Ghairah pikat budak, tawar khidmat urut kepada bawah umur – Sinar Harian


Ghairah pikat budak, tawar khidmat urut kepada bawah umur

NUR FARHANA ABDUL MANAN
26 Ogos 2012
Ghairah pikat budak, tawar khidmat bawah umur
Salah seorang daripada tukang urut begelut ketika cuba melarikan diri daripada diberkas anggota polis.

SUBANG JAYA –Terdesak mendapatkan pelanggan, wanita warga China yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat membeli-belah di USJ di sini bertindak berani menawarkan khidmat mereka kepada pengunjung bawah umur.

Taktiknya mudah, menghalang mana-mana pengunjung lelaki yang melalui kaki lima unit kedai pusat urut dan kecantikan tersebut sebelum memujuk mereka mendapatkan khidmat urutan ditawarkan.

Malah, wanita ini juga dilihat rakus dan sanggup bertindak agresif menarik tangan pengunjung lelaki masuk ke premis urut meskipun ada di antara mereka yang memberitahu masih di bawah umur.

Bagaimanapun, aksi mereka tidak bertahan lama apabila ada kalangan ibu bapa mangsa membuat laporan kepada pihak polis berhubung gangguan diterima anak mereka.

Susulan aduan itu, sepasukan polis ke tempat kejadian dan berjaya memberkas empat wanita warga China ketika sibuk menarik pelanggan untuk ke premis mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua berkata, pihaknya menerima aduan daripada ibu bapa yang mendakwa anak mereka didekati tukang urut yang terdesak menawarkan khidmat urutan ketika melalui deretan kedai dalam pusat membeli-belah itu.

Katanya, bertindak atas aduan, sepasukan anggota diketuai beliau sendiri menyerbu dua premis pusat kecantikan dan urutan yang masing-masing didapati tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

Jelasnya, ketika serbuan salah seorang daripada wanita warga China terbabit cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan antara anggota dengan wanita terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka hanya mempunyai pas lawatan sosial dan tidak mempunyai permit bekerja.

“Kesemua ditahan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang memberitahu ketika serbuan ke atas premis, seorang pelanggan berada dalam kedai.

Beliau dalam pada itu menggesa pengunjung yang mendapati kewujudan aktiviti negatif supaya memaklumkan perkara itu kepada pengurusan pusat membeli-belah dan pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil.

Remaja 13 tahun hilang dirayu pulang – Sinar Harian


Remaja 13 tahun hilang dirayu pulang

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Ogos 2012
NURUL ATIKAH
NURUL ATIKAH

TAIPING – Seorang bapa merayu anak berusia 13 tahun pulang ke pangkuan keluarga selepas dipercayai hilang 22 Ogos lalu sekitar jam 3.30 petang.

Bapa, Ahmad Safari @ Yatim Mustafa berkata, anaknya, Nurul Atikah Ahmad Safari @ Yatim Mustafa, 13, dilihat asyik berbual bersama rakannya menerusi telefon bimbit ketika berada di dalam kereta dalam perjalanan pulang dari kampung, di Kuala Selangor ke Taiping.

Menurutnya, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)  Simpang, Taiping tidak menunjuk reaksi yang mencurigakan sewaktu dalam perjalanan pulang beraya pada hari raya ke tiga lalu.

“Dari maklumat adik Nurul Atikah iaitu Mohd Fikri, petang sebelum kehilangannya, dia melihat keadaan kakaknya agak gelisah ketika berada di dalam rumah.

“Sebaik saja Mohd Fikri keluar dari bilik air dia dapati kakaknya sudah tidak ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Ahmad Safari, pada mulanya dia hanya menduga anaknya itu pergi berjalan ke rumah sepupunya yang tidak jauh dari rumah mereka.

Jelasnya, setelah dua hingga tiga jam tidak pulang-pulang baru dia mula mencari Nurul Atikah di rumah sepupu selain turut bertanyakan hal tersebut kepada jiran tetangga.

“Namun sehingga kini anaknya menghilang tanpa sebarang khabar berita.

“Lebih merisaukan, anak saya tidak biasa keluar berseorangan dan jika dia hendak keluar sekalipun pasti ditemani emaknya atau emak saudaranya,” katanya.

Ahmad Safari berkata, dari segi fizikal ketinggian anaknya itu lebih kurang 1.57 meter, berbadan sedikit gempal dan berkulit sawa matang.

Dia berharap sesiapa sahaja yang melihat atau mengetahui di mana Nurul Atikah berada kini segera menghubunginya di talian 019-5267736.

“Laporan Polis juga sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Taiping bagi menyiasat kedudukan Nurul Atikah yang dipercayai masih berada tidak jauh dari Bandar Taiping.

“Kepada Nurul Atikah jika terbaca berita mengenai kehilangan ini pulanglah Ayah dan emak rindukan kamu,” katanya.

Kemalangan: Tidak sangka hilang anak – Sinar Harian


Kemalangan: Tidak sangka hilang anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Ogos 2012
Kemalangan: Tidak sangka hilang anak
Orang awam memangku Fazli sementara menunggu bantuan ambulans.

ARAU – Seorang remaja maut di tempat kejadian apabila motosikal yang ditunggang bersama rakannya dirempuh sebuah kereta dari arah Changlun-Kuala Perlis, tengah hari semalam.

Kejadian yang berlaku di lebuh raya Changlun-Kuala Perlis kira-kira jam 1 tengah hari itu mengakibatkan mangsa yang maut dikenali Zarul Sobirin, 14, dan rakannya, Fazli Hisham, 14, cedera parah.

Menurut seorang saksi yang hanya mahu dikenali Abdul, 50-an, berkata, ketika itu, mangsa yang cuba keluar dari simpang Kampung Banat menuju ke seberang jalan itu dilanggar kereta terbabit sehingga menyebabkan mangsa yang maut tercampak di bahu jalan manakala Fazli terjatuh di atas jalan.

Katanya, kedua-dua remaja terbabit dikatakan teragak-agak untuk berhenti sebelum keluar dari simpang itu dan meneruskan perjalanan mereka sehingga dirempuh sebuah kereta yang dinaiki sebuah keluarga.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk mendapatkan rawatanselanjutnya. Sementara itu, bapa Zarul, Sobirin Mohamad, 37, berkata, anaknya bersama rakannya itu ke rumah kawan mereka yang terletak di Kampung Banat.

Menurutnya, dia tidak menyangka bahawa kemalangan itu menyebabkan dia kehilangan anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Ibu bapa perlu awasi kegiatan anak-anak elak terjebak pertaruhan siber – Metro


Ibu bapa perlu awasi kegiatan anak-anak elak terjebak pertaruhan siber

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Judi Internet biasanya berselindung di sebalik pusat siber. Oleh itu, ibu bapa perlu berhati-hati serta mengawasi pergerakan anak yang meminta kebenaran ke pusat siber,” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mengenai kegiatan judi siber yang semakin berleluasa.

Menurutnya, taktik pusat judi berselindung atas nama pusat siber menyebabkan ramai remaja terjerumus dalam kegiatan judi itu sehingga kerugian mencecah ribuan ringgit.
“Kebanyakan pusat judi siber menawarkan pertaruhan serendah RM1. Jadi remaja terbabit berjudi secara kecil-kecilan antara RM5 hingga RM10.

 

“Walaupun ada ketikanya mereka menang, kekerapan itu terlalu sedikit dan tanpa sedar, mereka sudah berbelanja ribuan ringgit,” katanya.
Nadzim berkata, taktik pusat siber juga sangat licik berikutan tidak membayar wang kemenangan jika nilainya bawah RM100.
Disebabkan itu, katanya, remaja terbabit akan terus mencuba nasib untuk mendapatkan kemenangan melebihi RM100.

 

 

“Ini sebahagian taktik digunakan kerana tidak mahu membayar wang kemenangan walaupun menang RM10.
“Mahu tak mahu, mereka terpaksa melabur wang kemenangan yang ditukar kepada percubaan sebanyak 10 kali lagi,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut mengakui menerima aduan daripada ibu bapa mengenai anak mereka bermain judi secara on-line.
Katanya, walaupun kes berkenaan terpencil dan tidak membabitkan nilai besar, ia perlu diberi perhatian.
“Walaupun aduan kita terima membabitkan nilai kecil, kita berharap pemantauan terhadap remaja terbabit diberi perhatian serius.
“Ini kerana kita khuatir ia mendorong mereka mencuba judi dengan taruhan lebih besar. Lebih merisaukan, remaja terbabit mungkin mencuri dan merompak untuk memenuhi kehendak berjudi,” katanya.