HEBAHAN PEMBAYARAN BALIK PINJAMAN PELAJARAN DAN GANTI RUGI MELALUI KAUNTER RANGKAIAN POS MALAYSIA DAN PORTAL POSONLINE DI LAMAN WEB KPM


HEBAHAN PEMBAYARAN BALIK PINJAMAN PELAJARAN DAN GANTI RUGI MELALUI KAUNTER RANGKAIAN POS MALAYSIA DAN PORTAL POSONLINE DI LAMAN WEB KPM

26 March 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan bekerjasama dengan Pos Malaysia Berhad (PMB)
bagi menguruskan terimaan bayaran balik pinjaman pelajaran dan ganti rugi mungkir perjanjian KPM.
Sehubungan dengan itu, bayaran balik pinjaman pelajaran dan ganti rugi mungkir perjanjian KPM boleh dibuat
melalui kaunter rangkaian Pos Malaysia dan portal PosOnline mulai 26 Mac 2013.
2.            Bersama-sama ini disertakan prosedur pembayaran balik pinjaman pelajaran dan ganti rugi
mungkir perjanjian KPM melalui kaedah tersebut. Sebarang pertanyaan mengenai perkara ini boleh diajukan
kepada Bahagian Tajaan Pendidikan di talian hotline 03-83217124 atau emel penguatkuasaan@moe.gov.my.

 

Muat Turun
PROSEDUR PEMBAYARAN

Guru Fardu Ain maut ditolak keluar daripada kenderaan – Utusan


Guru Fardu Ain maut ditolak keluar daripada kenderaan

KOTA BHARU 25 Mac – Seorang guru Fardu Ain maut, dipercayai selepas ditolak keluar daripada sebuah kereta disyaki dinaiki penjenayah dalam kejadian di persimpangan Kampung Sat Hilir, Tanah Merah, semalam.

Dalam kejadian itu, Rafiah Seman, 54, yang juga ahli Amanah Ikhtiar Malaysia dipercayai bergelut dengan penjenayah terbabit sebelum ditolak keluar daripada kenderaan yang dikatakan sedang bergerak laju.

Mangsa ditemui oleh seorang pemandu kereta kira-kira pukul 10.30 pagi dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri.

Guru wanita itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tanah Merah, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 8.45 malam akibat kecederaan pada bahagian badan selain berlaku pendarahan dalaman. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130325/je_07/Guru-Fardu-Ain-maut-ditolak-keluar-daripada-kenderaan#ixzz2OXmZdadX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cuepacs: Sediakan pinjaman mudah elak kakitangan awam jadi mangsa Along – Bernama


Cuepacs: Sediakan pinjaman mudah elak kakitangan awam jadi mangsa Along

25 Mac 2013
Omar Osman
Omar Osman

KUALA LUMPUR – Koperasi Sektor Awam 1Malaysia (KSA1M) disaran mewujudkan skim pinjaman mudah untuk penjawat awam.

Dalam membuat cadangan itu, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, ia bagi mengelak penjawat awam daripada membuat pinjaman dari peminjam wang haram atau ‘Along’ dan agensi pinjaman yang mengenakan faedah tinggi yang dilihat membebankan.

“Skim pinjaman ini sesuai untuk perkara seperti kematian, persekolahan anak dan memperbaharui cukai jalan yang membolehkan peminjam memperoleh wang segera tanpa penjamin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung pertama KSA1M di Wisma Cuepacs di sini, hari ini.

Omar berkata melalui skim itu, penjawat awam misalnya boleh meminjam maksimum RM2,000 dengan tempoh bayaran balik selama tiga hingga enam bulan melalui potongan gaji.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Saripuddin Kasim.

Dalam pada itu, Omar menggesa semua penjawat awam menjadi anggota KSA1M untuk menikmati kemudahan yang disediakan. Sehingga kini, 200 penjawat awam telah mendaftar sebagai anggota koperasi itu.

Dalam pada itu, beliau berkata KSA1M akan mengendalikan dua Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) iaitu di Bandar Tun Razak di sini dan Presint 16, Putrajaya selain peruntukan RM1.3 juta yang disalurkan KPDNKK untuk tujuan itu.

Omar berkata kedua-dua kedai dan peruntukan itu akan diserahkan secara rasmi April ini.

KSA1M ditubuhkan Februari tahun lalu dan keanggotaannya terbuka kepada semua penjawat awam untuk menambah pendapatan kumpulan pekerja itu. – Bernama

MRSM Tun Ghafar Baba catat keputusan SPM terbaik bagi seluruh MRSM – Bernama


MRSM Tun Ghafar Baba catat keputusan SPM terbaik bagi seluruh MRSM

25 Mac 2013

KUALA LUMPUR – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba di Jasin, Melaka muncul MRSM terbaik dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 apabila 435 calonnya mencapai nilai Gred Purata Maktab (GPM) 1.0391.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad berkata selain MRSM Tun Ghafar Baba, enam MRSM lain turut mencatat pencapaian cemerlang iaitu MRSM Taiping (391 calon mencatat GPM 1.0097) dan MRSM Langkawi (146 calon, GPM 1.1971).

Turut cemerlang MRSM Pontian (133 calon, GPM 1.2245), MRSM Pengkalan Chepa (354 calon, GPM 1.3870), MRSM Kuantan (136 calon, GPM 1.5745), dan MRSM Tun Abdul Razak (121 calon, GPM 1.6171), kata Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, pencapaian kesemua 42 MRSM adalah baik dengan 7,299 pelajar yang menduduki peperiksaan itu mencatat keputusan 100 peratus lulus.

Katanya, kesemua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang layak meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Melalui sistem pendidikan MRSM, Ibrahim berkata, Mara akan terus menjadi peneraju dalam melahirkan modal insan mempunyai minda kelas pertama yang mampu menyumbang kepakaran demi bangsa dan negara.- Bernama

PROGRAM BURSARY PELAJAR CEMERLANG SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) TAHUN 2012


PROGRAM BURSARY PELAJAR CEMERLANG SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) TAHUN 2012

25 March 2013

Pada tahun ini, bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar lepasan SPM Tahun 2012, semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas akan ditawarkan Bursary (bantuan kewangan) secara automatik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latarbelakang.Bursary (bantuan kewangan) meliputi yuran pengajian dan elaun sara hidup sebanyak RM430 sebulan serta tempat/kursus bagi pelajar-pelajar cemerlang SPM mengikuti program-program persediaan di dalam negara yang disediakan oleh KPM. Pelajar cemerlang SPM boleh melayari Aplikasi Online Bursary Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2012 untuk mendaftar, membuat semakan dan mengemaskini maklumat pada 25 Mac 2013 (Isnin).

Sekian, terima kasih.

 

Sila Layari : http://apps.moe.gov.my/bursaryspm/

Selamat hari jadi – Metro


Selamat hari jadi

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Muhd Izawan Baharin

Sepang: “Sebelum ini hari jadi saya disambut di rumah bersama ahli keluarga saja. Inilah kali pertama hari jadi saya diraikan jauh di Kuala Lumpur,” kata Nur Izzaty Syafiqah Baharin, anak kedua Allahyarham Sarjan Baharin Hamit yang terkorban dalam serangan hendap pengganas Sulu di Kampung Sri Jaya Simunul di Semporna, Sabah, 2 Mac lalu.

Izzaty, 11, ditemani abang, Muhammad Izzat Baharin, 16, dan ibu saudara, Hayati Suarah, 67, bersama Pegawai Pengiring PDRM, Inspektor Noor Sahara Mokhtar dibawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba ke sini bagi menyertai sambutan Hari Polis ke-206 negara hari ini.
Ketibaannya disambut kejutan dengan nyanyian ‘Selamat Hari Jadi’ oleh kira-kira 20 kakitangan Media Prima Bhd (MPB) sebaik melangkah masuk ke Bilik Kemuning, Balai Ketibaan VIP, sejurus tiba dari Sabah semalam.

 

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial MPB Datuk Ahmad A Talib, Ketua Komunikasi Korporat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Wan Abdillah Wan Nawi dan Pengarang Berita Suara Komuniti BH Sariha Mohd Ali.
“Saya tak sangka sama sekali akan ada orang yang mahu menyambut hari jadi saya. Saya berterima kasih dan kalau boleh, saya ingin melawat KLCC,” katanya yang berada di Kuala Lumpur selama lima hari.
Menurutnya, perancangan sebelum ini untuk menyambut hari jadi bersama arwah bapanya dengan keluar makan bersama keluarga, tetapi tidak kesampaian berikutan tragedi di Lahad Datu.

 

Sementara itu, Sariha berkata, kejutan sambutan hari jadi itu terpaksa diawalkan berikutan tarikh sebenar hari lahir Izzaty jatuh pada hari ini, bersamaan Hari Polis ke-206 negara.
“Kami dapat tahu Izzaty datang ke Kuala Lumpur mewakili ibunya (Sumiati Suarah, 51) yang uzur untuk menerima sijil penghargaan daripada PDRM atas pengorbanan bapanya yang gugur di Semporna, baru-baru ini.

 

“Mengikut rancangan awal, majlis ini dijadualkan disambut di Kota Kinabalu, namun diubah selepas dapat tahu Izzaty turun ke sini,” katanya selepas menyampaikan sebuah kamera sebagai hadiah hari jadi sumbangan BH kepada Izzaty.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Luluh hati nenek – Metro


Luluh hati nenek

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Mohd Sah Muda

Mersing: Kegembiraan tiga remaja bersaudara dari FELDA Tenggaroh 5, dekat sini, keluar memancing berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas di Sungai Ambat, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dua sepupu yang lemas, Muhammad Suhazri Abdullah, 9, dan Muhamad Iqhwan Jefri, 15, dikatakan keluar memancing bersama seorang lagi sepupu mereka, Muhammad Fazmi Ikmal Nor Azli, 15.
Muhammad Fazmi Ikmal berkata, mereka bertiga keluar rumah dengan menunggang sebuah motosikal menuju ke sungai berkenaan untuk memancing.

 

“Kami baru tiba di lokasi sebelum Muhammad Suhazri tiba-tiba tergelincir dari tebing di kawasan berhampiran.
“Melihat Muhammad Suhazri tergelincir dan terjatuh dalam sungai, Muhamad Iqhwan terjun untuk menyelamatkannya, namun tiba-tiba mereka berdua terus hilang.
“Tidak sedap hati dengan kejadian itu, saya terus terjun dan cuba menyelamatkan mereka, malangnya saya sendiri hampir lemas sebelum terselamat selepas berpaut pada sebatang kayu di kawasan berhampiran,” katanya.

 

Menurutnya, walaupun letih, dia cuba menyelam ke dasar sungai sedalam kira-kira tiga meter, namun tidak menemui dua sepupunya itu sebelum mengambil keputusan pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian kepada neneknya.
Sementara itu, nenek mangsa, Rafiah Muda, 64, berkata, kali terakhir dia melihat kedua-dua cucunya itu ketika mereka menunggang motosikal bersama Muhammad Fazmi Ikmal dalam keadaan tergesa-gesa.

 

“Kira-kira sejam setengah kemudian, saya dapati Muhammad Fazmi Ikmal pulang dalam keadaan tergesa-gesa sebelum memaklumkan kejadian itu kepada saya.
“Saya memaklumkan kepada jiran dan penduduk dan mereka pantas memberikan bantuan dan cuba mencari serta menyelamat dua cucu saya.
“Dua cucu itu tinggal bersama saya dengan Muhammad Suhazri belajar dalam tahun tiga Sekolah Kebangsaan FELDA Tenggaroh 5 manakala Muhamad Iqhwan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Kadir,” katanya.
Menurutnya, Muhammad Suhazri mula tinggal bersamanya sejak ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu manakala Muhamad Iqhwan tinggal bersamanya sejak ibu bapa mereka berpisah tidak lama kemudian.
“Arwah adalah cucu yang manja dan sebelum ini mereka tidak menunjukkan sebarang kelakuan luar biasa. “Walaupun sedih, namun saya reda dengan kejadian ini,” katanya. Mayat mangsa ditemui pasukan menyelamat jam 11 malam kelmarin sebelum dihantar ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Tenggaroh Timur 1 selepas solat Zuhur, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Ditemui kurang 7 jam – Metro


Ditemui kurang 7 jam

 0  0 Google +0  0  0

Mersing: Kerjasama pihak berkuasa dan penduduk tempatan berjaya menemui jenazah dua mangsa lemas, Muhammad Suhazri Abdullah, 9, dan Muhamad Iqhwan Jefri, 15, dalam tempoh kurang tujuh jam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing Asisten Superintendan Azhar Hassan berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.40 petang, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
Katanya, gerakan mencari dan menyelamat segera dilakukan membabitkan penduduk FELDA Tenggaroh dan polis.

 

“Kedua-duanya ditemui di dasar sungai dengan jenazah Muhamad Iqhwan ditemui pada jam 11 malam diikuti mayat Muhammad Suhazri tidak lama kemudian,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Jari retak tersepit pintu kelas – Metro


Jari retak tersepit pintu kelas

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Terengganu: “Saya berharap guru bertindak lebih baik jika ada kecemasan di sekolah selepas ini,” kata Lokman Ibrahim, 45, bapa kepada Mohamad Hanif Lokman, 13, yang terpaksa bermalam di hospital sejak empat hari lalu selepas cedera jari tangan kanan akibat tersepit pada pintu kelas.

Bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman itu berkata, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari Khamis lalu, anaknya tersilap meletak tangan pada pintu itu ketika berbual dengan rakan.
Menurutnya, jari manis anaknya tersepit selepas seorang pelajar yang mahu ke kelas lain menolak pintu itu.

 

“Sebaik pintu ditolak, jari Mohamad Hanif remuk akibat tersepit,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.
Lokman berkata, ketua kelas anaknya yang melihat tangan Mohamad Hanif berlumuran darah membawanya ke bilik rawatan sekolah sebelum disapu minyak dan dibalut oleh guru bertugas.
“Bagaimanapun, guru itu tidak menghantar Mohamad Hanif ke klinik atau hospital untuk rawatan susulan, sebaliknya meminta anak saya berehat hingga tamat waktu persekolahan pada jam 2 petang.

 

“Ketika pulang ke rumah, saya terkejut melihat muka anak pucat menahan sakit sebelum dia memberitahu kejadian sebenar,” katanya.
Katanya, selepas itu, dia bergegas ke HSNZ untuk rawatan lanjut dan sedih apabila dimaklumkan tulang jari anaknya retak.

Suami isteri cemas kereta dilarikan bersama anak – Utusan


Suami isteri cemas kereta dilarikan bersama anak

KUALA LUMPUR 24 Mac – Seorang peniaga komputer bersama isteri berdepan dengan detik-detik cemas setelah penjenayah melarikan kereta mereka bersama anak perempuan berusia enam tahun di hadapan Taska Taman Kosas, Ampang dekat sini malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 11.50 malam, ketika pasangan suami isteri itu keluar dari kereta yang masih dihidupkan enjin dengan meninggalkan anak sulung mereka di dalamnya untuk mengambil anak kedua yang dijaga oleh Taska berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kejadian itu disedari oleh isteri mangsa apabila melihat seorang lelaki dipercayai berketurunan Melayu telah mengundur dan melarikan kereta bersama anaknya yang sedang tidur dalam kenderaan tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek telah keluar dari sebuah kereta jenis Proton Waja sebelum masuk ke dalam kenderaan mangsa.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130325/je_05/Suami-isteri-cemas-kereta-dilarikan-bersama-anak#ixzz2OVZrhu00
© Utusan Melayu (M) Bhd