Pelajar maut, rakan kritikal dilanggar kereta – Bernama


Pelajar maut, rakan kritikal dilanggar kereta
28 November 2013

DUNGUN – Seorang pelajar maut manakala rakannya parah setelah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 84.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan lampu isyarat hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku ketika dua pelajar berkenaan dalam perjalanan untuk ke kampus mereka.

Akibat rempuhan itu, Muhammad Asraf Hamidin, 18, pelajar Diploma Teknologi Komputer yang berasal dari Batu 17, Rawang, Selangor maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Rakan sekelasnya, Muhammad Fathil Deraman, 18, yang berasal dari Kampung Pancur Kemumin, Kelantan cedera parah di bahagian kepala dan dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kejadian itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat manakala rakannya yang cedera parah di bahagian kepala dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut. – Bernama

Kaji masalah pertukaran guru – Sinar Harian


Kaji masalah pertukaran guru
NORHASPIDA YATIM
29 November 2013
  • Kaji masalah pertukaran guruIdris (kanan) ketika menghadiri sesi taklimat mengenai petunjuk prestasi dan pencapaian Unisza di Dewan Senat, Bangunan Pentadbiran Unisza, kampus Gong Badak, semalam.
< 1 / 1 >

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius masalah pertukaran guru terutama melibatkan guru yang layak dan terlalu lama memohon serta akan mengkaji cara terbaik bagi menangani masalah itu.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, masalah permohonan terlalu lama dan masih belum diterima adalah masalah besar dihadapi kebanyakan guru.

“Isu mengenai pertukaran guru dilihat dalam konteks lebih besar. Antara negeri paling ketara berhadapan masalah ini ialah Kelantan, memandangkan bilangan guru lahir di Kelantan antara paling ramai,” katanya ketika lawatan ke Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), kelmarin.

Menurutnya, kementerian tidak bermaksud meminggirkan mereka yang memohon sebaliknya, tiada kekosongan menjadi punca masalah itu.

“Di Kelantan jawatan guru perlu diisi di situ adalah 28,048 guru, bilangan guru lahir di Kelantan pula seramai 57,740 dan bilangan guru memohon balik kampung seramai 2,483, sedangkan kekosongan 179.

“Dalam hal ini, kerajaan tidak boleh meletakkan guru tanpa mengikut keperluan dan kekosongan. Di Terengganu permohonan guru mahu pulang ialah 1,267 tetapi kekosongan ada 139, bermakna permohonan seramai 1,100 guru tidak dapat dilayan,” katanya.

Selain itu, katanya, di Kedah terdapat 1,523 permohonan guru ditukarkan di situ tetapi kekosongan cuma 274 dan bermakna, 1,200 guru tidak akan mendapat tempat.

“Tempat dan kekosong terhad dan bilangan guru mahu balik ramai. Jadi, masalah ini tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat. Sebab itu saya ingatkan pengambilan guru adalah mengikut keperluan negeri masing-masing.

“Kekurangan guru Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik juga faktor guru-guru ini tidak dapat balik, malah menjadi punca kepada jarak jauh antara pasangan guru yang berumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan teliti sekiranya berlaku keciciran dalam setiap permohonan.

“Kita akan berusaha tangani masalah ini dengan sebaik- baiknya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai gaji guru lepasan ijazah pertama yang didakwa lebih tinggi berbanding pensyarah yang mempunyai pengalaman, beliau berkata, perkara itu mungkin jarang berlaku disebabkan guru berpengalaman layak mendapat gaji lebih tinggi berbanding pensyarah baru.

“Kalau guru dah lama berkhidmat, dah 30 tahun, mereka lebih layak dapat gaji lebih tinggi berbanding pensyarah baru.

“Tetapi jika sebaliknya, kita akan lihat balik perkara ini. “Kementerian peka sebarang perkara dan kita akan kaji serta pastikan semuanya akan diselaraskan. Ini adalah pandangan yang harus dilihat secara menyeluruh. Sebarang isu berbangkit, boleh dilihat secara menyeluruh,” katanya.

Didik anak rajin solat – Sinar Harian


Didik anak rajin solat
SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
29 November 2013
  • Didik anak rajin solatTerdapat banyaknya cara untuk mengajar anak-anak mengenai ibadah.
< 1 / 2 >

DARIPADA Abu Hurairah ra; Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “sesungguhnya yang mula-mula dihisab pada seorang hamba pada hari kiamat daripada amalannya ialah solat.

Jika solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi.”(Riwayat Tirmizi, Nasaei & Ibnu Majah)

Hadis di atas menjelaskan ibadat solat adalah yang paling penting untuk dilaksanakan setiap Muslim. Maka, menjadi peranan ibu bapa untuk memperjelaskan perkara ini kepada anak-anak kecil mereka.

Penyelaras Unit Perhubungan Korporat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Siti Fatahiyah Mahamood, berkata dengan teknologi canggih hari ini, memudahkan lagi ibu bapa memberi pendedahan dan mengajar anak-anak mengenai solat.

“Kewujudan cakera padat dan multimedia yang semakin banyak di pasaran hari ini, sama ada secara percuma atau berbayar memudahkan ibu bapa memberikan pendedahan dan pembelajaran secara lebih interaktif dan mudah difahami.

Kewujudan al-Quran digital dan maya juga dapat membantu anak-anak memahami dan mengetahui bacaan-bacaan dan doa dalam solat dengan lebih cepat,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, tidak dinafikan ibu bapa sekarang mengambil berat berkaitan pendidikan solat kepada anak-anak, namun ia perlu diseimbangkan dengan pendidikan akademik.

Kecemerlangan akademik yang diperoleh melalui proses diredai ALLAH akan memberikan kehidupan yang baik, penuh rahmat dan berkat.

Mendisiplinkan anak bersolat

Rasulullah SAW bersabda: “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). (Riwayat Abu Daud)

Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah SAW amat menekankan ibadat solat dan menyuruh ibu bapa mengajar anak bersolat seawal umur tujuh tahun.

Sebelum umur tujuh tahun, anak-anak perlu didedahkan dengan kepentingan solat melalui aktiviti atau permainan yang dapat menjinakkan mereka melakukan ibadat solat seperti memperdengarkan nasyid-nasyid berkaitan solat, menayangkan CD multimedia berkaitan solat, memperlihatkan animasi islamik berkaitan solat dan yang penting membiasakan anak-anak melihat ibu bapa sendiri mengerjakan solat secara berjemaah bersama ahli keluarga yang lain.

Siti Fatahiyah berkata, di samping memberi pendedahan kepada anak-anak berkaitan solat, perlu juga diajar tujuan kita bersolat dan mengajar anak-anak berkaitan sifat-sifat ALLAH yang sentiasa melihat hambaNya.

“Apabila anak mula mencapai umur tujuh tahun, maka ibu bapa dikehendaki mula mengajar secara terperinci kaedah solat dan pergerakan yang betul ketika solat termasuk bacaan-bacaan yang penting dalam solat.

“Berikan masa untuk mereka berlatih mengerjakan solat dengan betul. Tetapi apabila anak-anak  berumur 10, maka mereka perlu dirotan jika gagal melaksanakannya,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengajaran ini perlu dilakukan secara disiplin kerana jika gagal mengajar mereka ketika di umur sebegitu, maka kita akan menghadapi kesukaran untuk memastikan mereka mengerjakan amalan solat ketika berumur belasan tahun ataupun puluhan tahun.

Nabi suruh rotan anak

Sebenarnya apa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW iaitu merotan anak jika gagal mengerjakan solat ketika berumur 10 tahun itu adalah sangat tepat.

Kerana jika ibu bapa terlepas mendidik anak-anak ketika usia sebegitu maka ibu bapa akan menghadapi pelbagai kesukaran dan masalah bagi mengajar anak solat pada usia remaja atau belia atau usia emas.

Pada usia sebegini apabila diajar maka ibu bapa pula dimarahi atau ditengking. Namun sebagai ibu bapa tugas mendidik harus dilaksanakan. Jika dirujuk kepada tahap pendidikan Rasulullah SAW, ketika peringkat ini perlu digunakan pendekatan yang begitu rasional.

Kebijaksanaan ibu bapa amat diperlukan dalam menyampaikan pengajaran ini agar menampakkan kesan yang serius dan begitu mendalam pada penaakulan pemikiran anak-anak di peringkat ketiga atau keempat ini melalui analogi dan contoh-contoh yang diberikan.

Contohnya apabila anak-anak yang telah bekerja tiba-tiba berasa marah dan dendam kepada syarikat yang lewat membayar gaji. Sudah pasti mereka berasa dizalimi dan berasa tidak adil apabila kerja telah mereka laksanakan selama sebulan tetapi syarikat tidak memberikan gaji seperti dijanjikan.

Maka pada saat inilah ibu bapa harus menyedarkan anak-anak bahawa bagaimana pula kita yang telah dijadikan ALLAH dengan sempurna kejadian dan sampai masa ALLAH tunggu untuk kita sujud dan tunduk padanya tanda kita bersyukur tapi kita tidak laksanakannya.

Manakala bagi ibu bapa sendiri yang gagal melaksanakan ibadat solat, cuba kita fikirkan apakah perasaan kita jika anak-anak yang telah dewasa hanya akan perlukan ibu bapa ketika mereka sesak ketiadaan duit ataupun ketika mereka dalam kesusahan.

Pasti kita berasa marah dan kecil hati. Tapi apakah mungkin kita sendiri yang hanya akan ingat pada ALLAH ketika kita susah?

Warga pendidik menjiwai kehidupan masyarakat desa – Kosmo


Warga pendidik menjiwai kehidupan masyarakat desa

 

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

 

PARA peserta asyik menikmati makanan tengah hari di salah satu restoran yang diusahakan penduduk.

 

TERLETAK di pinggir tebing Sungai Johor, kira-kira 40 kilometer dari bandar Kota Tinggi, Kampung Johor Lama mempunyai pelbagai tarikan tersendiri.

Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan jika ia menjadi pilihan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi menjayakan program Semaian Kasih Perpaduan yang telah berlangsung pada 18 hingga 21 Oktober lalu.

Seramai 250 siswa siswi IPGM dari IPG Kampus Bahasa Melayu, Kampus Bahasa Antarabangsa, Kampus Perempuan Melayu,Kampus Pendidikan Islam, Kampus Raja Melewar, Kampus Temenggung Ibrahim dan Kampus Tun Hussein Onn berserta warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berkampung di sana untuk beramah mesra dengan para penduduk yang kebanyakannya nelayan.

AKTIVITI air memberi satu pengalaman bermakna buat semua peserta.

 

Program anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu merupakan program ketiga yang diusahakan di bawah konsep sama iaitu menjana Program Sekretariat Rukun Negara.

Inisiatif berkenaan bertujuan menanam sifat cintakan negara dan perpaduan dalam kalangan siswa siswi IPGM.

Kerjasama JPNIN-IPGM telah bermula sejak tiga tahun lalu bermula dengan Program Semarak Rukun Negara diikuti Program Jom Ke Desa (2011) dan Program Semaian Kasih Perpaduan ini.

Kesemua peserta telah diterima sebagai anak angkat oleh 44 penduduk kampung yang mengambil bahagian, sekali gus berpeluang merasai pengalaman hidup di desa.

SEORANG peserta wanita menunjukkan keberanian memegang anak buaya.

 

Kenali dunia luar

Menurut Rektor IPGM, Sulaiman Wak, aktiviti yang disusun dan dijalankan sepanjang program berlangsung berasaskan kepada lima prinsip Rukun Negara.

“Ia membolehkan para peserta yang terdiri daripada guru pelatih pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan sebilangan kecil kaum Iban, Bidayuh serta Kadazan menyerap falsafah Rukun Negara dalam kehidupan mereka.

“Kami sangat berterima kasih kepada JPNIN kerana melalui program ini ia memberi pengalaman berharga kepada siswa, siswi dan para guru untuk mengenali dunia luar. Selain itu, ia juga boleh dianggap sebagai persediaan awal untuk mereka jika ditempatkan di kawasan luar bandar selepas tamat pengajian kelak,” kata Sulaiman.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan pula melahirkan rasa bangga di atas kejayaan program tersebut.

“Kami menaruh kepercayaan yang tinggi kepada IPGM untuk menerapkan elemen integrasi nasional ke dalam program Semaian Kasih Perpaduan ini.

AKTIVITI untuk kanak-kanak seperti pertandingan melukis dan mewarna turut memeriahkan suasana sepanjang program ini berlangsung.

 

“Saya berpendapat semua bakal guru perlu menghayati prinsip Rukun Negara dalam usaha memupuk perpaduan dengan pelbagai kaum dan masyarakat kerana mereka merupakan agen perubahan yang utama,” ujar beliau.

Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, menangkap ikan di laut, aktiviti air dan ceramah mengenai kerjaya guru.

Salah seorang peserta, Muhammad Khairul Ridha Sharifuddin memberitahu, program anak angkat memberi pengalaman dan ruang untuk hidup bersama masyarakat di kampung.

“Saya rasa amat teruja kerana dapat merasai kehidupan nelayan di kampung ini. Bapa angkat saya, Abu Bakar Abd. Aziz yang bekerja sebagai nelayan turut mempunyai sebuah warung makan.

“Sewaktu mengikutnya ke laut untuk menangkap ikan, baru saya sedar kesusahan dan cabaran hidup yang terpaksa mereka lalui. Apabila menikmati hasil tangkapan yang dimasak sendiri oleh keluarga angkat, saya rasa amat bersyukur.

“Pengalaman sebegini amat berharga dan tidak akan saya lupakan sehingga ke akhir hayat,” kata Muhammad Khairul Ridha yang merupakan Naib Yang Dipertua Pelajar 1, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, IPG Kampus Ilmu Khas.

Bekas Suami Nafi Dakwaan Rogol Nor Fazira – Kosmo


Bekas Suami Nafi Dakwaan Rogol Nor Fazira

 

Mohd Fahmi ketika ditemubual oleh The Star di rumahnya di Kampung Nagalilit.

 

KULIM: Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20, menafikan dakwaan bahawa dia telah merogol Nor Fazira Saad dan mengahwininya untuk mengelakkan diri daripada didakwa.

“Kami hanya mengadakan hubungan seks selepas berkahwin,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Nagalilit dekat sini.

Dia mendakwa isterinya menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki dari Kuala Ketil, tiga atau empat bulan sebelum dia menyedarinya.

“Rakan-rakan saya yang ada di sana melihat dia (Nor Fazira Saad) begitu mesra dengan seorang lelaki. Dia mengenali lelaki itu ketika bekerja di pekan Padang Serai (dalam daerah Kulim).

“Kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, saya membuat keputusan untuk menceraikannya,” kata Mohd Fahmi.

Mohd Fahmi menceraikan Nor Fazira dengan talak satu.

Dia berkata, mereka merupakan pasangan bahagia sebelum lelaki itu mengganggu rumah tangga mereka.

“Dia amat biadap terhadap ibu bapa saya dan tidak pernah memasak.

“Dia akan lari dari rumah setiap kali dia tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara,” kata Mohd Fahmi.

Ibu Mohd Fahmi yang enggan namanya didedah berkata, turut menyangkal dakwaan Nor Fazira tidak diberi makan.

“Kami menjaganya dengan baik dan menerimanya walaupun dia berperangai jahat,” katanya.

Mohd Fahmi yang bekerja di ladang kelapa sawit menerima gaji RM1,000 sebulan.

Dia berhenti sekolah ketika berumur 16 tahun untuk bekerja.

Dia mendakwa bertemu Nor Fazira dua bulan sebelum perkahwinan mereka, November tahun lalu.

“Pada mulanya hubungan kami tidak ubah seperti hubungan adik beradik tetapi perasaan cinta mula wujud selepas itu,” kata Mohd Fahmi.

‘Saya Tiada Pilihan’ – Bapa Nor Fazira – mStar


‘Saya Tiada Pilihan’ – Bapa Nor Fazira

Oleh ROYCE TAN, K.SUTHAKAR, EMBUN MAJID dan CHRISTOPHER TAN

 

Bukti: Saad menunjukkan laporan polis yang dibuat oleh anak perempuannya di rumah mereka di Kampung Padang Cina, Kulim, Kedah.

 

KULIM: Mereka masing-masing berusia 13 dan 19 tahun ketika disatukan seperti pasangan yang lain pada November tahun lalu.

Namun apa yang mereka impikan terhenti di tengah jalan.

Mereka kini telah bercerai ekoran dakwaan bahawa remaja lelaki itu bersama dua rakannya telah merogol remaja perempuan terbabit, empat bulan sebelum tarikh perkahwinan mereka.

Nor Fazira Saad membuat laporan polis di balai polis Kulim pada 15 Julai tahun lalu, mendakwa dia dirogol oleh dua remaja diikuti rakan mereka iaitu bakal suaminya, Mohd Fahmi Mohamed Alias.

Bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 44, pada Khamis berkata ibu bapa Fahmi sentiasa datang ke rumahnya merayu supaya menarik balik laporan polis tersebut dengan mengatakan hukuman 20 tahun dengan sebatan amat keterlaluan terhadap anak mereka.

“Mereka merayu kepada saya selama lima malam berturut-turut sehingga saya membuat keputusan untuk menarik balik laporan polis tersebut enam hari kemudian … sebagai seorang bapa, saya memahami perasaan mereka yang prihatin terhadap anak mereka itu,” kata Saad.

Saad juga berkata, dia hanya bersetuju anak perempuannya itu berkahwin dengan Mohd Fahmi kerana dia telah dirogol.

“Apabila saya menarik balik laporan itu, anggota polis bertugas bertanya kepada saya sama ada saya telah dibayar untuk berbuat demikian.

“Saya bukan orang seperti itu. Ia seperti melacurkan anak perempuan saya sendiri,” katanya.

Saad berkata, kedua-dua keluarga bersetuju mengatur perkahwinan selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Syariah Kulim pada 7 November memandangkan anak perempuan saya masih dibawah umur.

Perkahwinan mereka diadakan di masjid Kampung Padang Cina, dekat rumah keluarga pengantin perempuan, 10 hari kemudian.

Saad berkata keluarga Mohd Fahmi berjanji untuk membenarkan anak perempuannya meneruskan persekolahannya, tetapi sebaliknya berlaku.

“Anak perempuan saya memberitahu niatnya untuk bercerai sekitar bulan Oktober lalu selepas dia tidak lagi tahan dengan sikap mertuanya itu,” katanya.

Saad mendakwa Nor Fazira sering ditampar dan dipukul malah tidak diberi makan, menyebabkan dia terpaksa berulang-alik dari Kulim ke Padang Serai, kira-kira 20km, setiap hari untuk menghantar makanan kepadanya.

Menurutnya, Nor Fazira kini tinggal bersama saudara mereka di Kuala Lumpur.

Di bawah undang-undang Syariah Malaysia, remaja perempuan di bawah umur 16 tahun dan remaja lelaki di bawah umur 18 tahun perlu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Syariah untuk berkahwin.

Pada 22 November tahun lalu, Saad dipetik dalam akhbar The Star sebagai berkata, dia bersetuju untuk mengahwinkan pasangan remaja itu kerana tidak mahu mereka melakukan perkara tidak elok.

Anak perempuannya berhenti sekolah selepas tamat peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Mohd Fahmi kemudiannya membantu bapanya menguruskan perniagaan pengangkutan minyak sawit milik keluarga itu.

Saad berkata, dia berfikir panjang mengenai perkahwinan anak perempuannya dan tanggungjawab yang perlu dipikul selepas dia (Nor Fazira) berkahwin.

“Adalah lebih baik mereka berkahwin daripada melakukan perkara yang tak elok,” katanya.

Sementara itu, jurucakap ibu pejabat balai polis Kulim berkata, sesiapa saja boleh menarik balik laporan mereka.

Namun, ia mesti mendapat kelulusan daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau enggan mengulas mengenai kes Nor Fazira.

‘Tahlil atuk kini untuk mak’ – Metro


‘Tahlil atuk kini untuk mak’

Oleh Syazwan Msar

Pekan: “Ibu mahu mengadakan kenduri arwah atuk hari ini (semalam). Tidak sangka hajatnya bertukar menjadi majlis kenduri arwah untuk dia dan dua adik,” kata Mohd Zulhilmi Razali, anak Rosmah Othman yang maut dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Pekan-Rompin, di sini, petang kelmarin.

Kemalangan yang berlaku jam 5.30 petang itu mengorbankan dua adik Mohd Zulhimi iaitu Mohd Haikal Syukri, 19, Norzafirah, 12, manakala seorang lagi, Nurul Najila, 7, cedera parah.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mereka maut selepas Perodua Kancil dipandu Rosmah, 47, bertembung dengan lori milik Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mohd Zulhilmi, 20, berkata, kali terakhir dia bertemu ibunya, ketika menukar kereta di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, jam 1 petang kelmarin.

FotoKEADAAN kereta yang dinaiki empat sekeluarga.

“Kami berjumpa setengah jam kerana ibu mahu segera pulang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/29

URUSAN TEMU DUGA KE JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG41 BAGI GRADUAN PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN (PISMP), B. Ed. TESL, B. Ed. TESOL, B. Ed. PENGAJIAN BAHASA PERANCIS, B. Ed. PENGAJIAN BAHASA JERMAN, PROGRAM PELAJAR CEMERLANG (BAHASA CINA- BEIJING) DAN KPLI-PPC – SPP


URUSAN TEMU DUGA KE JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG41 BAGI GRADUAN PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN (PISMP), B. Ed. TESL, B. Ed. TESOL, B. Ed. PENGAJIAN BAHASA PERANCIS, B. Ed. PENGAJIAN BAHASA JERMAN, PROGRAM PELAJAR CEMERLANG (BAHASA CINA- BEIJING) DAN KPLI-PPC 

 

Temu duga ke jawatan PPPS Gred DG41 bagi graduan yang tamat pengajian pada tahun 2013 dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) seperti yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai 2 Disember 2013 hingga 20 Disember 2013 di seluruh Malaysia. Calon boleh menyemak jadual temu duga seperti berikut:

– 02 Disember 2013 – 06 Disember 2013     [02/12/2013] [03/12/2013] [04/12/2013] [05/12/2013] [06/12/2013]

– 09 Disember 2013 – 13 Disember 2013

– 17 Disember 2013 – 20 Disember 2013 

Graduan juga diingatkan untuk membawa dokumen berkaitan seperti dalam senarai semak untuk graduan IPGM.

 

 Muat naik pada 28 November 2013

PELANTIKAN PENGERUSI SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN – SPP


PELANTIKAN PENGERUSI SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN  

Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Datuk Dr. Haili bin Dolhan telah dilantik sebagai Pengerusi, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia yang baharu mulai  26 November 2013 menggantikan YBhg.  Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Haji Awang yang telah tamat kontrak perkhidmatan pada 31 Oktober 2013. Selanjutnya…

 

 Muat naik pada 28 November 2013