KP Pelajaran perjelas jumlah mata pelajaran SPM – Bernama


KP Pelajaran perjelas jumlah mata pelajaran SPM

14 Mac 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran hari ini menjelaskan pelaksanaan dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditetapkan sejak 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata di samping itu, calon diberi kelonggaran mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan yang menjadikan jumlah keseluruhan subjek yang boleh diambil 12.

“Dua mata pelajaran tambahan itu mestilah dipilih daripada mana-mana mata pelajaran yang telah disenaraikan dalam peperiksaan SPM, kecuali mata pelajaran teras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Calon hendaklah mengambil enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.

Menurut kenyataan itu, calon boleh membuat pilihan untuk mengambil mana-mana mata pelajaran elektif yang ditawarkan sehingga maksimum 10 mata pelajaran.

“Dan kelonggaran diberi kepada calon untuk menambah dua mata pelajaran elektif, antaranya Kesusasteraan Cina, Kesusasteraan Tamil dan Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Tasawwur Islam dan Pendidikan Seni Visual,” kata Abdul Ghafar.

Beliau mengulas laporan sebuah media tempatan bertajuk ‘SPM 10-Subject Limit Stays’ yang disiarkan 10 Mac lalu. – Bernama

Kes cabul pelajar dibicara semula – Sinar Harian


Kes cabul pelajar dibicara semula

GOKINA MORGANAN
14 Mac 2013
Kes cabul pelajar dibicara semula
Jagdeep bersama Ismail di luar mahkamah semalam.

GEORGETOWN – Seorang ustaz diperintah dibicarakan semula di Mahkamah Jawi, Seberang Perai Selatan atas tuduhan mencabul kehormatan pelajar tingkatan tiga dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani Abdul Rahim memerintahkan Ismail Shafiee, 45, dibicara semula di hadapan majistret lain.

Zamani berkata keputusan majistret yang dibuat tanpa mempertimbangkan hujahan pembelaan di akhir pendakwaan adalah satu tindakan tidak adil dan melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan artikel berkenaan, setiap tertuduh mempunyai hak untuk dibicarakan secara adil di mana seseorang majistret perlu mendengar atau mempertimbangkan hujahan pihak pembelaan di akhir pendakwaan dan pembelaan.

“Dalam semakan kehakiman ini, saya memutuskan bahawa kes Ismail dibicarakan semula di hadapan majistret lain di mahkamah sama,” katanya.

Pada 28 Disember lalu, Ismail diperintah membela diri atas dakwaan mencabul kehormatan seorang pelajar berusia 15 tahun di sebuah rumah di Sungai Bakap, kira-kira jam 9 pagi, 9 Januari, 2011.

Mohamed Aznin membuat keputusan itu tanpa mengambil kira hujahan yang dikemukakan pihak pembelaan di akhir penghujahan kes.

Difahamkan, pihak pembelaan menghantar hujahan lewat dari tarikh yang ditetapkan oleh majistret berkenaan. Ia diserahkan dan diterima dua minggu sebelum majistret membuat keputusan.

Ketua Unit Pendakwaan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Suhaimi Ibrahim mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada lima anak itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit manakala Ismail diwakili Jagdeep Singh Deo.

Tempoh bina sekolah dipersoal – SInar Harian


Tempoh bina sekolah dipersoal

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mac 2013
Tempoh bina sekolah dipersoal
Antara penduduk Serendah yang hadir menyuarakan tuntutan mengenai SJKT Serendah.

SERENDAH – “Berapa lama kita harus minta (sekolah)? Adakah selepas kerajaan bertukar baru sekolah ini akan dibina?” kata Pengerusi Save Tamil School Team (Save), M Jeeva mengenai pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Minyak, Serendah.

Menurutnya, walaupun janji mengenai pembinaan sekolah itu sudah lama dibuat, namun dia kesal kerana mendakwa pembinaannya lewat dilaksanakan.

Beliau bimbang sekiranya pembinaan itu tidak dimulakan dalam masa terdekat, penduduk Serendah sekali lagi terpaksa menghantar anak mereka bersekolah di tempat yang jauh.

“Jika mengikut janji Timbalan Perdana Menteri pada majlis pecah tanah tahun lalu, SJKT ini perlu siap segera supaya sesi persekolahan boleh dimulakan pada 2014.

“Tapi, sampai sekarang masih belum ada pembinaan, adakah sekolah ini boleh siap dan mula belajar pada masa itu,” katanya yang bimbang berlaku kelewatan.

Jeeva berkata, penduduk tidak peduli mengenai siapa kontraktor yang terlibat, tetapi hanya mahu melihat bangunan sekolah dibina dan beroperasi seperti dijanjikan.

Katanya, sehingga kini penduduk tidak pernah dimaklumkan mengenai perkembangan sekolah berkenaan menyebabkan mereka terus tertanya-tanya.

“Berapa lama kita harus minta dan tanya perkara yang sama?

“Sejak zaman Datuk G Palanivel (sebagai Ahli Parlimen) lagi kita minta sekolah ini sehinggalah perdana menteri dan timbalannya turun mengumumkan perkara ini, tapi sampai sekarang masih belum dibina,” katanya.

Semalam, Jeeva mengulas tindakannya bersama beberapa penduduk Serendah yang mengadakan perhimpunan aman di depan kuil, di sini, baru-baru ini bagi menuntut penjelasan mengenai isu SJKT tersebut.

Beliau mengharapkan supaya ada penyelesaian segera berhubung isu itu bagi meredakan kebimbangan penduduk kaum India Serendah.

CUEPACS mahu tiga insentif dikaji semula – Berita Harian


CUEPACS mahu tiga insentif dikaji semula

2013/03/14 – 05:46:58 AMCetakEmel Kawan
Kuching: CUEPACS mahu tiga insentif penjawat awam di seluruh negara yang merangkumi bayaran insentif wilayah bagi Sarawak dan Sabah serta bayaran insentif daerah dinaikkan antara 10 hingga 15 peratus.

CUEPACS juga mahu imbuhan tetap perumahan dikaji semula kerana kadar sedia ada tidak mencerminkan kos sara hidup semasa.

Kenaikan membabitkan dua bayaran insentif itu perlu mengambil kira gred gaji penjawat awam, yang mana gred gaji rendah menerima peratus kenaikan 15 peratus, manakala gred gaji tinggi menerima tambahan 10 peratus.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata tuntutan itu dibuat kerana bayaran insentif dan elaun diberikan mesti selaras dengan tahap ekonomi dinikmati negara ini.

Bela penjawat awam bergaji rendah

CUEPACS mahu semua elaun dikaji semula, terutama membabitkan imbuhan tetap perumahan. Bagaimanapun, tiada peratus kenaikan ditetapkan kerana kita mahu imbuhan itu dibayar kerajaan berdasarkan keadaan ekonomi ketika ini.

CUEPACS mahu adalah penjawat awam bergaji rendah diberi pembelaan sewajarnya kerana merekagolongan itu banyak menerima kesan jika berlaku kenaikan kos barang, katanya.

Murid tiga sekolah di zon merah dibenar hadir mana-mana sekolah – Bernama


Murid tiga sekolah di zon merah dibenar hadir mana-mana sekolah

2013/03/14 – 14:38:09 PMCetakEmel Kawan
LAHAD DATU: Pelajar dari tiga sekolah di FELDA Sahabat yang masih ditutup untuk Operasi Daulat dibenar menghadirkan diri di mana-mana sekolah untuk meneruskan pelajaran, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.

Katanya, beliau sudah dimaklumkan Pengarah Pelajaran Sabah, Jame Alip bahawa arahan sudah dikeluarkan semalam kepada semua sekolah lain supaya menerima murid-murid yang terjejas, berkuatkuasa serta-merta.

“Dalam hal ini, Pengarah Pelajaran Negeri mempunyai kuasa untuk memberi arahan seperti ini.

“Ini bagi memastikan pelajaran dan pengajaran tidak terjejas berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di kawasan merah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Siew Ching di sini, hari ini.

Tiga sekolah yang berada dalam zon merah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian yang mempunyai 18 guru dan 265 murid, SK Lok Buani (13 guru, 127 murid) dan SK Fajar Harapan (40 guru, 605 murid).

Beliau berkata, penerimaan murid-murid di mana-mana sekolah untuk sementara waktu sepatutnya tidak menjadi masalah memandangkan masing-masing mempunyai sukatan pelajaran yang sama.

Mengenai murid-murid di pusat pemindahan sementara pula, Wee berkata Jabatan Pelajaran Negeri menerusi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan mewujudkan kelas sementara bagi memastikan murid-murid terbabit tidak terus ketinggalan dalam pelajaran jika Operasi Daulat berlarutan.
Beliau juga berkata, Jabatan Pelajaran Negeri akan mendapatkan khidmat pakar psikiatri bagi memberi kaunseling kepada guru-guru yang trauma atau tertekan dengan insiden pencerobohan itu sehingga tidak hadir ke sekolah.

“Kita mendapat tahu ada guru yang balik ke Sarawak atau ke Semenanjung kerana insiden ini dan kita telah minta kepada sekolah masing-masing untuk mengesan guru-guru terbabit untuk diberi kaunseling jika menghadapi trauma berikutan insiden itu,” katanya.

Dalam pada itu, Wee berkata kehadiran murid di 50 sekolah di Lahad Datu, tidak termasuk tiga sekolah yang masih tutup, beransur pulih dengan purata kehadiran sebanyak 80 peratus sejak Isnin lalu.

Beliau juga berkata, ibu bapa dan penjaga tidak perlu bimbang mengenai keselamatan anak-anak mereka di sekolah kerana anggota keselamatan sentiasa memantau keselamatan di kawasan awam, termasuk di kawasan sekolah.

– BERNAMA

1,888 ibu bapa fail saman tuntut bantuan prasekolah lebih RM1j – Bernama


1,888 ibu bapa fail saman tuntut bantuan prasekolah lebih RM1j

 

SHAH ALAM 14 Mac – Seramai 1,888 ibu bapa hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor menuntut tunggakan RM1.038 juta kerana gagal memberikan bantuan pendidikan prasekolah kepada anak-anak mereka seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Saman difailkan Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi pihak ibu bapa di Selangor yang diketuai seorang suri rumah, Sarina Hashim, 35.

Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.

Kesemua ibu bapa itu berasal dari tujuh kawasan Parlimen sekitar Selangor iaitu Gombak, Ampang, Pandan, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Kuala Selangor dan Tanjong Karang.

Peguam yang mewakili plaintif, Kamarudin Ahmad selepas memfailkan tuntutan itu berkata manifesto itu menjanjikan untuk memberikan RM50 sebulan kepada kanak-kanak prasekolah di Selangor, namun ia gagal dilaksanakan sehingga ke hari ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130314/ma_03/1888-ibu-bapa-fail-saman-tuntut-bantuan-prasekolah-lebih-RM1j#ixzz2NUoX0fwZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

KENYATAAN AKHBAR: KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA (STPM) 2012


KENYATAAN AKHBAR: KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA (STPM) 2012

14 March 2013

 

Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM) 2012

 

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 akan dikeluarkan pada 18 Mac 2013.  Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan peperiksaan mereka di sekolah masing-masing pada tarikh tersebut mulai jam 12:00 tengah hari, manakala  calon persendirian individu akan memperolehnya melalui pos.  Di samping itu, calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui Sistem Mesej Singkat (SMS) dengan menaip STPM RESULT<jarak><No. Kad Pengenalan> dan menghantarkannya ke 15888 serta secara dalam talian dengan melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia http://www.mpm.edu.my mulai jam 12:00 tengah hari pada tarikh berkenaan.

Persidangan Akhbar bagi mengumumkan analisis keputusan peperiksaan STPM 2012 akan diadakan pada 18 Mac 2013, jam 12:00 tengah hari, di Dewan Besar, Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Pada peperiksaan STPM tahun 2012, seramai 51,673 orang calon telah hadir menduduki peperiksaan ini di 760 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 47,708 (92.33%) orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,112 (2.15%) orang calon sekolah swasta, 2,795 (5.41%) orang calon persendirian individu, dan 58 (0.11%) calon sekolah kerajaan negeri.

Sementara keputusan peperiksaan Penggal 1 STPM 2013 akan dikeluarkan pada 21 Mac 2013.  Calon boleh menyemak keputusan mereka secara dalam talian di portal MPM dan melalui Sistem Mesej Singkat (SMS).
HAJI KHAWARI BIN HAJI IDRIS
Pegawai Perhubungan Awam
Majlis Peperiksaan Malaysia

13 Mac 2013