Sumbang mahram: Abang dipenjara 15 tahun, 3 sebatan – Bernama


Sumbang mahram: Abang dipenjara 15 tahun, 3 sebatan

28 Mac 2013

PETALING JAYA – Seorang abang dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan sumbang mahram terhadap adik kandung perempuannya yang berusia 15 tahun ketika itu, tujuh tahun lepas.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki yang berusia 24 tahun itu, setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan sumbang mahram dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 19 Mac lepas.

Lelaki tersebut yang bekerja di sebuah pasar raya, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di sini, antara Oktober 2006 hingga November tahun sama, dan didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, pada waktu kejadian, mangsa telah dirogol oleh tertuduh dan hasil hubungan sumbang mahram tersebut, adiknya telah mengandung dan melahirkan seorang bayi lelaki.

Hasil pemeriksaan oleh Jabatan Kimia mendapati tertuduh adalah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia menanggung keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh sebagai abang sepatutnya bertanggungjawab melindungi dan menjaga darah dagingnya sendiri tetapi telah mengambil kesempatan.

Zhafran berkata ini bukan kesalahan pertama tertuduh kerana sebelum ini pernah melakukan kesalahan sama pada mangsa sehingga melahirkan anak tetapi telah meninggal dunia dan ini menunjukkan tertuduh tidak insaf. – Bernama

Isteri hamil nyaris dipijak – Sinar Harian


Isteri hamil nyaris dipijak

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Mac 2013
Jane
Jane

ALOR GAJAH – Gara-gara bermalam di rumah ibunya sendiri, seorang isteri yang hamil enam bulan nyaris dipijak suaminya yang berang sebelum diugut bunuh dengan keris perhiasan dalam kejadian 6.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Jane, 33, mendakwa sudah mendapatkan keizinan suaminya yang berusia 30 tahun itu sebelum pulang ke rumah ibunya selama tiga hari.

Jane berkata, sebaik pulang ke rumah yang disewa di sekitar daerah ini, secara tiba-tiba suami memarahinya.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati dengan tindakan suaminya bertindak melawan untuk mempertahankan diri sebelum tiga anak mereka berusia antara 6 hingga 11 tahun turut dimarahi bapa mereka.

“Suami turut mendakwa anak-anak kencing merata-rata menyebabkan rumah kotor dan saya menafikannya kerana saya tahu anak tidak akan melakukan sedemikian.

“Malah lebih memilukan apabila suami tidak mengakui kandungan saya ini bukan anaknya sendiri selain menuduh saya mempunyai hubungan intim dengan lelaki lain,” katanya.

Katanya, berang melihat dia mempertahankan anak-anak yang mula menangis ketakutan, suaminya terus mencapai rotan buluh dan bertindak melibas anak-anak.

“Suami juga menampar anak berulang kali dan menolak mereka hingga tersungkur.

“Kasihan melihat anak diperlakukan sebegitu, saya cuba meleraikan pertelingkahan namun terjatuh akibat ditolak suami,” katanya.

Jane berkata, kemudiannya suaminya mengambil kesemua pakaian miliknya dan anak-anak lalu dicampakkan ke luar rumah sambil menghalau mereka.

“Bagaimanapun berikutan pintu rumah sudah dikunci dari luar, saya tidak dapat menyelamatkan diri sebelum suami sendiri membuka pintu dan menghalau kami keluar dari rumah,” katanya.

Difahamkan setelah dihalau, Jane dan tiga anaknya pulang ke rumah ibunya di Jasin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin menerima laporan dan kes dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Keganasan Rumah Tangga, Wanita dan Kanak-kanak (D11) IPK Melaka untuk siasatan.

Gagal selamat rakan lemas – Metro


Gagal selamat rakan lemas

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Nazdy Harun

Kuala Berang: “Saya segera terjun ke sungai dan cuba menolaknya ke atas sebaik melihat dia terkapai-kapai, tetapi gagal menyelamatkannya,” kata Muiz Hanafi Mat Razol Ghani, 15, rakan kepada Mohamad Aliff Imran Ghani, 15, yang lemas ketika mandi di Taman Pertanian Air Terjun Sekayu di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang meninggal dunia selepas dihanyutkan arus sungai ketika mandi bersama empat rakan.

Muiz Hanafi berkata, sebelum kejadian, dia bersama empat rakan termasuk mangsa ke taman itu untuk mandi, namun nasib tidak menyebelahi arwah apabila pautannya pada batu terlepas sebelum dihanyutkan arus sungai.

Sebelum kejadian itu, dia duduk berhampiran arwah bersama seorang lagi rakan manakala dua lagi yang tidak mandi berada tidak jauh dari kami.

FotoORANG ramai mengangkat jenazah Mohamad Aliff Imran (gambar kecil).

“Beberapa minit sebelum kejadian, arwah mengajak kami pulang, tetapi pautannya pada batu tiba-tiba terlepas lalu dibawa arus sungai.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Berubah lepas didera kekasih – Metro


Berubah lepas didera kekasih

 0  0 Google +0  0  0

Bayan Lepas: Pengalaman pahit disihir, dibelasah dan dikurung ‘teman lelaki’, menjadi titik tolak kepada Mohd Khariri Ramli, 35, atau Erin untuk kembali menjadi lelaki sejati dan meninggalkan dunia mak nyah yang penuh noda.

Mohd Khariri berkata, ketika menjadi mak nyah dia bukan saja ada teman lelaki, malah mereka tinggal bersama seolah-olah suami isteri selama hampir setahun.
“Mula-mula bersama memanglah bahagia, tapi lama kelamaan saya hanya menjadi mangsa belasahannya hingga cedera teruk dan separuh mati.

 

“Daripada situlah saya mula terfikir untuk bertaubat kerana mula sedar teman lelaki saya hanya mengambil kesempatan dan menggunakan saya untuk kepentingan dirinya,” katanya.
Menurutnya, kejadian dia dibelasah dan dikurung teman lelakinya berlaku 10 tahun lalu yang mengakibatkan batang hidung plastik yang digunakannya untuk kelihatan cantik patah, berulat dan terpaksa dibuang.
“Keadaan saya ketika itu cukup sengsara kerana turut disihir menggunakan bomoh Siam dan banyak duit saya dikikisnya,” katanya.

 

Mohd Khariri yang bertugas sebagai guru di Selangor, menceritakan pengalaman pahitnya itu ketika ditemui Harian Metro pada Program Perkhemahan Muhibah 2013 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini, baru-baru ini.
Program itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Yayasan Ihtimam Malaysia, dihadiri 30 mak nyah sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

 

Mohd Khariri berkata, berikutan kesengsaraan yang dialami dia seperti tersedar daripada mimpi dan mula memikirkan sampai bila dia akan berkeadaan sebegitu.
“Bermula detik itu, saya tekad meninggalkan dunia mak nyah peringkat demi peringkat. Mula-mula insaf lapan tahun lalu, saya masih berpakaian wanita, tapi mula kurangkan pergaulan dan aktiviti dengan kawan mak nyah.
“Kira-kira empat tahun lalu, baru saya ubah terus penampilan dengan berpakaian seperti lelaki dan mendapatkan bimbingan serta rawatan daripada ahli agama di Tanjung Rambutan, Perak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

2 beranak maut kemalangan semasa ambil gaji – Utusan


2 beranak maut kemalangan semasa ambil gaji

Kereta yang dinaiki oleh Talib Darji dan anaknya remuk dalam kemalangan di Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 27 Mac – Perjalanan seorang bapa bersama anak perempuan bongsunya mengambil wang gaji bagi dibelanjakan untuk makan malam bersama keluarga tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Kangkar Senangar, di sini semalam.

Dalam kemalangan pada pukul 9 malam itu, mangsa Talib Darji, 50, bersama anak perempuanya, Siti Ruzana, 12, dalam perjalanan dari rumah mereka di Seri Medan ke Parit Sulong untuk mengambil wang upah menyembur racun di ladang kelapa sawit.

Bagaimanapun, semasa tiba di lokasi kemalangan, kereta jenis Kia Sephia yang dipandu oleh Talib dirempuh sebuah treler yang memasuki laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain menyebabkan dia dan anaknya tersepit sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130328/je_07/2-beranak-maut-kemalangan-semasa-ambil-gaji#ixzz2Omxav8uH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hukuman bapa rogol anak ditambah 15 tahun lagi – Utusan


Hukuman bapa rogol anak ditambah 15 tahun lagi

SHAH ALAM 27 Mac – “Kamu dah berkahwin pun masih mahu rogol anak, buaya yang memasukkan anak ke dalam mulut untuk pindahkan ke tempat lebih selamat pun tak makan anaknya tapi kamu boleh rogol darah daging sendiri, saya tak dapat bayangkan.”

Demikian tegas seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap seorang penganggur berusia 32 tahun yang tergamak merogol anak kandungnya selepas pulang dari sekolah sebanyak tiga kali dalam tiga kejadian berasingan, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah berkata demikian sebelum memerintahkan hukuman penjara terhadap perayu ditambah daripada 15 tahun kepada 30 tahun dan sebatan maksimum dikenakan iaitu sebanyak 24 kali.

Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap lelaki berkenaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130328/ma_02/Hukuman-bapa-rogol-anak-ditambah-15-tahun-lagi#ixzz2OmvoAid8
© Utusan Melayu (M) Bhd