Pendidikan: Kerajaan peruntuk RM45 juta – Bernama


Pendidikan: Kerajaan peruntuk RM45 juta

20 Jun 2013

KOTA KINABALU – Kerajaan memperuntukkan lebih RM45 juta untuk membantu sekolah Cina dan swasta di negeri ini bagi tempoh 2009 hingga tahun lepas, kata Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri Datuk Teo Chee Kang.

Beliau berkata untuk 2009 sebanyak RM10 juta disalurkan, manakala pada 2010 (RM12,129,800), 2011 (RM11,129,830) dan 2012 sebanyak RM12,415,000.

“Kerajaan menyediakan peruntukan ini bagi meringankan beban kewangan sekolah-sekolah Cina dan swasta dan ia diberi sebagai subsidi dan bukan untuk menampung sepenuhnya perbelanjaan yang diperlukan,” katanya menjawab soalan Dr Hiew King Cheu (DAP-Luyang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Di samping itu kata Teo, bantuan kewangan yang diberi disalur terus kepada sekolah-sekolah berkenaan, sekali gus membantu meningkatkan lagi kecemerlangan kualiti pendidikan sekolah cina di Sabah.

Teo berkata walaupun bidang pendidikan tanggungjawab kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga prihatin terhadap kebajikan semua lapisan rakyat di negeri itu termasuk masyarakat Cina.

Sehubungan itu, katanya Menteri Tugas-Tugas Khas diberi tanggungjawab untuk menangani hal ehwal masyarakat Cina terutama yang berkaitan hal-hal pendidikan.

“Bagi memastikan semua bentuk bantuan, baik dalam bentuk geran atau pemberian langsung daripada kerajaan kepada sekolah-sekolah Cina dan swasta di negeri ini dapat diselaraskan dengan baik dan berkesan, maka jawatan pengerusi jawatankuasa pemberian kerajaan kepada sekolah-sekolah Cina dan swasta diletakkan di bawah tanggungjawb Menteri Tugas-Tugas khas,” katanya. – Bernama

Pendidikan khas untuk kumpulan memerlukan perhatian – Bernama


Pendidikan khas untuk kumpulan memerlukan perhatian

2012/11/18 – 13:15:32 PMCetakEmel Kawan
GOLD COAST: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan memasukkan bab baru berkaitan pendidikan khas untuk kumpulan yang memerlukan perhatian bagi mencakupi keperluan khas kumpulan tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penambahan bab itu dilakukan setelah mengambil kira maklum balas yang diterima sejak laporan awal pelan itu dilancarkan September lepas, katanya.

Berikutan itu, katanya, satu makmal untuk melihat keperluan khas untuk kumpulan yang memerlukan diadakan di mana beliau memberi pengiktirafan terhadap perakuan-perakuan baik yang dikemukakan makmal itu.

“Dan kita ada satu bab baru untuk menunjukkan dalam sistem pendidikan kita, mengenai kumpulan memerlukan perhatian khas, ada dijelaskan dengan lebih terperinci,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan sembilan hari ke Australia di sini pada Ahad.

Muhyiddin berkata, masih ada ruang untuk pelbagai pihak memberikan maklum balas untuk memperkukuhkan pelbagai aspek dalam laporan awal pelan itu sebelum pelan lengkap disediakan meskipun ia kini berada di peringkat akhir.

“Kita sudah sampai peringkat akhir, lepas ini perlu dimantapkan, laporan akhir perlu disediakan,” katanya.

Turut dipertimbangkan hasil maklum balas yang diterima daripada masyarakat Cina ialah mengenai sistem pendidikan sekolah jenis kebangsaan seperti tuntutan persatuan Dong Zhong yang mahu kelas peralihan dikekalkan.
Muhyiddin berkata, pendekatan anjal untuk kelas peralihan mungkin boleh dilaksanakan sekiranya ia mahu dikekalkan bergantung kepada keupayaan pelajar.

“Kalau mereka rasa perlu lagi sekolah peralihan, mungkin kita boleh buat dalam bentuk yang lebih ‘flexi’ sebab keperluan pelajar ini berbeza-beza.

“Kalau pelajar itu hanya perlu masuk untuk tempoh tiga bulan atau enam bulan tidak perlu tunggu setahun, supaya yang mana dia kurang dalam Bahasa Malaysia boleh diperkukuhkan, bagi saya ia bukan masalah besar,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berharap penaja biasiswa pelajar Malaysia di Australia dapat mengkaji semula kadar biasiswa memandangkan kos sara hidup di negara itu semakin meningkat.

Katanya, pelajar Malaysia yang ditemuinya semasa lawatan di Australia memaklumkan mengenai peningkatan kos sara hidup yang perlu dihadapi mereka dan kesan kadar pertukaran kepada dolar Australia yang membebankan mereka.

Katanya ketika ini pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima USD1,200 sebulan tetapi kos sara hidup di Australia naik kepada USD1,500 sebulan.

“Kita harap pemberi biasiswa dapat lihat (kaji) balik (kadar biasiswa). Kita juga akan bawa kepada JPA untuk diteliti balik,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin, yang akan pulang ke Malaysia Ahad, menyifatkan lawatannya itu berhasil mengembangkan kerjasama Malaysia-Australia dalam bidang pendidikan, perkhidmatan dan perdagangan.

Sewaktu di Melbourne, Muhyiddin menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi China Dunia (WCEF) dan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Victoria Ted Baillieu dan Majlis Perniagaan Australia-Malaysia.

Di Gold Coast pula, beliau antaranya melancarkan Rangkaian Diaspora Saintifik Malaysia (MSDN) manakala di Brisbane pula diberi taklimat mengenai program golongan muda bermasalah BoysTown serta meninjau projek pembangunan Greater Springfield, yang dibangunkan pemaju kelahiran Malaysia, Maha Sinnathamby. – BERNAMA

11 remaja Cina turut sertai acara berkhatan – Utusan


11 remaja Cina turut sertai acara berkhatan

Albert Khor (duduk, tiga dari kiri) berbual bersama remaja keturunan Cina yang berkhatan di Chekok, Pasir Mas, semalam.

PASIR MAS 13 Nov. – Amalan berkhatan yang menjadi kewajipan dalam kalangan umat Islam turut diamalkan masyarakat Cina sebagai tradisi sejak sekian lama.

Dalam meneruskan tradisi berkenaan sebanyak 11 remaja remaja kaum Cina berusia lapan hingga 18 tahun menyertai acara berkhatan dalam majlis yang diadakan di Kampung Pasir Parit di sini.

Timbalan Pengerusi Gerakan Kelantan, Albert Khor berkata, tradisi berkhatan telah diamalkan masyarakat Cina di sini sejak 50 tahun lalu.

Beliau berkata, amalan tersebut diterima masyarakat Cina dan menjadi tradisi turun-temurun bermula dari zaman nenek moyang yang menetap di daerah Pasir Mas ini berpuluh tahun dahulu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121114/dn_23/11-remaja-Cina-turut-sertai-acara-berkhatan#ixzz2C9C9fq9e
© Utusan Melayu (M) Bhd

Had Sekolah Cina: MCA Bidas Dong Zong Kerana Ia Telah Jadi Sejarah – mStar


Had Sekolah Cina: MCA Bidas Dong Zong Kerana Ia Telah Jadi Sejarah
Oleh CHRISTINA TAN

LABIS: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membidas tindakan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) yang membangkitkan tentang dakwaan perjanjian pada 1960-an antara parti dan kerajaan untuk mengehadkan bilangan-bilangan sekolah Cina bebas.

“Dong Zong mengatakan tentang isu ini bagi menakutkan masyarakat Cina supaya mereka membenci MCA dan Barisan Nasional.

“Mereka mengharapkan orang Cina tidak akan menyokong kita,” katanya.

Beliau berkata, walaupun MCA tidak sempurna, tetapi parti itu sedang melakukan usaha yang terbaik untuk pendidikan Cina.

Sebagai contoh, Dr Chua berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang mempunyai sistem pendidikan Cina yang lengkap dari peringkat sekolah rendah sehingga ke universiti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bagi bangunan dua tingkat yang mempunyai 12 bilik darjah di SJK (C) Karas di sini, Sabtu.

Dr Chua berkata, sama ada perjanjian itu pada tahun 1960-an itu wujud atau tidak adalah tidak penting lagi kerana ia telah menjadi sejarah.

“Negara memerlukan bakat lebih tiga bahasa untuk meningkatkan jumlah dagangan dan jumlah dagangan antara Malaysia dengan negara-negara yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa utama mereka adalah kira-kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Itulah sebabnya kita perlu melatih lebih ramai untuk fasih dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Mandarin,” katanya.

“Hari ini, Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan China dan jumlah dagangan antara kedua-dua negara telah mencedah AS$100 bilion (RM318 bilion),” katanya.

SPA ke sekolah, IPT beri penerangan peluang kerja – Bernama


SPA ke sekolah, IPT beri penerangan peluang kerja
2012/06/08

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan turun padang ke sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk sesi penerangan kepada pelajar berhubung pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor awam.

Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam, berkata lawatan itu akan diadakan dalam masa terdekat untuk menarik minat mereka berkhidmat sebagai penjawat awam sebaik menamatkan pembelajaran.
Mahmood berkata, masih banyak pihak belum tahu kemudahan-kemudahan yang dinikmati penjawat awam antaranya peluang kenaikan pangkat, pinjaman perumahan, kenderaan dan komputer serta peluang melanjutkan pelajaran yang ditanggung kerajaan.
“Dengan sesi penerangan itu, kita harap minat itu bertambah. Kita pun sudah sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan beliau setuju minta kita turun ke bawah ‘go to the ground’ berjumpa dengan pelbagai pihak untuk memberi penerangan.

“Perdana Menteri juga mahu supaya penjawat awam yang akan dilantik ini nanti seorang yang profesional, berinisiatif, proaktif, berfikiran terbuka dan positif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog SPA bersama kementerian, jabatan dan pentadbiran negeri di bawah bidang kuasa SPA di sini hari ini.

Mahmood juga berkata, SPA akan mengadakan pertemuan dengan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan pandangan berhubung isu kekurangan penyertaan bukan Bumiputera dalam sektor awam seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

“Laporan (mengenai kekurangan penyertaan bukan Bumiputera) sudah ada. Cuma kita nak dapat lebih terperinci lagi. Kita nak faham apa masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain nak. Apa masalah dia. Kenapa dia tidak tertarik dalam sektor awam,” katanya.
Baru-baru ini SPA memaklumkan, pada tahun lalu hanya 20 peratus kaum bukan Bumiputera memohon pekerjaan dalam sektor awam iaitu masing-masing dua peratus untuk kaum India dan Cina dan 16 peratus lagi kaum-kaum lain berbanding 80 peratus permohonan daripada calon Bumiputera. – BERNAMA

Kementerian nafi hanya 260 guru terlatih dihantar ke SJKC – Bernama


Kementerian nafi hanya 260 guru terlatih dihantar ke SJKC

11/01/2012 4:34pm

 

PUTRAJAYA 11 Jan. – Kementerian Pelajaran menafikan dakwaan sebuah pertubuhan pendidikan Cina kononnya hanya 260 guru terlatih dihantar bertugas ke sekolah jenis kebangsaan Cina di seluruh Malaysia.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, sebenarnya seramai 837 guru terlatih telah dihantar bertugas ke SJKC di seluruh Malaysia dan mereka ini akan memulakan tugas pada Isnin ini.

“Ini menunjukkan bahawa apa yang diperkatakan oleh mereka tidak benar sama sekali, dan apa yang diperkatakan mereka jelas ingin memberi gambaran buruk masyarakat Cina tentang Kementerian Pelajaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ka Siong juga menafikan dakwaan kononnya Kementerian Pelajaran tidak memberi bantuan peralatan kerusi dan meja kepada sebuah SJKC di Kuala Lumpur.

“Walaupun mungkin yang diberikan oleh kita adalah sebanyak 28 buah kerusi dan meja tetapi yang mereka minta adalah sebanyak 50 buah, ini menunjukkan kita memberinya tetapi dakwaan mereka ialah kita langsung tidak pernah memberi apa-apa bantuan.

“Ada juga yang mendakwa sudah lima tahun kita tak pernah beri apa-apa, ini tidak benar sama sekali. Yang terbaru kita telah serahkan kerusi meja baru kepada SJKC tersebut dan ia telah diperakukan oleh guru penolong kanan sekolah itu,” katanya. — BERNAMA

Pencarum KWSP kini boleh melabur dalam AS 1Malaysia – Bernama


Pencarum KWSP kini boleh melabur dalam AS 1Malaysia

08/08/2011 3:46pm

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Mulai 25 Julai, para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan masing-masing di dalam Akaun 1 setiap tiga bulan bagi dilaburkan di dalam dana Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia).

AS 1Malaysia, iaitu dana satu saham amanah keseluruhannya milik rakyat Malaysia yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ANSB), kini disenaraikan sebagai Skim Pelaburan Ahli KWSP.

Dalam satu kenyataan hari ini, Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata, jumlah pengeluaran itu bergantung kepada pengekalan simpanan paras minimum oleh para pemegang akaun yang ditetapkan bagi kumpulan umur masing-masing oleh KWSP.

Katanya, tiada had maksimum dikenakan bagi bilangan unit yang boleh dilanggani oleh para pelabur.

AS 1Malaysia mempunyai saiz dana 10 bilion unit, dengan 50 peratus diperuntukkan bagi bumiputera; 30 peratus bagi Cina; 15 peratus bagi India; dan 5.0 peratus bagi rakyat Malaysia yang lain.

Peruntukan yang direzabkan bagi masyarakat Cina telah dilanggani sepenuhnya. – Bernama