Jais kesan sindiket guna pelajar sekolah kutip derma hingga pukul 3 pagi – Bernama


Jais kesan sindiket guna pelajar sekolah kutip derma hingga pukul 3 pagi

9 Ogos 2012
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan terdapat sindiket yang berselindung di sebalik nama pusat Tahfiz, madrasah dan rumah anak yatim serta menggunakan pelajar sekolah untuk mengutip derma sehingga ke pukul 3 pagi setiap hari.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jais Hardi Mohamad Sadali berkata aktiviti sindiket mengutip derma itu terbongkar selepas lapan individu termasuk tiga rakyat asing ditahan dalam operasi kutipan derma tanpa kebenaran di Seksyen 9, 11, 17, 18 dan 19 di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan berumur antara 16 dan 50 tahun kerana didapati menjalankan aktiviti mengutip derma tanpa kebenaran Jais dan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Siasatan kami mendapati ada yang berselindung di sebalik sindiket yang menggunakan pelajar sekolah yang dihantar sejak awal pagi hingga ke pukul 3 pagi keesokannya malah ada yang dipercayai dipergunakan oleh sebuah ajaran yang meragukan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hardi berkata operasi yang diketuai Penolong Pengarah Unit Perundangan dan Kesalahan Jais Zaaba Zakaria itu turut merampas beberapa barangan yang dijual oleh mereka yang ditahan seperti cakera padat karaoke, madu dan ubat-ubatan tradisional.

Beliau berkata turut dirampas ialah resit, tabung derma dan surat kebenaran kutipan yang tidak sah.

“Kesemua yang ditahan akan diambil kenyataan untuk tujuan siasatan sebelum tindakan selanjutnya dan dibebaskan,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata Jais memang ada mengeluarkan kebenaran untuk mengutip derma tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu tidak dibuat di tempat awam seperti di restoran dan bank.

Ditanya mengenai pembabitan kumpulan ajaran dipercayai sesat dalam sindiket itu, Hardi tidak menolak kemungkinan itu dan berkata perkara itu masih di peringkat siasatan.

“Kami masih menyiasat malah ada mereka yang ditahan memaklumkan mereka mengutip derma untuk aktiviti kumpulan berkenaan dengan menjual produk mereka,” katanya. – Bernama

Najib lulus RM530,000 kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil


Najib lulus RM530,000 kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil
18:26:12 PM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan RM530,000 bagi kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G Palanivel.

Palanivel, yang juga Presiden MIC berkata, projek ‘Road to England’ bertujuan melahirkan pelajar kaum India di Malaysia yang dapat menjadikan bola sepak sebagai satu kerjaya dengan memiliki standard yang setara dengan pemain England dari segi jangka panjang. Ke arah itu, beliau menyerahkan cek lebih RM530,000 kepada Karen Barnes, pengarah Ken Barnes Football Academy, di pejabatnya di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
“Ini adalah julung kali pelajar sekolah Tamil mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak ‘Road to England'” kata Palanivel kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek itu.

Projek berkenaan, yang dijangka dimulakan akhir bulan ini, akan membabitkan 523 sekolah Tamil di 11 lokasi di seluruh negara.

Palanivel berkata, 11 pemain berbakat dan berkemahiran dari kejohanan itu akan dihantar untuk berlatih serta bermain di kelab bola sepak Manchester United di England hujung tahun ini.

Latihan akhir dan pemilihan 11 pemain akan dilakukan oleh bekas pemain antarabangsa England Peter Barnes.
Beliau berkata, projek Road to England adalah hasil kerjasama antara Peter Barnes Football Academy dan Majlis Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia.

– BERNAMA

Penganggur Mengaku Tidak Bersalah Lakukan Seks Luar Tabii Dengan Dua Anak – Bernama


Penganggur Mengaku Tidak Bersalah Lakukan Seks Luar Tabii Dengan Dua Anak
SEREMBAN: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Khamis atas tuduhan sengaja mengadakan hubungan seks yang bertentangan dengan peraturan tabii terhadap dua anak perempuannya di rumah mereka, di Kampung Labu, dekat sini antara 2007 hingga tahun lepas.

Ahmad Dzulkipli, 30, dituduh menggunakan kekerasan bagi melakukan perbuatan itu terhadap anak perempuannya berusia tujuh tahun pada tahun 2007 sehingga 2011 di dalam sebuah bilik tidur di rumahnya di Kampung Labu, dekat sini.

Dia turut dituduh melakukan perbuatan sama ke atas seorang lagi anak perempuannya yang berusia enam tahun, di lokasi sama tetapi pada masa dan tarikh tidak diketahui.

Bagi kedua-dua pertuduhan ini tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Haslina Basarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam sebutan berasingan, pasangan kembar Ahmad iaitu Mohammad, 30, yang juga bapa saudara kedua-dua mangsa tadi, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan luar tabii terhadap anak saudaranya yang berusia enam tahun.

Tertuduh yang juga penganggur itu dituduh dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah terhadap anak saudarannya yang berusia enam tahun dengan melakukan perbuatan itu di lokasi sama pada masa dan tarikh yang tidak diketahui.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Haslina membenarkan Mohammad diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurdiyanah Mohd Nawawi. – BERNAMA

Pelajar Maut Nahas Ketika Ke Sekolah – Bernama


Pelajar Maut Nahas Ketika Ke Sekolah
KUANTAN: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Besar Chenor, dekat Maran, pagi Khamis.

Mangsa Lukmanul Hakim Ruslan, 17, pelajar Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan Chenor, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Chenor akibat parah di kepala dan badan.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata, dalam kejadian pukul 7.10 pagi itu, mangsa yang membonceng motosikal rakannya dalam perjalanan ke sekolah.

“Dipercayai motosikal yang ditunggang rakannya itu bergesel ketika cuba memotong sebuah motosikal di hadapan mereka.

“Motosikal yang dinaiki mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum sebuah kereta merempuh mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

“Siasatan awal mendapati rakan mangsa yang menunggang motosikal itu tidak memiliki lesen memandu sah dan kedua-dua mereka juga tidak memakai topi keledar,” katanya.

Sementara itu, seorang pemandu lori maut dilanggar sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti, ketika mangsa berhenti di lorong kecemasan untuk memeriksa kenderaannya di Km151.8 Lebuhraya Pantai Timur dekat Maran pagi Khamis.

Dalam kejadian pukul 9.35 pagi itu, mangsa P. Thiharajah, 65, dari Banting, Selangor mati di tempat kejadian.

“Mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan telah memberhentikan lorinya di lorong kecemasan.

“Mangsa kemudian turun untuk memeriksa lorinya di bahagian belakang dan dipercayai telah dirempuh sebuah kenderaan. Kita sedang mengesan kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Kementerian Pelajaran Tidak Halang Inisiatif PIBG Kumpul Dana – Bernama


Kementerian Pelajaran Tidak Halang Inisiatif PIBG Kumpul Dana
IPOH: Kementerian Pelajaran mengalu-alukan inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah mengutip derma bagi mengumpul dana untuk tujuan aktiviti pelajar dengan syarat ia perlu mendapatkan kelulusan pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pengarah JPN perlu memperhalusi sebab dan tujuan kutipan derma itu sebelum memberikan kelulusan.

“Kita mengalu-alukan apa juga inisiatif di bawah persatuan (PIBG) itu tetapi ia tertakluk kepada kelulusan pengarah JPN…perlu perhalusi permohonan itu,”katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek bantuan modal Sekolah Bantuan Kerajaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah JenisKebangsaan (SMJK) di SMJK Sam Tet di sini, Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah kerana ia sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.

Bagaimanapun beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan dermaseperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dansebagainya.

Wee berkata, pihak kementerian tidak pernah menghalang inisiatif PIBG bagi mengumpul dana contohnya bagi tujuan pembinaan gelanggang sukan yang lebih canggih dan moden serta program peningkatan akademik pelajarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian akan selesai mengagihkan bantuan modal kepada semua Sekolah Bantuan Kerajaan dalam tempoh sebulan mulai Ogos.

“Majoriti sekolah akan terima sebelum Aidilfitri, namun kerana kita akan bercuti hari raya ada negeri yang akan menerimanya selepas itu. Kita akan menjadualkan semula penyerahan bantuan itu,” katanya.

Beliau berkata, pembayaran bantuan modal kepada SJKC, SJK Tamil, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Mubaligh adalah janji kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012.

“Kerajaan sangat komited untuk bidang pendidikan dan inilah janji kita yangsemuanya ditepati,” katanya.

Bagi negeri Perak bantuan modal sebanyak RM16.53 juta diagihkan kepada 96 buah SJKC dan 17 buah SMJK, katanya. – BERNAMA

Uji kaji 10 botol bawa maut – Metro


Uji kaji 10 botol bawa maut

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TUTUP...anggota penyelamat menutup jenazah mangsa. Gambar kecil, Muhammad Hafiz.
TUTUP…anggota penyelamat menutup jenazah mangsa. Gambar kecil, Muhammad Hafiz.

KOTA BHARU: Eksperimen seorang remaja memasukkan 10 botol minuman plastik 500 mililiter ke dalam seluar untuk dijadikan pelampung mengundang tragedi apabila dia mati lemas selepas botol digunakannya itu terkeluar dari seluarnya dalam kejadian di Sungai Banggol, Kubang Tuman, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, Muhammad Hafiz Fakri Mohamed, 13, pada mulanya mandi bersama empat rakannya di kawasan cetek di tepi sungai, tetapi tiba-tiba menuju tengah sungai dengan memasukkan botol plastik ke dalam seluarnya.

Pada mulanya dia gembira kerana badannya terapung, tetapi tidak lama kemudian, terkapai-kapai dan tenggelam timbul sambil meminta tolong.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan apabila dihanyutkan arus deras dan mayatnya ditemui setengah jam kemudian oleh penduduk kampung beberapa meter dari tempat dia tenggelam.

 
Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/09

‘Syukur murid kami terpilih’ – Metro


‘Syukur murid kami terpilih’

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

LEDANG: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bunga, di sini, gembira apabila penganjur memilih daerah ini dan mukim Kesang sebagai lokasi program amal Titipan Kasih Ramadan ketiga di Masjid Jamek At-Taqwa, 11 Ogos ini.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Fadzilah Abdul Rahman berkata, pihaknya gembira kerana pelajar sekolah berkenaan turut terpilih untuk menerima sumbangan sempena program Titipan Kasih Harian Metro itu. Katanya, dia mewakili Guru Besar, Mas’ood Idris, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Harian Metro atas penganjuran program itu kerana ia mampu meringankan beban murid sekolahnya.
“Pengurusan sekolah berasa sangat bersyukur dan gembira kerana 21 murid yang juga anak yatim sekolah kami turut dipilih untuk dibawa membeli-belah pakaian raya pada petang Jumaat ini.

 

“Ini kerana membeli pakaian baru untuk hari raya adalah aktiviti ditunggu-tunggu semua kanak-kanak terutama menjelang Aidilfitri,” katanya.
Menurutnya, pihak sekolah turut menyokong usaha penganjuran program Titipan Kasih Harian Metro kerana melaluinya, golongan kurang berkemampuan seperti anak yatim, ibu tunggal dan keluarga kurang bernasib baik dapat diberi bantuan.
“Kami berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa depan kerana ia bukan saja mampu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan, malah menceriakan suasana dan menambah kemeriahan kanak-kanak menjelang Aidilfitri nanti,” katanya.

 

 

Selain SK Parit Bunga, Titipan Kasih Harian Metro memilih murid miskin dan anak yatim dari SK Tanjong Gading iaitu seramai 28 orang, SK Kesang (27) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Bunga, 34 pelajar.
Ia turut disertai kira-kira 50 murid Tadika Kemas Mukim Kesang, Ledang, yang akan terbabit dalam pertandingan mewarna pada pagi Sabtu ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/09

Petani, dua pelajar sekolah ditahan miliki mercun – Sinar Harian


Petani, dua pelajar sekolah ditahan miliki mercun

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012

KAMPUNG RAJA- Seorang petani bakal berdepan tindakan undang-undang apabila ditahan kerana memiliki pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM200, di rumahnya dekat Jabi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan polis yang menyerbu rumahnya di Kampung Jabi pada jam 3.30 petang kelmarin.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek menemui pelbagai jenis mercun antaranya empat kotak Thunder Clap 1 Voice, dua paket magical shoot, satu peket20 Ball Roman Candle dan masing-masing satu kotak pop-pop, crackling flower serta Invincible Hero.

“Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut manakala kesemua mercun tersebut telah dirampas,” katanya.

Dalam kes berasingan, dua pelajar perempuan tingkatan tiga dan empat sebuah sekolah menengah turut ditahan kerana kesalahan sama.

Dua beradik berusia 15 dan 16 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut pada jam 1.55 petang selepas polis menemui sejumlah mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM150.

“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku mercun tersebut milik mereka dan kedua-dua mereka ditahan manakala mercun dirampas,” katanya.

Katanya, kesemua  kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letuan 1957.

Bekas guru seludup mercun, rokok – Sinar Harian


Bekas guru seludup mercun, rokok

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012
Bekas guru seludup mercun, rokok
Sebanyak 15 bungkusan mercun bola dirampas daripada suspek.

GERIK – Seorang bekas guru sanggup memandu kereta sejauh kira-kira 300 kilometer menyeludup 15 bungkus mercun bola dan 90 karton rokok untuk dijual di pasar malam di Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Bachok, Kelantan itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 4.2, Jalan Gerik-Kupang dekat sini pada jam 8.45 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, suspek menyumbat penuh but keretanya dengan mercun bola yang dibungkus plastik hitam supaya tidak mudah dikesan pihak berkuasa.

“Suspek ditahan dalam operasi mencegah kegiatan menyalahi undang-undang dan anggota kami mudah mengesan kesalahan lelaki itu kerana tidak membungkus kotak rokok dalam kereta.

“Pemeriksaan di but belakang keretanya pula mendapati sejumlah 15 bungkusan mercun bila pula disimpan. Hasil rampasan bernilai lebih RM5,000,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan membawa rokok seludup yang diambil melalui Rantau Panjang, Kelantan manakala, mercun bola pula diambil dari Kota Bharu.

“Suspek menjual rokok berkenaan dengan harga RM30 se-karton dan sebungkus mercun bola dijual dengan harga RM25 sebungkus berikutan ada permintaan tinggi di sana.

“Suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan akan dikenakan dua tuduhan kes,” katanya.

Abdul Manab berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 bagi kes mercun dan kes rokok pula di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang-barang belum cukai.