Pelajar maahad tahfiz maut motorsikal bertembung kereta
KOTA BHARU – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Pancor berdekatan jambatan Pok Nik Loh, Kampung Petani Sering, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 4.45 petang itu, Muhammad Hakim Mat Jib, 15, yang juga pelajar sebuah maahad tahfiz, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Supt Idris Abd Rafar berkata mangsa dikatakan menuju ke arah Pancor dari Padang Tembak sebelum memotong sebuah kenderaan di garisan berkembar.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila mangsa masuk ke laluan bertentangan dan bertembung kereta dari arah Kampung Petani Sering yang menghala ke Panji,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.
Pemandu kereta Wan Hassan Wan Ismail, 50 dan seorang penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan. – Bernama