Muhyiddin gesa swasta bekerjasama tingkat penubuhan prasekolah
17:40:39 PM Cetak Emel Kawan
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa pihak swasta agar bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha meningkatkan penubuhan lebih banyak prasekolah di negara ini.
Beliau berkata, usaha memperluaskan akses pendidikan tidak seharusnya diletakkan di atas bahu kerajaan sahaja sebaliknya usahasama antara kerajaan dan swasta perlu ditingkatkan.
“Kerajaan akan menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada pihak swasta yang berminat seperti menyediakan bantuan geran, bantuan yuran murid dan memberi latihan kepada guru-guru prasekolah swasta.
“Usaha-usaha ini diharap dapat meningkatkan penubuhan prasekolah swasta di samping memastikan penyampaian pendidikan yang berkualiti dan memenuhi aspirasi ibu bapa dan masyarakat,” katanya pada majjlis pemberian geran permulaan prasekolah swasta di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan di sini hari ini.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyerahkan geran RM10,000 kepada 70 daripada 220 prasekolah yang memenuhi syarat kelayakan.
Beliau berkata, dalam perancangan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0, peranan swasta dalam menyediakan kemudahan prasekolah akan diberikan lebih tumpuan dan usaha akan dilipat-gandakan.
“Kami sedar bahawa tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan masa depan anak-anak kita.
“Kerajaan akan sentiasa membantu, namun pihak yang bertanggungjawab hendaklah sentiasa berusaha untuk memajukan dirinya…anggaplah pemberian geran ini sebagai satu tanggungjawab atau amanah untuk mencorakkan masa depan anak-anak kita,” katanya. – BERNAMA