Pelajar terima zakat dari PWMK – Sinar Harian


Pelajar terima zakat dari PWMK

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Ogos 2012
Wan Ahmad ( enam, kiri) dan Wan Safinah ( lapan, kiri) bergambar dengan sebahagian dari pelajar SMK
Wan Ahmad ( enam, kiri) dan Wan Safinah ( lapan, kiri) bergambar dengan sebahagian dari pelajar SMK Puteri, yang menerima sumbangan zakat dari PWMK.

KOTA BHARU – Sejumlah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, dekat sini, gembira menerima zakat sumbangan Persatuan Wartawan Melayu Kelantan (PWMK) yang menyaksikan majlis itu diwarnai dengan pelbagai persembahan termasuk nyanyian lagu patriotisme, nasyid, bacaan al-Quran beramai-ramai dan sebagainya di dewan sekolah itu, baru-baru ini.

Pengetua SMK Puteri, Wan Safinah Wan Hamad berkata, pihak sekolah bangga dengan peranan yang dimainkan oleh PWMK bukan sahaja merealisasikan kursus kerjaya kewartawanan untuk mengembangkan bidang media massa dan penulisan yang profesional tetapi turut beramal di bulan Ramadan ini dengan aktiviti menderma kepada pelajar yang memerlukan bantuan.

“Kita memberi respons serta penghargaan yang tinggi kepada PWMK yang pertama di Kelantan memperlihatkan kesungguhan dalam aktiviti kebajikan sosial di bawah pimpinan presidennya, Dr.Alias Mohamed merupakan tokoh dermawan yang tidak asing lagi,’’ katanya ketika berucap di majlis itu.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Presiden PWMK, Wan Ahmad Wan Hassan dan turut hadir setiausaha agungnya, Wan Fauzi Wan Mohamood, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah PPD Kota Bharu, Nik Suzila Nik Abdullah, para guru, ibu bapa dan lain-lain.

Wan Safinah berkata, sumbangan juga diagihkan kepada pelajar-pelajar yang layak terutama pelajar miskin dari Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan wang sedekah untuk meringankan beban keluarga pelajar yang miskin bagi menghadapi dunia pendidikan yang lebih kondusif dan signifikan.

Sementara itu, Nik Suzila berkata, pihak jabatan pelajaran memang berhasrat untuk melahirkan pelajar-pelajar yang tinggi pencapaian di bidang pendidikan dan yang pakar dalam pelbagai bidang profesional yang masih diperlukan oleh negara.

Saksi abang maut depan mata – Metro


Saksi abang maut depan mata

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LIPIS: Seorang gadis hanya mampu menahan linangan air mata selepas melihat abang kandungnya maut di depan mata selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan, di Kilometer 22, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi, mangsa, Amir Shariff Suhaimi, 17, yang tinggal di Merapoh, dekat sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hasan berkata, adik mangsa, Azwani Wan Shazarina, 13, mengalami kecederaan ringan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk menerima rawatan.

 

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa bersama adiknya menaiki motosikal dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Merapoh sambil dipercayai mengekori rapat sebuah motosikal lain dari arah sama.
Bagaimanapun, katanya penunggang motosikal itu dikatakan membrek secara mengejut menyebabkan mangsa bersama adiknya bergesel dengan penunggang berkenaan sebelum mangsa tercampak ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dikatakan datang dari arah bertentangan dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa sambil diperhatikan Azwani yang terjatuh di tepi jalan.

 

 

“Susulan kejadian terbabit, pemandu pacuan empat roda berkenaan bertindak melarikan diri dari tempat kejadian sebelum mayat mangsa dibawa ke HKL untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, adik mangsa bersama seorang lagi penunggang turut dibawa ke HKL bagi mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang.

 

Katanya, sehingga kini pemandu kenderaan pacuan empat roda yang melanggar mangsa masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit dan polis meminta saksi bebas tampil di Balai Polis Trafik bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 18/08/2012

Penganggur cuba rogol budak dijel – Utusan


Penganggur cuba rogol budak dijel

PETALING JAYA 16 Ogos — Seorang penganggur dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah cuba merogol seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun pada tahun lalu.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Abd. Hakim Mohd. Radzi, 32, kerana mahkamah memandang serius kesalahan tertuduh apatah lagi ia melibatkan kanak-kanak dan dilakukan di kawasan berhampiran sekolah mangsa.

Abd. Hakim didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak tersebut di dalam hutan, belakang Sekolah Kebangsaan Merbau, Sempak, Sungai Buloh dekat sini di antara pukul 6.45 pagi dan 7.30 pagi, 2 Ogos 2011.

Timbalan Pendakwa Raya, Ching Kian Chun mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Mengikut fakta kes, tertuduh memasuki bilik darjah mangsa dan mengangkat mangsa keluar sebelum membawanya ke sebuah kawasan hutan berhampiran sekolah melalui pagar sekolah yang rosak dan cuba merogolnya.