Pelajar lemas di sungai
9 Ogos 2012

AZHAR MOHAMAD
KOTA BHARU- “Saya nampak dia terkapai-kapai di kawasan tengah sungai, namun tidak sempat selamatkannya,” kata rakan mangsa lemas, Mohamad Lokman Abdul Rahman, 13.
Lokman berkata, dia cuba mencapai mangsa, Muhd Hafiz Fikri Mohamad, 13, namun tidak terdaya apabila rakannya itu hanyut dibawa arus.
Mayat Muhd Hafiz ditemui kira-kira 3.30 petang semalam di Kampung Hutan Banggol, di sini.
Menurut Lokman lagi, mangsa tidak pandai berenang dan menggunakan botol plastik kosong dengan meletakkannya di celah-celah poket seluar sebagai pelampung namun tindakannya gagal dan lemas.
“Memang dia (Hafiz) yang beria-ia mengajak saya dan empat rakan lain mandi di sungai setelah lama tidak datang ke kawasan ini.
“Malangnya tidak saya sangka niat untuk mandi bertukar tragedi apabila dia lemas di sungai ini,’ katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, menurut salah seorang abang mangsa, Azhar Mohamad, 23, dia hanya mengetahui mengenai adiknya lemas selepas diberitahu jirannya.
“Terkejut juga apabila mendapat berita adik lemas, dan saya terus bergegas ke tempat
kejadian.
“Apabila sampai, saya lihat mayat adik terkujur di atas tanah dengan dibaluti plastik hitam, dan menurut penduduk yang berada di kawasan itu adik diselamatkan oleh seorang penjala ikan dengan dibantu anggota bomba dan penyelamat,” katanya.