Rogol anak: Penganggur dipenjara 30 tahun
PUTRAJAYA 29 Nov. – Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang penganggur menjalani hukuman penjara 30 tahun atas tiga kesalahan merogol anak kandungnya yang masih di bawah umur, 12 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan hukuman penjara 16 tahun bagi ketiga-tiga kesalahan dijalankan serentak.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.
Pendakwa raya merayu agar keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Julai tahun lalu diketepikan manakala keputusan Mahkamah Sesyen Ampang pada 7 Mei 2010 yang memerintahkan hukuman penjara 16 tahun itu berjalan berasingan, dikekalkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas mewakili pihak pendakwaan manakala lelaki tersebut diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad. – UTUSAN.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121129/ma_04/Rogol-anak-Penganggur-dipenjara-30-tahun#ixzz2DbuZe4SN
© Utusan Melayu (M) Bhd