Cuepacs cadang imbuhan tetap perumahan diselaras – Bernama


Cuepacs cadang imbuhan tetap perumahan diselaras

2 Ogos 2012

Cuepacs
PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Timbalan Presiden Cuepacs Aziz Muda berkata cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

“Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

“Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif,” katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

“Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Januari 2012,” katanya.

Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

“Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini,” katanya. – Bernama

Seorang lelaki ditahan cabul pelajar – Bernama


Seorang lelaki ditahan cabul pelajar

2 Ogos 2012

$entry.content.caption.value
KUALA TERENGGANU – Seorang petugas sekolah agama di Kemaman ditahan kerana didakwa cuba mencabul enam pelajar lelaki sekolah itu, sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar Mei hingga Julai lalu, di asrama sekolah berkenaan.

Katanya keenam-enam pelajar itu berusia antara 9 hingga 14 tahun.

Petugas berusia 29 tahun itu didakwa cuba memaksa pelajar berkenaan melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

“Kerana tidak tahan dengan perbuatan itu pelajar berkenaan mengadu kepada guru sekolah sebelum membuat laporan di Balai Polis Kemaman kira-kira 10 malam semalam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bertindak atas laporan itu, polis, katanya menahan petugas berkenaan di asrama sekolah sejurus menerima laporan.

Suspek yang berasal dari Kedah itu ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan kerana merangsang kanak-kanak untuk melakukan perbuatan kelucahan terlampau, katanya. – Bernama

Korek pecah telinga anak – Metro


Korek pecah telinga anak
Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

NILAI: Seorang wanita mendakwa kecuaian doktor Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) ketika mengeluarkan tahi telinga anak perempuannya awal April lalu, menyebabkan kedua-dua gegendang telinga kanak-kanak itu rosak.

Norizah Kamaruddin, 40, membawa anaknya, Natasha Maria Clara Muhammad Fazli, 8, ke HTJS tiga bulan lalu dan dirujuk ke Jabatan Pediatrik HTJS kerana anaknya menghadapi masalah kesukaran belajar sebelum dihantar ke Jabatan Otorinolaringologi (ORL), 9 April lalu.
“Anak saya diperiksa seorang doktor wanita yang memasukkan penyepit dan cuba mengeluarkan tahi telinga anak yang sudah keras.

“Saya tidak sedap hati melihat cara dia mengorek telinga anak berikutan tidak memasukkan sebarang ubat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Desa Casuarina di sini, semalam.
Norizah mendakwa, bagaimanapun, dia terkejut apabila melihat doktor berkenaan mengeluarkan sesuatu, darah memancut keluar dari telinga anak bongsunya itu.
“Doktor berkenaan tidak ambil peduli ketika saya bertanyakan hal itu, sebaliknya terus menjalankan rawatan sebelum anak saya menjerit kuat akibat kesakitan. “Dalam perjalanan pulang ke rumah, anak menangis tidak berhenti-henti dan saya panik apabila mendapati kedua-dua telinganya berdarah,” katanya. Bimbang dengan keadaan itu, dia membawa Natasha ke sebuah klinik swasta di daerah ini dan doktor yang memeriksa anak saya mengesahkan gegendang telinganya luka serius akibat terkoyak.

“Malah, menurutnya, anak saya mungkin mengalami kecacatan kekal iaitu kurang pendengaran,” katanya. Norizah yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu membuat laporan di Balai Polis Sepang.
“Anak saya bukan saja mungkin kehilangan pendengaran, tetapi juga terseksa dengan sering menangis dan tidak dapat tidur.

“Dia juga enggan mandi kerana takut air masuk ke telinganya,” katanya yang bercadang mengambil tindakan undang-undang.
Norizah berkata, doktor pakar hospital swasta menyarankan Natasha dibedah bagi membaiki kerosakan telinganya, tetapi dia sekeluarga tidak mampu berikutan suaminya, Muhammad Fazli Lim Abdullah, 50, kini hanya berniaga di pasar malam dengan pendapatan tidak menentu. Sementara itu, Pengarah HTJS, Dr Jaafar Che Mat, menjelaskan anak Norizah dirujuk ke Jabatan ORL untuk ujian pendengaran dan pegawai perubatan mendapati ada tahi telinga keras pada kedua-dua saluran telinga.
“Tahi telinga kanan berjaya dikeluarkan, namun tahi telinga kiri terlalu keras. Pengadu diberi ubat untuk mencairkan tahi telinga itu dan diberi tarikh temu janji untuk ujian pendengaran,” katanya.
Ditanya dakwaan doktor swasta mengesahkan kecederaan pada gegendang telinga, Jaafar berkata, perkara itu hanya dapat diketahui jika Norizah membenarkan pihaknya melakukan pemeriksaan.
“Kami mahu melakukan pemeriksaan rapi anak pengadu ketika pertemuan dengannya dan mencadangkan anaknya dimasukkan ke wad, tetapi tidak mendapat kerjasama.
“Oleh itu, bagi menyelesaikan masalah ini, pihak hospital mencadangkan Norizah membawa semula anaknya ke hospital ini untuk rawatan susulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/02

Gadis lari ikut kekasih – Metro


Gadis lari ikut kekasih
AMPANG: Seorang gadis sanggup melarikan diri dari rumah semata-mata untuk bersama kekasih hatinya yang baru dikenali sejak sebulan lalu.

Gadis berusia 13 tahun itu dipercayai tinggal bersama kekasihnya di sebuah rumah di Bandar Baru Ampang, di sini, sebelum mereka ditemui bapa gadis terbabit yang mencarinya sejak melarikan diri dari rumah, Ahad lalu.
Lebih malang, gadis terbabit mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya yang berusia 30 tahun.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, bapa gadis berkenaan yang geram dengan tindakan lelaki terbabit kerana mengambil kesempatan ke atas anak gadisnya, terus menghubungi polis sebelum lelaki itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Ampang.
Sumber berkata, gadis terbabit yang baru mengenali teman lelaki sebulan lalu melalui laman sosial sanggup bertindak melarikan diri dari rumahnya di Ampang, sebelum tinggal bersama teman lelakinya itu.
“Gadis berkenaan berjumpa dengan teman lelakinya sebanyak empat kali sejak sebulan lalu dan mengadakan hubungan seks pada pertemuan kedua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/02

Murid dipercayai didera menghilangkan diri – Utusan


Murid dipercayai didera menghilangkan diri

PULAU PINANG 1 Ogos – Seorang kanak-kanak lelaki di Sungai Nibong di sini, yang dipercayai menjadi mangsa dera bapa kandungnya dilaporkan menghilangkan diri sejak dua hari lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zulkifli Ismail berkata, pihaknya gagal mengesan murid tahun lima itu sejak petang semalam.

“Pagi ini, pegawai JKM pergi ke sekolahnya tetapi pihak sekolah memaklumkan dia sudah dua hari tidak hadir ke sekolah.

“Gurunya memberitahu murid terbabit ada meminta surat bertukar sekolah pada Isnin lalu, namun selepas itu dia terus tidak datang ke sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kebimbangan seorang lelaki mengenai nasib anak saudara tirinya yang dipercayai menjadi mangsa dera sejak setahun lalu.