Tiga beradik kronik masih dirawat – Sinar Harian


Tiga beradik kronik masih dirawat

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 September 2012
Zanery Adam (kiri) melayan anak bongsunya, Nur Fatihah sambil diperhatikan isterinya, Adiana.
Zanery Adam (kiri) melayan anak bongsunya, Nur Fatihah sambil diperhatikan isterinya, Adiana.

SELAYANG – Keadaan tiga beradik Nurul Huda Zanery, 12, Muhammad Amir Zanery, 11 dan Nur Fatihah Zanery, 8 yang masing-masing dikesan menghidap penyakit kronik masih menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan dari Hospital Selayang dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Khabar gembira kepada adik Muhammad Amir yang mempunyai potensi untuk pulih dan tidak perlu bergantung kepada penggunaan tiub seumur hidup melalui beberapa pembedahan kecil secara berperingkat.

Menurut ibunya, Adiana Othman, 34, pada 14 September ini, anaknya itu akan menjalani ujian imbasan magnetik resonan (MRI) sebelum membuat pembedahan kecil di tulang belakangnya dijangka Oktober ini dan kos itu dirahsiakan pihak hospital serta dibiayai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal.

“Pembedahan kecil itu bukan sahaja untuk mengurangkan penggantungan Muhammad Amir dengan penggunaan tiub semasa membuang air kecil tetapi dijangka dapat mengatasi masalah kebas kaki yang kebelakangan ini semakin membimbangkan.

“Muhammad Amir kerap rebah kerana terlalu penat menjalani rutin hariannya ke sekolah ditambah pula dengan faktor cuaca dan terlalu aktif bermain,” katanya semasa mengadakan majlis rumah terbuka di kediamannya di kampung Selayang Indah di sini, semalam.

Sementara itu, keadaan kakak Amir, Nurul Huda pula berada dalam keadaan stabil dan doktor membekalkan ubat untuk memastikan pita suara anaknya yang menghidap tiroid sentiasa berada dalam keadaan stabil.

“Pembedahan tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat memandangkan Nurul Huda perlu menumpukan perhatian kepada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang  menjelang beberapa hari lagi.

“Ubat yang diberikan juga bukan jenis ubat mengantuk memudahkan dia untuk menumpukan kepada pembelajaran dan pembedahan dijangka akan dilakukan selepas tamat peperiksaan,” katanya.

Manakala anak bongsunya, Nur Fatihah pula yang menghidap kanser tulang katanya, doktor menasihatkan supaya pembedahan tidak dilakukan ke atasnya memandangkan usianya yang masih kecil menyukarkan mengesan ketumbuhan.

“Nur Fatihah hanya akan menjalani pemeriksaan susulan setiap bulan di Hospital Selayang dan ketumbuhannya sukar dikesan dan dipercayai akan membesar mengikut peningkatan usianya dalam lingkungan 14 hingga 15 tahun.

“Kadangkala Nur Fatihah ada mengadu mengalami sakit tangan kanannya dan tidak kuat untuk mengangkat barang dipercayai mempunyai kaitan dengan ketumbuhan yang menghimpit uratnya hingga tangannya gagal berfungsi dengan baik,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s