.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta Nissan Sunny dipandu lelaki berusia 40-an keluar dari simpang secara melulu tanpa memberi laluan kepada Proton Saga terbabit.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/18

Murid teruja beraya dirempuh – Sinar Harian


Murid teruja beraya dirempuh
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Ogos 2013
  • Murid teruja beraya dirempuhKeadaan kenderaan yang merempuh mangsa.
< 1 / 1 >

BALING – “Dia tak tunjuk sebarang perubahan, tapi dia terlalu gembira kerana mendapat banyak duit raya. Disebabkan itu, dia bersemangat untuk keluar beraya di rumah jiran bersama rakan-rakannya,” kata Maznah Hassan, 42, ibu kepada Nur Nabihah Zainal, 10, yang maut dalam kejadian kemalangan di Jalan Baru Baling-Grik, kira-kira jam 10.40 pagi kelmarin.

Maznah berkata, sebelum itu Nur Nabihah bangun awal pagi dilihat teruja hendak beraya di rumah jiran dan keluarga bersama rakannya di kampung berdekatan.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu dirempuh oleh sebuah kereta ketika sedang melintas jalan berdekatan kampung di Kampung Padang Dan, Kupang.

Rempuhan itu mengakibatkan mangsa terpelanting di cermin hadapan kereta terbabit sebelum terjatuh di atas jalan.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia pada jam kira-kira 12.35 tengah hari di Hospital Baling.

Maznah berkata, sebelum kejadian, mangsa begitu gembira kerana mendapat duit raya yang banyak dan sempat bersalaman sebelum keluar untuk beraya di rumah jiran dan keluarga.

Difahamkan, murid Sekolah Kebangsaan Tiak, Kupang itu merupakan murid yang pintar dan amat disenangi oleh rakan-rakan termasuk gurunya.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Baling, Inspektor Fauzeli Mohd Ali berkata, mangsa dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah Grik-Kulim.

Berdasarkan keterangan, pemandu terbabit tidak menyedari mangsa masih berada di belakang rakan-rakannya yang ketika itu sedang melintas jalan.

“Pemandu terbabit bersama keluarganya dalam perjalanan ke Kulim untuk berhari raya. Pemandu kereta bersama keluarga mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Padang Dan, Kupang, malam semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(c) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Murid tadika maut dilanggar ketika ke sekolah – Kosmo


Murid tadika maut dilanggar ketika ke sekolah

 

11/07/2013 3:34pm

 

KANGAR – Seorang murid tadika maut setelah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Saga ketika dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau di sini bersama kakaknya pagi tadi.

Kanak-kanak malang itu, Nur Aleya Batrisha Mashrul Nusairi, 6, terpelanting di cermin depan kenderaan itu dan maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku pukul 7.10 pagi tadi.

Manakala kakaknya, Nur Fatin Nabila, 10, mengalami cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_15.htm#ixzz2YjIEJWHk
Hakcipta terpelihara

Budak maut tercampak dari kereta – Utusan


Budak maut tercampak dari kereta

JEMPOL 4 Dis. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun maut dalam keadaan mengerikan selepas tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya yang terbabas dan terbalik dalam sebatang parit di Kilometer 16, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Nurul Syuhadah Awang turut dihanyutkan air sejauh 10 meter dari lokasi kemalangan.

Apa yang menyedihkan, mayat kanak-kanak itu ditemui hanyut bersama anak patung beruang yang diterima daripada kakaknya sebagai hadiah ulang tahun kelahiran pada 27 November lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu bapanya bersama dua lagi ahli keluarga dalam perjalanan dari Pahang menghala ke rumah mereka di Senawang dekat sini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121205/je_02/Budak-maut-tercampak-dari-kereta#ixzz2E8JslHmK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bakar kereta sebab langgar remaja – Sinar Harian


Bakar kereta sebab langgar remaja
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2012

Keadaan kereta jenis Proton Saga dibakar orang awam yang didakwa melanggar seorang penunggang motosikal menyebabkan mangsa patah kaki kanan, dalam kejadian malam kelmarin.
KLANG – Bengang tindakan pemandu kereta yang didakwa memandu laju hingga menyebabkan kecederaan seorang remaja, orang awam bertindak membakar kereta jenis Proton Saga itu dalam kejadian sekitar jam 11.45 malam di Batu 2, Jalan Kampung Jawa, di sini malam kelmarin.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam IPD Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, orang awam bertindak sedemikian selepas simpati melihat seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun yang cedera dan patah kakinya terdampar di jalan berkenaan sejurus kejadian.

Menurutnya, mangsa disyaki dirempuh kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun dari arah Klang menghala bulatan Jalan Kebun.

“Keadaan di lokasi kejadian sedikit tegang bagaimanapun keadaan dapat dikawal sepenuhnya apabila polis dari IPD Klang Selatan tiba di situ.

“Mangsa berusia 17 tahun yang patah kaki kanan masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hingga kini hanya pemandu kenderaan terbabit membuat laporan di Balai Trafik Klang Selatan, semalam.

“Berdasarkan maklumat daripada pemandu itu, dia mendakwa penunggang motosikal datang dari arah bertentangan dan telah memasuki laluannya ketika melintas kenderaan di hadapan.

“Berikutan itu, dia mendakwa gagal mengelak lalu berlaku pertembungan antara keretanya dan motosikal mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kejadian tepat masih belum diketahui memandangkan polis kini hanya mendapat laporan daripada sebelah pihak iaitu pemandu kenderaan.

“Selepas kita mengambil keterangan daripada penunggang motosikal, barulah memudahkan siasatan kita,” katanya.

Rosly berkata, tindakan orang awam membakar kenderaan itu juga dipercayai ada kaitan dengan kemalangan itu dan kini siasatan lanjut masih diteruskan

Cuba lagi bunuh janda – Metro


Cuba lagi bunuh janda
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

SOM…suspek diburu
TAPAH: Selepas empat tahun, sekali lagi seorang guru wanita nyaris maut diletupkan bekas suaminya apabila lelaki itu didakwa sengaja meletakkan bom di bawah kereta wanita berkenaan yang diparkir di pekarangan Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti, di sini.

Dalam kejadian jam 9.40 malam Selasa minggu lalu, guru berusia 50-an itu, bagaimanapun terselamat selepas menemui alat yang mencurigakan dipasang berhampiran tangki minyak dan ekzos Proton Saga miliknya.

Mangsa yang mengesyaki alat berkenaan bom dan bimbang kereta meletup apabila enjin dihidupkan, bergegas membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, sejurus menerima laporan, anggotanya bergegas ke tempat kejadian dan memeriksa kereta berkenaan sebelum menemui satu alat yang disyaki bom.
Bagaimanapun, ketika itu, alat berkenaan sudah dialihkan dari bawah kereta mangsa oleh pengawal keselamatan sekolah dan meletakkannya di kawasan terbuka kerana bimbang ia meletup.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/10

Calon SPM pemenang pertama – Metro


Calon SPM pemenang pertama
Oleh Azidan Nahar dan Nor Amanina Omar

2012/06/15
MOHAMAD HAIKAL menunjukkan keratan peraduan Peraduan Cabaran Laluan Berliku 2 Berita Harian ketika ditemui di Muar, semalam. – Foto Shahrul M Zain
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Tingkatan Lima muncul pemenang minggu pertama Peraduan Cabaran Laluan Berliku 2 Berita Harian, sekali gus menerima wang tunai RM2,000 selain berpeluang memenangi hadiah utama sebuah PROTON Saga.

Mohamad Haikal Baharim, 17, pelajar sebuah sekolah di Muar, menghantar 20 borang permohonan sekadar suka-suka dan tidak menyangka berjaya memenangi peraduan anjuran Berita Harian.
Katanya, dia sememangnya pembaca setia Berita Harian, berikutan keluarganya sentiasa membeli akhbar ini untuk bacaan sekeluarga.
Beliau berkata, minat menyertai peraduan timbul berikutan hobi ayahnya, Baharim Abdul Rahman, yang sering menyertai peraduan dianjurkan akhbar ini dan minat berkenaan turut dikongsi ibu serta empat adiknya yang lain.

“Saya menghantar 20 borang peraduan ini sekadar suka-suka, tidak sangka pula bergelar pemenang kerana tidak meletakkan harapan tinggi,” katanya ketika ditemui di Muar, semalam.

Mohamad Haikal berkata, dia akan menggunakan wang dimenanginya itu untuk keperluan pembelajarannya dan berterima kasih kepada Berita Harian yang menganjurkan peraduan terbabit.

Sementara itu, Baharim yang juga kakitangan kerajaan berkata, minatnya menyertai peraduan anjuran akhbar ini bermula sejak 12 tahun lalu dan beliau pernah memenangi alat permainan PlayStation Portable (PSP) serta barangan kemas daripada Rafflesia.
“Kali terakhir memenangi peraduan menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP) tahun lalu dan berjaya memenangi hadiah tempat ketiga,” katanya yang membeli sekurang-kurangnya dua naskhah Berita Harian setiap hari bagi menyertai peraduan kali ini.

Cabutan pemenang minggu pertama Peraduan Cabaran Laluan Berliku 2 Berita Harian disempurnakan oleh Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali, di Balai Berita, Kuala Lumpur, semalam.

Selain Mohamad Haikal, 10 lagi memenangi sagu hati berupa wang tunai RM500 setiap seorang.

Mereka ialah Abdul Rahman Mookart dari Butterworth, Pulau Pinang; Nur Hikmahalifah Hamdan (Muar), Johor; Nurul Asyikin Rahman (Tanjung Kling, Melaka); Norizan Abd Manan (Rembau, Negeri Sembilan); Florence Ho Rui Ling (Kepong, Kuala Lumpur); Mohd Hafizhi Mohamad (Bagan Serai, Perak); Amamma Marutmas (Kapar, Klang); Nurul Ain Zeikifli (Jempol, Negeri Sembilan); Kamal Lareces dan Norlinda Ahmad (Jengka, Pahang).

Turut hadir pada majlis cabutan semalam ialah Pengarang Eksekutif (Berita) Berita Harian, Norhayati Md Said dan Pengarang Eksekutif (Rencana) Berita Harian, Zainor Said.

Guru hilang ditemui di ladang – Metro


Guru hilang ditemui di ladang
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita yang hilang selepas keluar dari rumah di Bandar Kinrara menghala ke Bukit Jalil Rabu lalu, ditemui dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri, kelmarin.

Mangsa, Teoh Soo Kim, 56, keluar dari rumahnya kira-kira jam 7.30 pagi Rabu lalu dengan menaiki kereta Proton Saga sebelum dia gagal dihubungi keluarga.
Sumber polis berkata, selepas menunggu beberapa jam, suami mangsa yang dikenali sebagai Teng, 48, bertindak membuat laporan polis.

Menurutnya, akibat risaukan keselamatan mangsa, ahli keluarganya turut menyalurkan maklumat bagi meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki mangsa melalui laman sembang sosial.
“Akhirnya dengan bantuan orang ramai, mangsa ditemui 11 pagi kelmarin di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Selangor dalam keadaan tidak bermaya.
“Polis menghantar mangsa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan kecemasan dan kini mangsa berada dalam keadaan koma,” katanya.

Beliau berkata, bagi membuat pengecaman, suami mangsa diminta datang ke Hospital Sungai Buloh malam kelmarin dan polis masih mengesan kereta milik mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada suami mangsa, lebih RM1,000 dikeluarkan daripada akaun bank milik wanita itu di sekitar Bandar Kinrara.