‘Pergi angkut anak awak’ – Metro


‘Pergi angkut anak awak’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Pergi angkut anak awak di Tasik Titiwangsa.” Itu panggilan diterima seorang ibu selepas anak lelakinya berusia 17 tahun dilarikan sekumpulan lelaki yang tiba-tiba menyerbu masuk ke rumahnya di Bandar Menjalara, di sini petang kelmarin.

Panggilan itu diterima ibu mangsa jam 10.30 malam iaitu lapan jam selepas anaknya dilarikan dan pada mulanya, ibu mangsa sukar mempercayai panggilan berkenaan berikutan dibuat menggunakan nombor telefon anaknya sendiri.
Bapa saudara mangsa, M Kalithasan, 42, berkata pada hari kejadian, mereka sekeluarga sedang sibuk membuat persiapan untuk kenduri kematian bapa saudaranya di rumah itu.

 

Bagaimanapun, ketika kejadian, semua ahli keluarga lelaki keluar membuat upacara sembahyang di kuil manakala anak saudaranya itu yang masih menuntut di tingkatan lima berada di rumah bersama ahli keluarga wanita lain.
“Ketika itu, tiba-tiba datang tiga lelaki menaiki kereta Proton Perdana bersenjata parang menyerbu masuk ke rumah.
“Pada mulanya, kami menyangka tiga lelaki itu berniat untuk menyamun tetapi mereka bertindak lebih agresif apabila mengheret anak saudara saya itu ke dalam kereta sebelum memecut,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

 

 

Katanya, sebaik mendapat tahu kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Kepong.
Katanya, ketika mereka risaukan keselamatan anak saudaranya itu, tiba-tiba kakaknya mendapat panggilan daripada nombor telefon anak saudaranya itu jam 10.30 malam.

 

“Kami terkejut selepas seorang lelaki mengarahkan kami untuk ‘mengangkut’ anak saudara saya itu di Tasik Titiwangsa. Lelaki berkenaan turut menyatakan anak saudara saya dalam keadaan kritikal selepas ditetak mereka,” katanya.
Kalithasan berkata, pada mulanya mereka menyangka ia panggilan palsu namun tetap menyalurkan maklumat itu kepada polis dan selepas polis mengesahkan memang anak saudaranya, barulah mereka bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Anggota polis menemui anak saudara saya di Tasik Titiwangsa dalam keadaan berlumuran darah sebelum menghantarnya ke HKL dengan ambulans.
“Anak saudara saya parah di lengan kiri, kaki kiri dan belakang badan yang turut menyebabkan kecederaan pada tulang belakang akibat ditetak,” katanya.
Anak saudaranya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HKL.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara dua geng kongsi gelap.

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012

Leave a comment