PPSMI Tidak Relevan Dikembalik​an Dalam Sistem Pendidikan Negara – mStar


PPSMI Tidak Relevan Dikembalik​an Dalam Sistem Pendidikan Negara

Oleh SUSAN ALBERT KASSIM

 

Dr Awang Sariyan

 

KUALA LUMPUR: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilihat sebagai tidak relevan untuk kembali dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sarian berkata, pelaksanaan PPSMI menunjukkan berlaku kemerosotan peratusan pelajar lulus bagi kedua-dua matapelajaran tersebut.

“PPSMI dilihat tiada hala tuju dan kajian yang dilakukan Kementerian Pendidikan mendapati ia memang tidak praktikal dalam konteks demokrasi dalam sistem pendidikan.

“Kita mungkin boleh melahirkan ribuan orang yang hebat dalam Bahasa Inggeris (BI) tetapi jangan kita lupakan 24 juta penduduk di negara ini yang mahir dalam penguasaan bahasa kebangsaan,” katanya pada sidang media di sini Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa yang merayu agar PPSMI dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, kajian Unesco menunjukkan pelajar lebih mudah memahami sesuatu ilmu dengan berkesan dalam bahasa ibunda (Bahasa Melayu) kerana ilmu dan bahasa berkait rapat.

“Kita perlu lihat Perancis, Jepun, Korea dan China. Ini berdasarkan pengalaman saya selama empat tahun di Beijing. Mereka tetap menggunakan bahasa kebangsaan, jadi itu tidak pernah melemahkan matapelajaran Sains dan Matematik mereka, ” katanya.

Beliau berkata, BI sebaliknya perlu dikuasai sebagai alat untuk nilai tambah bagi memperkaya ilmu tetapi martabat BM itu tiada galang gantinya.

“Ini berlaku di seluruh dunia. Kalau kita sanggup mengorbankan 3 juta lebih pelajar di negara ini, bererti kita sanggup menidakkan hak pelajar terutamanya di kawasan luar bandar untuk mempelajari Sains dan Matematik dengan lebih berkesan.

“Apa yang penting bagi saya adalah keputusan dibuat kerajaan berdasarkan kajian yang saintifik dan menyeluruh. Oleh itu, kerajaan meminda PPSMI dan memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI),” katanya.

Ringan beban guru – Metro


Ringan beban guru

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan sedang merangka dan melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu mengurangkan beban tugas dihadapi guru dalam kerja bukan pengajaran seperti perkeranian.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata kementerian itu menyedari beban kerja bukan pengajaran termasuk perkeranian boleh menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran guru.
“Antara langkah yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan oleh kementerian antaranya menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru pada Mac 2010 dan sehingga kini, sudah dan sedang melaksanakan kesemua 28 perakuan bagi menangani isu beban tugas guru.

 

“Selain itu, kementerian turut melaksanakan pengintegrasian data untuk mengelakkan pertindihan pengisian data di peringkat sekolah dengan menggunakan satu sistem saja iaitu Sistem Pengurusan Sekolah (SPS),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen semalam. Beliau menjawab soalan lisan Datuk Wira Mohd Johari Baharom (BN-Kubang Pasu) yang mahu Kementerian Pendidikan memberitahu langkah yang diambil dalam mengurangkan bebanan guru dalam kerja perkeranian.
Kamalanathan berkata, kerajaan turut menjalankan kajian pemantapan profesion guru (PPG) membabitkan penempatan dan pelaksanaan rintis seramai 313 orang Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N17 di setiap sekolah di Melaka mulai 1 Januari 2013 hingga 31 Disember 2013.
Katanya, kementerian turut menggerakkan seramai 100 Juruteknik Komputer Gred FT17 ke seluruh sekolah di Melaka untuk membantu Guru Penyelaras Bestari bagi tujuan melaksanakan tugasan yang tidak membabitkan pembelajaran dan pengajaran. “Selain itu kementerian melaksanakan penempatan tambahan seorang Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N17 di sekolah di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi mengurangkan beban tugas guru di Kedah dan Sabah secara kontrak Pekerja Sambilan Harian (PSH) mulai 17 Jun 2013 hingga 31 Disember 2013 dengan lantikan seramai 634 orang di Kedah dan 814 orang di Sabah,” katanya.

 

Pada masa sama katanya, pendekatan serampang dua mata juga diaplikasikan oleh kerajaan iaitu melalui strategi lautan biru kebangsaan (NBOS) yang mana kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Awam memperluas skop kajian bertujuan mengurangkan beban guru membabitkan empat lapangan kajian iaitu beban tugas guru, ketidaksepadanan opsyen guru, saiz kelas yang ideal, dan pertindihan pangkalan data.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/13

Calon SPM perlu manfaat cuti bina kemahiran: Raja Muda Perlis – Bernama


Calon SPM perlu manfaat cuti bina kemahiran: Raja Muda Perlis

2013/11/13 – 11:09:30 AMCetakEmel Kawan
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memanfaatkan cuti panjang selepas peperiksaan untuk membina kemahiran diri.

Baginda bertitah, antara yang boleh dilakukan termasuk menyertai kursus jangka pendek seperti kursus bahasa asing, kulinari, fotografi, mekanik, komputer dan jahitan yang boleh membantu pelajar memilih bidang kerjaya kelak.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian selepas program berbasikal MAIPs Peduli, di Masjid Al Mustaqim, Kota Kayang, dekat sini, malam tadi.

“Pelajar juga perlu sentiasa mengambil peluang mengikuti program promosi pengajian lanjutan anjuran pelbagai institusi pengajian tinggi serta pameran-pameran yang relevan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin juga berharap pelajar dapat menyertai badan sukarela dan kemasyarakatan dengan menyumbang tenaga dan idea dalam kegiatan yang dianjurkan selain sentiasa meluangkan masa bersama ibu bapa dan penjaga.

Pada masa sama, baginda turut menasihati pelajar supaya tidak terlibat dalam kegiatan sosial atau subversif yang memudaratkan diri.

Sebelum itu, baginda bersama anggota Kelab Berbasikal Regimen 504 Askar Wataniah berbasikal sejauh 14 kilometer bermula di Masjid Nurul Iman, Kurong Batang dan berakhir di Masjid Al Mustaqim.
Sepanjang kayuhan yang melalui beberapa kampung tradisional itu, baginda turut singgah di rumah penduduk penempatan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tok Kuning.

Pada majlis itu, baginda menghulurkan sumbangan zakat MAIPs kepada ibu tunggal, Sepiah Ismail, 72, nelayan sungai, Mat Din Jusoh, 72 serta buruh, Abu Hassan Ramle, 31 dengan masing-masing menerima RM400.

Turut mengiringi baginda dalam program berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malek Husin dan Pengurus Baitulmal Perlis Mohd Nazim Mohd Noor. – BERNAMA