PEKAN: Selepas hampir seminggu bertarung nyawa dan koma kerana terjatuh dari motosikal ditunggangnya, remaja meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, pagi kelmarin.
Mangsa yang dikenali sebagai Taofik, 17, dari Thailand dan mempunyai dokumen perjalanan sah, meninggal dunia pada jam 9.30 pagi akibat kecederaan di dada.
Dalam kejadian jam 9 malam, 6 Januari lalu, mangsa menunggang motosikal seorang diri apabila dia terjatuh ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Nenasi dari Tanjung Batu, di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata mangsa yang tidak sedarkan diri, dihantar pulang ke rumah oleh rakannya sebelum dikejarkan ke Hospital Pekan (HP) dan dipindahkan ke ICU HTAA Kuantan.
“Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat tengah hari kelmarin,” katanya.