Dua kali dilanggar kenderaan – Sinar Harian


Dua kali dilanggar kenderaan

FARAH SHAZWANI ALI
3 April 2012
Dua kali dilanggar kenderaan

KUALA TERENGGANU- Dua kali dilanggar oleh kenderaan hingga menyebabkan tulang paha kiri patah, paru-paru koyak, patah empat bahagian di muka dan kecederaan usus namun nyata ajal Mohd Rahimi Othman, 17, belum tiba.

Walaupun kini kehidupannya berubah, anak kepada Koperal Othman Ali, 51, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman masih terus bersemangat meneruskan kehidupan dengan sokongan dan kasih sayang ahli keluarganya.

Menurut abangnya, Che Mohd Khairi Anuar, 27, kemalangan itu berlaku pada 20 Februari lalu di Jalan Bukit Mentok, Kemaman, sewaktu adiknya itu dalam perjalanan menuju ke kelas fotografi.

“Adik berada di wad unit rawatan rapi (ICU) selama sebulan lebih dan kami sekeluarga bersyukur kerana dia kuat semangat. Memang sedih melihat keadaannya kini tetapi kami berharap dia diberi kekuatan untuk pulih dengan cepat dan kembali meneruskan hidup seperti biasa.

“Sekarangpun dia sudah mula memberikan reaksi positif. Buat masa sekarang, dia menggunakan papan putih untuk berkomunikasi memandangkan masih sukar untuk bertutur dengan baik,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Hamzah Md Jamil meluangkan masa beramah mesra dan menyampaikan buah tangan sempena lawatannya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu di sini.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Luqman Abdul Rahman dan pegawai kanan polis negeri dan daerah.

Hamzah ketika ditemui berkata, lawatan itu merupakan salah satu program tahunan yang dibuat sempena sambutan Hari Polis Ke-205.

“Ia sebenarnya sebagai manifestasi rasa simpati polis kepada masyarakat. Pada hari ini (semalam) misalnya, pihak kami melawat wad kanak-kanak dan berjumpa dengan orang awam serta lima keluarga polis yang sedang dirawat di hospital ini.

“Saya harap program sebegini akan merapatkan hubungan polis dengan masyarakat. Ia amat penting untuk orang awam mengetahui kita mengambil berat dan ambil tahu hal masyarakat dan ingin melihat mereka hidup sempurna, sihat dan damai,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s