Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS – Sinar Harian


Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mac 2013
Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS
Tiong Lai meninjau pelan pembangunan Bandar KotaSAS termasuk tapak SRJK (C) Panching yang diserahkan kepada pemegang amanah sekolah itu, semalam.

KUANTAN – Lima buah sekolah dirancang akan dibina dalam kawasan Bandar Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS), Indera Mahkota,  di sini, bagi menampung populasi penduduk yang dijangka mencecah 45,000 orang pada masa akan datang.

Berdasarkan perancangan itu, tapak seluas 21.6 hektar diperuntukkan bagi tujuan tersebut membabitkan dua sekolah menengah dan tiga sekolah rendah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di bawah kelulusan dan peruntukan Kementerian Pelajaran (KPM).

Bagi merealisasikan cadangan itu, tapak seluas 3.2 hektar diserahkan untuk  pembinaan sebuah SJKC baru di KotaSAS bagi menggantikan SRJK (C)  Panching yang  kini mengalami masalah kekurangan pelajar saban tahun.

Penyerahan disempurnakan dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Pemegang Amanah SRJK (C) Panching diwakili Datuk Ti Lian Ker dan KotaSAS Sdn Bhd  melalui Pengarah Eksekutifnya, Tengku Datuk Zubir Tengku Datuk Ubaidillah disaksikan Pengerusi MCA Pahang, Datuk Seri Liow Tiong Lai, semalam.

Tiong Lai berkata, penyerahan tapak sekolah itu penting bukan sahaja kepada masyarakat Cina, tetapi turut membuka peluang kepada semua penduduk Bandar KotaSAS dan kawasan sekitar menghantar anak-anak mereka menerima pendidikan di situ, kelak.

“Paling penting, dengan adanya sekolah baru yang lebih selesa, operasi SRJK (C)  Panching yang kini menghadapi masalah kekurangan pelajar dapat dipindahkan ke sini.

“Barisan pemegang amanah akan berusaha mendapatkan kelulusan dan peruntukan daripada KPM bagi pembinaan sekolah baru itu, selain kelulusan pemindahan SRJK (C) Panching ke Bandar KotaSAS ini,” katanya pada sidang media, semalam.

Tiong Lai berkata, pihaknya menjangkakan peruntukan itu akan diluluskan KPM melalui peruntukan pelan pusingan keempat di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), tahun depan.

“Kita minta kelulusan bagi tujuan ini dipercepatkan dan  proses pembinaannya dijangka bermula tahun depan secara berperingkat mengikut keperluan semasa bergantung kepada populasi penduduk KotaSAS dan kawasan sekitar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai juga akan mempertimbangkan kelulusan pembinaan  sebuah klinik dalam kawasan Bandar KotaSAS bagi kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk pada masa akan datang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s