Sedia loker sekolah – Bernama


Sedia loker sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan semula cadangan untuk menyediakan kemudahan loker di sekolah terutama sekolah rendah bagi menangani isu beg sekolah berat.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, langkah itu juga boleh mewujudkan sistem persekolahan yang lebih sistematik.
“Memang ada beberapa cadangan dikemukakan dan Kementerian Pelajaran sendiri, pihak sekolah, terutamanya ibu bapa dan guru, sedar mengenai perkara ini kerana kesannya membabitkan jangka masa panjang. Ia tidak baik kepada kesihatan dan postur kanak-kanak,” katanya kepada Bernama. Mohamad Ali berkata, beg berat turut menggambarkan sistem persekolahan yang tidak teratur dari segi jadual kerana murid harus membawa semua buku ke sekolah setiap hari.

 

“Jadi jalan keluar, antara lain adalah dengan menyediakan loker di sekolah, seperti kebanyakan sekolah di luar negara yang sudah lama mempraktikkan sistem sebegini,” katanya dan menambah kata terdapat pelbagai mekanisme untuk melaksanakan usaha itu bagi mengurangkan beban kos kerajaan.
Antaranya, kata beliau pengendalian kemudahan loker itu boleh diserahkan kepada pihak sekolah, koperasi sekolah ataupun PIBG.
“Ia juga boleh diserahkan kepada syarikat-syarikat luar dan kosnya mungkin boleh dicaj ke atas pelajar supaya mereka lebih bertanggungjawab ke atas benda yang diberi,” katanya. Presiden Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang bersetuju dengan cadangan itu, berpendapat yuran yang diterima daripada pelajar untuk tujuan itu boleh diguna bagi menampung keperluan lain di sekolah.

 

 

“Seperti di sekolah persendirian, memang kita sewa loker itu dan duit yang diperoleh daripadanya dapat digunakan bagi membiayai pelbagai keperluan lain,” katanya.
Noor Azimah berkata, pelajar boleh menggunakan kemudahan loker untuk menyimpan barangan keperluan seperti pakaian, peralatan sukan dan kelengkapan lain, menjadikan mereka lebih bersedia untuk pelajaran.

 

“Terutamanya bagi sekolah yang mengutamakan kegiatan kokurikulum seperti sukan dan kegiatan badan seragam, kemudahan ini sangat membantu,” katanya. -Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012

Sedia guru terlatih dulu – Bernama


Sedia guru terlatih dulu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyediakan tenaga pengajar yang terlatih terlebih dahulu sebelum memperkenalkan semula subjek Kesusasteraan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, tenaga pengajar yang terlatih amat penting untuk membimbing pelajar menghayati subjek itu, selain hanya menyediakan bahan sumber atau buku sastera. “Kemampuan guru melaksanakan hasrat ini penting seperti pelaksanaan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris supaya ia tidak dilihat sebagai melampaui kemampuan pelajar mempelajarinya,” katanya mengulas hasrat kerajaan memperkenalkan semula subjek Kesusasteraan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah. Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan itu akan dikaji dari segi tarikh pelaksanaannya terlebih dahulu menerusi kajian semula sistem pendidikan nasional.
“Sastera Inggeris ini bukan sesuatu yang ringan, sedangkan dahulu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pun pelajar kita susah untuk fahami, inikan pula sastera Inggeris,” kata Noor Azimah. PPSMI yang bermula pada 2003 hanya mampu dilaksanakan sehingga 2008 sebelum Kabinet memutuskan untuk tidak meneruskannya lagi pada 2009.

 

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berpendapat, kajian lebih mendalam perlu dilakukan sebelum cadangan itu dilaksanakan dalam sistem pendidikan Malaysia. Bagaimanapun, Hashim berkata, jika kerajaan berjaya mencari suatu kaedah yang difikir mampu mendatangkan minat untuk pelajar mempelajari subjek itu bagi menguasai bahasa Inggeris, tidak ada salahnya ia diteruskan. “Perlu diingatkan bukan mudah untuk kita tarik minat pelajar belajar subjek sastera Melayu dan inikan pula sastera Inggeris kerana rata-rata pelajar beranggapan tiada nilai ekonomi dan kerjaya dalam subjek sastera,” katanya. — Bernama

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012

‘Pergi angkut anak awak’ – Metro


‘Pergi angkut anak awak’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Pergi angkut anak awak di Tasik Titiwangsa.” Itu panggilan diterima seorang ibu selepas anak lelakinya berusia 17 tahun dilarikan sekumpulan lelaki yang tiba-tiba menyerbu masuk ke rumahnya di Bandar Menjalara, di sini petang kelmarin.

Panggilan itu diterima ibu mangsa jam 10.30 malam iaitu lapan jam selepas anaknya dilarikan dan pada mulanya, ibu mangsa sukar mempercayai panggilan berkenaan berikutan dibuat menggunakan nombor telefon anaknya sendiri.
Bapa saudara mangsa, M Kalithasan, 42, berkata pada hari kejadian, mereka sekeluarga sedang sibuk membuat persiapan untuk kenduri kematian bapa saudaranya di rumah itu.

 

Bagaimanapun, ketika kejadian, semua ahli keluarga lelaki keluar membuat upacara sembahyang di kuil manakala anak saudaranya itu yang masih menuntut di tingkatan lima berada di rumah bersama ahli keluarga wanita lain.
“Ketika itu, tiba-tiba datang tiga lelaki menaiki kereta Proton Perdana bersenjata parang menyerbu masuk ke rumah.
“Pada mulanya, kami menyangka tiga lelaki itu berniat untuk menyamun tetapi mereka bertindak lebih agresif apabila mengheret anak saudara saya itu ke dalam kereta sebelum memecut,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

 

 

Katanya, sebaik mendapat tahu kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Kepong.
Katanya, ketika mereka risaukan keselamatan anak saudaranya itu, tiba-tiba kakaknya mendapat panggilan daripada nombor telefon anak saudaranya itu jam 10.30 malam.

 

“Kami terkejut selepas seorang lelaki mengarahkan kami untuk ‘mengangkut’ anak saudara saya itu di Tasik Titiwangsa. Lelaki berkenaan turut menyatakan anak saudara saya dalam keadaan kritikal selepas ditetak mereka,” katanya.
Kalithasan berkata, pada mulanya mereka menyangka ia panggilan palsu namun tetap menyalurkan maklumat itu kepada polis dan selepas polis mengesahkan memang anak saudaranya, barulah mereka bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Anggota polis menemui anak saudara saya di Tasik Titiwangsa dalam keadaan berlumuran darah sebelum menghantarnya ke HKL dengan ambulans.
“Anak saudara saya parah di lengan kiri, kaki kiri dan belakang badan yang turut menyebabkan kecederaan pada tulang belakang akibat ditetak,” katanya.
Anak saudaranya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HKL.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara dua geng kongsi gelap.

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012

‘Bertapa’ 10 hari – Metro


‘Bertapa’ 10 hari

Oleh Muhammad Apendy Issahak dan Kalidevi Mogan Kumarappa
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Suspek utama disyaki membakar Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, yang kini koma sejak kejadian 13 Ogos lalu akhirnya ditahan awal pagi semalam ketika dalam keadaan ‘lalok’ (khayal) akibat pengaruh dadah bersama lima rakan, empat daripadanya wanita.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu yang juga kekasih mangsa ditahan kira-kira jam 3.30 pagi bersama lima rakan berusia 18 hingga 20 tahun di dalam sebuah rumah panjang di Setapak Jaya, di sini, yang jaraknya hanya kira-kira lima kilometer dari lokasi Nurul Firzanah dibakar. Sumber polis berkata, serbuan diketuai Pegawai Siasatan Kanan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (Zon Setapak), Asisten Superintendan Shan Gopal bersama sepasukan anggota hasil risikan dan maklumat orang awam. Menurutnya, siasatan polis mendapati sejak kejadian 10 hari lalu suspek tidak keluar dari rumah itu yang menjadi tempat persembunyiannya bagi mengelak ditahan polis selepas gambarnya disebarkan di media.
“Sebelum serbuan dilakukan, polis membuat pemantauan di rumah berkenaan selama hampir lima jam bermula jam 11.30 malam dan serbuan dilakukan menerusi pintu belakang dan depan secara serentak.

 

“Suspek cuba melarikan diri, namun dapat dicekup dan ketika itu dia dan rakan-rakannya didapati berada di bawah pengaruh dadah, malah polis turut menemui peralatan menghisap dadah di rumah berkenaan,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang dihubungi semalam mengesahkan penahanan suspek utama itu serta lima rakannya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan polis turut menemui beberapa bahan bukti penting, antaranya pakaian dengan kesan minyak petrol yang dipercayai digunakan suspek semasa membakar mangsa. “Polis turut merampas telefon bimbit suspek selepas mendapati di dalamnya terdapat beberapa mesej berbaur ugutan antara suspek dan mangsa,” katanya.

 

 

Ku berkata, selain suspek, lima individu yang ditahan bersamanya turut didapati positif dadah dan semua mereka kini direman lima hari bermula semalam untuk siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sementara itu, bapa Nurul Firzanah, Mat Zaki Mat Hussin, 45, yang dimaklumkan mengenai tangkapan suspek mengucapkan rasa syukur dan tahniah di atas kejayaan polis.

 

“Alhamdulillah, solat hajat dan doa kami sekeluarga serta orang ramai dimakbulkan Allah. Kami berharap dia (suspek) akan menerima pembalasan setimpal dengan apa yang dilakukannya terhadap anak saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi 13 Ogos lalu, Nurul Firzanah yang keluar bersama suspek disimbah petrol sebelum dibakar di kawasan semak berhampiran Flat Wangsa Sari, Seksyen 1, Wangsa Maju, hingga menyebabkan dia koma manakala 25 peratus tubuhnya terutama bahagian muka hingga paras pinggangnya terbakar.
Harian Metro Selasa lalu melaporkan remaja itu berkemungkinan akan koma untuk tempoh antara tiga hingga enam bulan kerana Mat Zaki diberitahu doktor terpaksa memberinya ubat pelali supaya dia terus tidak sedarkan diri.
Menurutnya, rawatan itu adalah terbaik untuk mangsa kerana Nurul Firzanah yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan bertambah teruk dan sakit jika dia sedar daripada koma dalam masa terdekat.

 

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012

Sekolah perlu lapor PPD masalah ICT – Berita Harian


Sekolah perlu lapor PPD masalah ICT

Pihak pentadbiran tak maklum ketika lawatan

Kuala Lumpur: Pentadbir sekolah perlu melaporkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran negeri sekiranya berlaku masalah yang menyebabkan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dibekalkan ke sekolah gagal dimanfaatkan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata beliau kerap turun padang meninjau masalah dan keperluan sekolah, namun tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai masalah berkenaan.

“Saya akan mendapatkan maklumat daripada pegawai kanan kementerian mengenai isu itu, untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pelajar dibelasah setelah dijadi ‘umpan’ kumpulan samseng – Utusan


Pelajar dibelasah setelah dijadi ‘umpan’ kumpulan samseng

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Sekumpulan lelaki yang dipercayai anggota kumpulan samseng bertindak menculik seorang pelajar sekolah di Kepong di sini untuk dijadikan ‘umpan’ bagi mendapatkan ‘musuh’ mereka.

Lebih malang, mereka turut menetak tangan mangsa, A. Kumanan, 17, dengan parang dan membelasah sebelum meninggalkan remaja itu di tepi jalan setelah lelaki yang dikehendaki mereka itu enggan datang untuk bertemu.

Dakwa Kumanan, lelaki yang dicari kumpulan itu dikenali sebagai Botak dan merupakan rakannya yang tinggal berhampiran rumahnya.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku antara mereka. Saya cuma diberitahu, mereka mahu berjumpa Botak, jika tidak tangan saya akan dipotong,” katanya ketika di temui di wad Hospital Kuala Lumpur sini hari ini.

Menurut Kumanan, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki motosikal tiba-tiba dihalang oleh sebuah kereta Proton Perdana.