Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM 2016 disambut baik – Bernama


Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM 2016 disambut baik

2013/03/09 – 16:24:40 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik pelan kerajaan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pelan itu adalah inisiatif yang bertepatan dengan masa dan perlu dilihat dengan perspektif positif.

“Kita di NUTP menganggap ia sebagai satu cabaran yang baik, maknanya kalau kita tidak laksanakannya sekarang kita akan ketinggalan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pelan berkenaan semalam yang menurutnya adalah seiring dengan pelaksanaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Menurutnya perkara itu sedang diperhalus Kementerian Pelajaran dan pelaksanaannya kelak diharap akan menurunkan peratusan pelajar yang gagal mata pelajaran berkenaan dalam SPM.

Hashim berkata, biarpun banyak transformasi dan usaha yang dilakukan kerajaan dalam meningkatkan mutu bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, namun tidak dinafikan mutu pelajar negara di dalam bahasa Inggeris masih ketinggalan.

“Jadi kita harap inisiatif ini yang akan dilaksanakan dalam masa tiga tahun lagi mampu mengubah mutu pelajar kita, kalau boleh kita mahu lebih dari sekadar lulus dan terus mendapat kepujian,” katanya.
Ke arah melaksanakan pelan itu, beliau mengingatkan kerajaan supaya segala persiapan dari segi kebolehupayaan guru dan kapasiti guru disediakan dengan mencukupi.

“Kita tak nak ada pelajar yang teraniaya, terutama di kawasan pedalaman,” katanya dengan memberi cadangan supaya sidang meja bulat bersama pakar di bidang pendidikan diwujudkan bagi memastikan mutu bahasa Inggeris mencerminkan mutu pelajar sendiri.

Turut bersetuju ialah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan yang menyifatkan pengumuman pelan itu sebagai satu langkah wajar.

Menyifatkan pengumuman tiga tahun lebih awal mengenai pelaksanaan pelan itu sebagai strategi berkesan beliau mencadangkan kerajaan turut menimbang antara lain persediaan latihan mencukupi kepada guru-guru, mengemas kini kokurikulum sedia ada dan mewujudkan insentif dan kemudahan bersesuaian.

“Mungkin juga bagi mereka (guru bahasa Inggeris) peruntukan khas, begitu juga kemudahan sekolah seperti bahan-bahan bacaan, makmal bahasa Inggeris perlu difikirkan untuk diwujudkan, bagi mewujudkan persekitaran yang sesuai,” katanya.

Namun begitu, beliau berkata, peranan untuk meningkatkan mutu bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tidak hanya terletak di tangan kerajaan, pihak swasta dan ibu bapa perlu turut main peranan.

Turut mengalu-alukan pelan kerajaan itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang berkata dengan pelaksanaannya pelajar akan lebih mengambil serius mengenainya.

Beliau berkata, kebanyakan majikan kini juga melahirkan kerisauan mengenai mahasiswa yang gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

“Jadi diharapkan selepas beberapa inisiatif termasuk PPSMI, MBMMBI, dan terbaru pelan ini, mutu bahasa Inggeris pelajar akan meningkat,” katanya. – BERNAMA

Kerajaan diminta umum segera jadual pelarasan gaji kakitangan awam – Utusan


Kerajaan diminta umum segera jadual pelarasan gaji kakitangan awam

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU 24 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengumunkan segera jadual pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Minimum-Maksimum Sistem Saraan Malaysia (SSM) berikutan pemansuhan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, sehingga hari ini semua kakitangan awam di negara ini masih tertunggu-tunggu jadual gaji berkenaan disebabkan mereka tidak dapat melihat secara terperinci perkara tersebut.

“Setiap pekerja dalam mana-mana sektor sekalipun mahukan gaji yang mantap supaya dia dapat melihat sendiri tangga gajinya, namun buat masa ini mereka tidak boleh berbuat demikian.

“Sebagai contoh sektor pendidikan, jika seseorang pegawai itu Gred 44 dan 41, dia tidak boleh nampak gaji. Dia hanya boleh nampak untuk tahun itu sahaja, tahun depan lain.

“Jadual tersebut amat penting, bagi memudahkan kakitangan awam di negara ini membuat rujukan dan perkara ini perlu disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebanyak RM5,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130224/dn_27/Kerajaan-diminta-umum-segera-jadual-pelarasan-gaji-kakitangan-awam#ixzz2Lu5kjSzs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kementerian Pelajaran diminta kaji semula silibus PBS – Utusan


Kementerian Pelajaran diminta kaji semula silibus PBS

Oleh YATIMIN ABDULLAH

HASHIM Adnan (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Guru Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas, Nik Mehamad Omar di Kota Bharu hari ini. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU 24 Feb. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Kementerian Pelajaran mengkaji semula silibus dalam sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana mereka berasakan ia tidak bersesuaian dengan jumlah masa yang diperuntukkan mengikut jadual persekolahan di negara ini.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, gesaan tersebut dibuat selepas pihaknya mendapat maklum balas daripada orang ramai terutamanya warga pendidik dan ibu bapa.

“Perkara ini perlu diambil serius kerana guru akan terbeban dengan jadual persekolahan yang tidak dapat menampung jumlah silibus yang banyak untuk setiap mata pelajaran dan sekali gus ianya memberi kesan buruk kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan NUTP sebanyak RM5,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130224/dn_28/Kementerian-Pelajaran-diminta-kaji-semula-silibus-PBS#ixzz2Lu5bopk3
© Utusan Melayu (M) Bhd

NUTP tolak dakwaan – Utusan


NUTP tolak dakwaan

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak bersetuju dengan kenyataan yang mendakwa ramai guru Sejarah tidak faham sejarah negara.

Presidennya, Hashim Adnan menegaskan, adalah tidak mungkin guru Sejarah kabur dalam memberikan penerangan tentang sejarah negara kerana perkara tersebut adalah pengkhususan yang ditekankan ketika berada di universiti.

“Kalau benar dakwaan itu, bagaimana seorang guru boleh mengajar subjek tersebut sehingga ramai pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam mana-mana peperiksaan awam negara.

“Saya tidak tahu di mana beliau mendapat maklumat tersebut, tetapi saya yakin guru Sejarah di negara ini yang telah bertahun-tahun belajar dan mengajar subjek tersebut faham serta mahir dengan apa juga tajuk dalam sukatan pelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130116/dn_06/NUTP-tolak-dakwaan#ixzz2I7h12MPE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kutipan derma sekolah oleh pelajar tidak digalakkan: NUTP – Bernama


Kutipan derma sekolah oleh pelajar tidak digalakkan: NUTP
13:31:11 PM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah.

Presidennya Hashim Adnan berkata NUTP melihat aktiviti itu sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia. “Kita tak nak nanti ada kes pelajar diculik atau dirogol,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.

“Semua kerajaan dah bagi, alat sukan tak cukup kerajaan bagi, budak miskin tak ada makanan, kerajaan peruntukkan RM1.80 setiap hari, pembangunan kalau rosak boleh minta.

“Saya hairan, kenapa nak minta derma lagi, kalau boleh, elakkan perkara berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan derma seperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dan sebagainya.
“Apa-apa pun mereka perlu merujuk kepada jabatan pelajaran negeri masing-masing dan selalunya akan ada penyelesaian daripada jabatan untuk masalah mereka,” katanya.

Isu pelajar diarah mengutip derma ini dibangkitkan ibu bapa menerusi tinjauan selain diluahkan oleh peserta beberapa forum dalam Internet yang tidak berpuas hati dengan aktiviti tidak berkesudahan itu.

“Dah lama berlaku, sejak zaman saya dulu, sekarang pun masih ada lagi, dan ianya dilakukan untuk program yang berbeza,” kata seorang penjawat awam.

Beliau yang mempunyai seorang anak tahun dua di sekolah bantuan penuh kerajaan di ibu kota berkata, aktviti itu dilakukan setiap tahun.

“Tahun lalu pun ada, tahun ini kutipan diadakan untuk program ceriathon,” katanya mendakwa aktiviti itu bertambah pelik kerana jika kutipan tidak mencapai sasaran, murid akan disuruh mengulangi kutipan.

Seorang lagi penjawat awam pula berkata ada masanya sekolah akan menyertakan surat memohon kebenaran ibu bapa bagi menjadikan kegiatan itu kelihatan lebih rasmi.

“Ibu bapa terpaksa membenarkan anak-anak mereka untuk terlibat sama disebabkan surat itu,” katanya menambah anak saudaranya yang berusia 11 tahun terpaksa melakukan aktiviti tersebut dari rumah ke rumah hampir setiap tahun atas nama persatuan atau pun program.

“Ada pro dan kontra dalam perkara ini, namun saya risau keselamatan murid-murid di sekolah rendah,” katanya.

Seorang peserta forum dalam talian melahirkan kemusykilan apabila pihak sekolah bukan sahaja menganjurkan kutipan derma tetapi turut menjanjikan hadiah bagi murid yang berjaya melakukan kutipan tertinggi.

Kebanyakan peserta forum itu berpandangan aktiviti tersebut boleh dijalankan namun tidak wajar diwajibkan kepada setiap pelajar. – BERNAMA

Kuasa autonomi hanya untuk golongan faham intipati pendidikan negara: NUTP – Bernama


Kuasa autonomi hanya untuk golongan faham intipati pendidikan negara: NUTP
14:05:06 PM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat cadangan memberi kuasa autonomi kepada pihak sekolah perlu membabitkan individu yang memahami intipati sistem pendidikan negara.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sewajarnya memikirkan suatu mekanisme pelaksanaan dan individu yang benar-benar layak menerima kuasa autonomi jika ingin merealisasikan cadangan itu. “Ia cadangan yang baik tetapi bagi NUTP kami berpendapat jika cadangan itu dilaksanakan, ia perlu melibatkan pemantauan di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan kementerian agar tidak berlaku pemusatan kuasa.
“NUTP berpendapat jika cadangan itu menjadi realiti, pihak kementerian wajar melantik individu yang benar-benar memahami perjuangan dan perjalanan sistem pendidikan di peringkat sekolah untuk memegang kuasa autonomi itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar tempatan berbahasa Melayu hari ini berhubung cadangan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) yang mengemukakan cadangan kuasa autonomi perlu diberi kepada semua sekolah secara berperingkat ketika persidangan meja bulat Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012.

Antara kandungan laporan itu ialah pihak pentadbiran sekolah berkuasa dalam mengawal selia kewangan, pembangunan insfrastruktur sekolah, pelajar dan jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran.

Hashim berkata, jika cadangan itu dilihat mampu dilaksanakan di negara ini adalah lebih wajar melantik individu yang mempunyai latar belakang dan pencapaian yang baik dalam meningkatkan mutu pendidikan tempatan.
“Lebih baik individu seperti profesor, ahli akademik mahupun golongan tokoh pendidik yang diamanah memegang kuasa autonomi itu.

“Saya khuatir jika kuasa itu diberi kepada individu yang kurang berkelayakan ia akan mencetuskan kekecohan di peringkat sekolah itu sendiri seperti kebajikan guru dan pelajar diabaikan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan berkata, pelaksanaan cadangan kuasa autonomi itu wajar dilaksana untuk Sekolah Berpotensi Tinggi (SBT) terlebih dulu.

“Saya melihat untuk peringkat awal sampel sekolah yang wajar mengaplikasi kuasa autonomi ini adalah SBT kerana pentadbiran sekolah seperti ini boleh dikategori sebagai gred A. – BERNAMA

NUTP minta kementerian tanggung kos selenggara sekolah – Sinar Harian


NUTP minta kementerian tanggung kos selenggara sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012

Maznah (dua, kanan) serah Buku Panduan OSH in School kepada Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu, Hashim Mat Zin.
KUALA TERENGGANU – Kementerian Pelajaran perlu menyediakan peruntukan bagi menampung kos penyelenggaraan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, ia amat penting bagi memastikan sekolah betul-betul selamat dan menghindarkan kemalangan,terutama membabitkan pelajar.

Katanya, walaupun kejadian kemalangan di sekolah terkawal, langkah awal seperti penyelenggaraan sekolah perlu dibuat dari masa ke masa.

“Untuk menyelenggara perlukan kos dan pihak kementerian perlu keutamaan mengenai peruntukan ini supaya tidak berlaku sesuatu kemalangan.

“Penyelenggaraan pendawaian elektrik, suis, tandas dan tangga kini amat memerlukan perhatian dan jabatan terlibat seperti JKR, perlu datang
dari masa ke masa untuk buat pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di Sekolah 2012 peringkat negeri Terengganu di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas terdapat antara guru mengelak menggunakan kenderaan sendiri bagi membawa pelajar kerana risiko jika berlaku sesuatu seperti kemalangan, Yim Pheng mengakui perkara berkenaan.

“Memang kita ada beri cadangan sebelum ini untuk beri pengangkutan kepada sekolah, tetapi mustahil untuk kerajaan sediakan bas atau van bagi setiap sekolah kerana kita kini mempunyai 10,000 sekolah di seluruh negara.

Kita mungkin boleh sediakan pengangkutan lain tetapi yang boleh dipercayai dan amalkan pemanduan selamat,” katanya.

NUTP: Masa yang tepat penstrukturan semula tingkatan enam – Bernama


NUTP: Masa yang tepat penstrukturan semula tingkatan enam

6 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat sekarang merupakan masa yang tepat bagi kerajaan melakukan penstrukturan semula terhadap tingkatan enam supaya setaraf dengan pendidikan pra universiti.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata usaha tersebut patut diberi perhatian kerana berdasarkan keperluan sekarang ia sangat relevan bagi mempertingkatkan sistem pendidikan tingkatan enam.

“Kena struktur lebih teratur supaya kokurikulum dan akademik menjadi seimbang dan tidak seperti sekarang yang mana bagi tingkatan enam mereka lebih menekankan akademik berbanding kokurikulum,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata jika kerajaan bersedia mengkaji tempoh pembelajaran dipendekkan enam bulan lebih awal seperti Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran, ia juga perlu mengkaji sistem kokurikulum serta silibus mata pelajaran yang diguna pakai hari ini.

“Jika kerajaan mahu tempoh pembelajaran tersebut sama dengan matrikulasi atau pusat asasi yang ada sekarang, mereka perlu meneliti setiap dasar kokurikulum dan silibus sedia ada kerana silibus sekarang banyak dan ia perlu dipendekkan supaya dapat dihabiskan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad berpendapat pelajar tingkatan enam di sekolah harian sepatutnya diberi layanan istimewa berbanding pelajar tingkatan lain, dengan kemudahan-kemudahan setaraf dengan pelajar kolej matrikulasi atau pun mahasiswa peringkat diploma di institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya sememangnya pelajar tingkatan enam setaraf dengan pelajar matrikulasi dan diploma yang mana mereka perlu diasingkan dengan bangunan baru atau pun menubuhkan satu lagi sekolah khususnya untuk pelajar tingkatan enam dan dilengkapi dengan kemudahan asrama.

“Kebanyakan sekolah yang mempunyai pengajian tingkatan enam terletak di kawasan bandar, pelajar yang tinggal di kawasan kampung terpaksa berulang-alik dan mengambil masa lama dalam perjalanan ke sekolah,” katanya.

Beliau juga berkata kelayakan guru yang mengajar tingkatan enam juga amat penting kerana pada masa ini, kebanyakan guru tingkatan enam pada masa yang sama turut mengajar tingkatan lain di sekolah menengah harian.

“Setakat ini tiada masalah bagi bilangan guru yang mengajar tingkatan enam di seluruh negara tetapi jika guru-guru diberi pengkhususan dalam mengajar subjek tingkatan enam sahaja, mutu pembelajaran dan proses pengajaran akan menjadi lebih berkesan,” katanya.

Mohamed Sabri berkata memandangkan struktur penilaian tingkatan enam tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada prestasi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan berdasarkan kepada penilaian berterusan mencakupi kerja kursus, maka tugas guru tingkatan enam akan menjadi lebih berat dan tidak hanya kepada tugas mengajar sahaja.

Seorang guru tingkatan enam yang enggan dikenali, menyambut baik cadangan yang ingin dibuat oleh kerajaan dalam penstrukturan tersebut kerana ia akan menjadi lebih sistematik dalam sistem pendidikan pada masa depan.

“Sangat bagus jika tingkatan enam akan distruktur semula kerana ia lebih teratur, mungkin jika ia distruktur semula akan wujud peraturan, dasar-dasar sendiri dan tidak bercampur dengan sekolah harian seperti sekarang,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mencadangkan supaya pendidikan tingkatan enam akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem pendidikan pra universiti seperti di Kolej Matrikulasi dan Pusat Asasi Sains.

Muhyiddin berkata penjenamaan semula itu perlu untuk memperlihatkan bahawa tingkatan enam memang sebenarnya adalah pendidikan pra universiti yang setanding dengan peringkat kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan Pusat Asasi Sains anjuran universiti-universiti awam tempatan. — Bernama

35 tahun masih DG41 – Berita Harian


35 tahun masih DG41

07:09:44 AM Oleh S Anand Kumar CetakEmel Kawan

15,000 guru ada sijil, diploma patut naik gred: NUTP

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kira-kira 15,000 guru lepasan sijil dan diploma perguruan yang berkhidmat lebih 35 tahun dipertimbangkan untuk kenaikan ke gred DG41. Ia dianggap wajar berdasarkan pengalaman dan jumlah tahun mereka berkhidmat sebagai menghargai jasa guru berkenaan.
Presiden NUTP, Hashim Adnan, berpendapat adalah wajar pengalaman perkhidmatan guru terbabit dijadikan sebagai asas untuk kenaikan gred dan bukannya mengutamakan kelayakan akademik.

“Walaupun sudah berkhidmat lebih 35 tahun, NUTP mendapati ada sebilangan guru yang masih kekal di gred DG34 dan DG38 kerana kenaikan (gred) adalah berdasarkan kelayakan akademik.

“Jika mahu dilihat dari segi kelayakan akademik, kita berasakan tidak wajar kerana segelintir mereka sudah berusia lebih 50 tahun dan ada juga yang hampir bersara,” katanya kepada BH, semalam.

Mac tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan permohonan Kementerian Pelajaran meningkatkan had usia pemohon Program Pensiswazahan Guru (PPG) daripada 45 tahun kepada 47 tahun untuk mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah menjelang 2015.
Syarat mohon ke PPG

Sebelum itu, syarat bagi permohonan ke PPG tidak melebihi 45 tahun, selain memiliki Diploma Pendidikan/Perguruan atau Sijil Perguruan dan tidak berdaftar dengan mana-mana universiti sebagai pelajar sepenuh masa atau sambilan tajaan kementerian.

Hashim berharap Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan cadangan itu yang sudah dipanjangkan kepada JPA, baru-baru ini.

“Tempoh perkhidmatan lebih 35 tahun adalah satu pengalaman cukup luas selain warga pendidik itu juga sudah menghadiri pelbagai kursus berkaitan perguruan. Kita melihat pengalaman itu cukup wajar untuk mereka menikmati kenaikan gred,” katanya.

Beliau berkata, NUTP juga akan mengemukakan syor itu kepada Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan kerajaan bagi mengkaji secara komprehensif perkhidmatan awam negara.

NUTP syor bendung segera remaja samseng – Berita Harian


NUTP syor bendung segera remaja samseng
2012/06/20

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu tindakan segera diambil bagi membendung kegiatan remaja samseng menyerang sekolah supaya kejadian buruk seumpama itu tidak berulang.

Sambil melahirkan rasa kesal terhadap insiden di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana di sini tengah hari kelmarin, NUTP juga mahu aspek keselamatan di sekolah diberi perhatian serius.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata usaha untuk mengekang kegiatan seperti itu daripada berulang tidak hanya terletak pada pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya tanggungjawab sama harus dipikul ibu-bapa untuk mengawasi pergerakan anak mereka.
“Isu mengenai keselamatan di sekolah ini sememangnya sudah lama kita bincangkan mengenainya termasuk ada cadangan untuk menempatkan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekolah bagi menjaga keselamatan pelajar.

“Kejadian seperti ini harus dikawal mulai dari sekarang, walaupun ia adalah kes terpencil, tetapi harus diberi perhatian serius oleh semua pihak, ” katanya ketika dihubungi semalam.