10 pelajar bertuah temu bual PM – Berita Harian


10 pelajar bertuah temu bual PM
Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2011/09/20

Suasana mesra, santai Najib perjelas soalan hilangkan rasa gementar

PEKAN: Peluang menemuramah Perdana Menteri dalam suasana yang mesra dan santai mungkin menjadi pengalaman tidak mungkin dapat dilupakan 10 pelajar yang terpilih dalam temuramah khas di kediaman pemimpin nombor satu negara itu di sini, kelmarin.

Ini jelas terbukti apabila pelajar terbabit yang berumur antara 13 dan 16 tahun bergilir-gilir mengajukan pelbagai soalan kepada Datuk Seri Najib Razak, termasuk konsep 1Malaysia dan yang bersifat peribadi.

Seperti biasa, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menjawab setiap soalan yang diajukan dalam suasana mesra.

Malah, beliau turut memberi panduan kepada mereka bagaimana untuk mengatasi rasa gementar ketika berada di atas pentas dan cara berkomunikasi yang berkesan ketika menyampaikan ucapan.

Menjawab soalan seorang pelajar, Mohammed Nor Syahmi Saadan, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad, Najib berkata mereka harus melatih diri untuk mengelakkan rasa gemuruh.

“Jika anda tahu bagaimana cara berkomunikasi dengan hadirin, anda akan lebih bersemangat, seterusnya dapat menghilangkan rasa gementar,” katanya.
Syahmi, anak ketiga daripada lima beradik mengakui agak gementar untuk bertanyakan soalan, tetapi perasaan itu lenyap apabila berdepan Perdana Menteri yang mesra.

Anis Marjan Azmi Murah, 16, dari SMK Tengku Abdullah, berkata dia yakin dapat menerangkan konsep 1Malaysia kepada rakannya di sekolah selepas dijelaskan sendiri Najib.

“Konsep 1Malaysia adalah berkaitan perpaduan dan kerajaan akan melindungi kepentingan setiap rakyat negara ini seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya.

Dia yang bercita-cita menjadi ahli geologi marin berkata, ramai kalangan rakannya di sekolah kurang memahami konsep 1Malaysia.

Bagi Muhammad Abdullah al-Azam Abdul Rahman, 16, menyifatkan peluang bertemu dan bersemuka dengan Perdana Menteri sebagai impian yang menjadi kenyataan.

Katanya, selepas terpilih untuk menyertai program itu, dia menyediakan soalan dengan bantuan ibu bapa dan guru.

Pelajar terbabit dipilih daripada kalangan peserta bengkel kreatif dianjurkan New Straits Times melalui akhbar sisipannya, Niexter yang diterbitkan setiap Khamis.

Bengkel itu juga adalah sebahagian Program Penggalakan Bahasa Inggeris bagi Parlimen Pekan membabitkan 80 sekolah rendah dan menengah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s