Anak pengetua antara ditahan – Sinar Harian


Anak pengetua antara ditahan
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Disember 2013
  • Anak pengetua antara ditahanKesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
< 1 / 1 >

DUNGUN – Seorang anak pengetua antara tiga lelaki yang ditahan reman untuk membantu siasatan kerana disyaki terbabit dengan kes samun, culik dan rogol bergilir-gilir seorang pelayan dan pekerja kedai telefon bimbit dalam kejadian berasingan dekat sini, pagi kelmarin.

Suspek, 31, yang difahamkan anak sulung kepada pengetua sebuah sekolah menengah di daerah ini ditahan bersama seorang rakannya warga Indonesia di sebuah rumah dekat Gong Pasir, kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Lelaki yang kini menganggur itu dikatakan berkelulusan ijazah sarjana kejuruteraan perisian komputer dan siasatan awal mendapati dia dipercayai pernah mempunyai rekod lampau berkaitan kes samun bersenjata.

Manakala seorang lagi rakannya, berusia 25 tahun pula ditahan berdekatan restoran makanan segera di Kerteh kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Majistret, Hazwanie Husain Bustari memerintahkan ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kesemua suspek dipercayai terbabit dengan satu kes culik melibatkan dua wanita yang bekerja sebagai pelayan dan pembantu kedai telefon bersama rakan lelakinya di Bukit Chatak kira-kira jam 3 pagi kelmarin sebelum melarikan mereka ke Kampung Durian Mentangau.

Ketika kejadian ketiga-tiga mangsa yang menaiki sebuah kereta Proton Satria dihimpit dua Honda Civic lalu salah seorang daripada suspek keluar dan menyamar sebagai polis sebelum mengarahkan mangsa mengikut arahan mereka dengan salah seorang memandu kereta mangsa lalu meninggalkan lokasi kejadian.

Suspek juga merampas lima telefon bimbit milik mangsa

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan di Durian Mentangau pula, suspek yang memandu kereta Proton Satria bersama mangsa telah melanggar sebuah kereta Perodua Kancil.

Suspek kemudiannya melarikan seorang wanita selepas merampas kereta Perodua Kancil dipandu adik iparnya lalu meninggalkan wanita terbabit kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian selain menyamun telefon bimbit mangsa.

Suspek juga dipercayai merogol dua wanita yang dilarikan dalam kejadian pertama di sebuah inap desa di Jalan Kenanga Dungun sebelum mangsa melarikan diri ketika suspek menukar nombor plat kereta di rumah rakannya di sebuah kampung di Dungun.

Kedua-dua kereta Honda Civic yang digunakan suspek dipercayai kereta curi dan hasil ujian saringan air kencing juga mendapati positif dadah

Sekolah Myanmar dipantau – Sinar Harian


Sekolah Myanmar dipantau
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Disember 2013
  • Sekolah Myanmar dipantau
< 1 / 1 >

KUALA KUBU BHARU – Sebuah premis di Jalan Orkid, Bukit Sentosa yang dijadikan sekolah untuk warga Myanmar akan dipantau dan diambil tindakan sewajarnya jika menyalahi undang-undang.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail berkata, pihaknya akan bertindak berdasarkan bidang kuasa yang ada iaitu melibatkan penggunaan permit di premis MDHS.“Kita akan semak dan siasat sebab bimbang ada implikasi lain.

“Dari segi majlis pun tidak ada salah kalau mereka dibenarkan oleh jabatan berkaitan, maka premis yang digunakan kita lesenkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kewujudan sekolah berkenaan.

Sinar Harian pada 27 November lalu menyiarkan mengenai kemusykilan penduduk mengenai status kewujudan sekolah untuk warga Myanmar di sebuah premis di Bukit Sentosa.

Difahamkan, sekolah yang sudah lebih tiga tahun beroperasi itu disediakan majikan kepada pekerja warga Myanmar yang mempunyai anak untuk belajar di situ.

Sehingga kini, terdapat lebih 100 pelajar yang mengikuti pembelajaran bahasa Inggeris, matematik dan sains di sekolah tersebut.

Tukiman berkata, jabatan lain yang berkaitan juga perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara tersebut kerana difahamkan turut melibatkan sistem pembelajaran di peringkat tadika, rendah dan menengah.

“Melihat kepada sekolah ini kita tidak tahu bagaimana dari segi peraturan kerana melibatkan jabatan pendidikan.

“Antara yang mungkin perlu dilihat dari segi sukatan pendidikan atau pengajaran serta kurikulum yang digunakan,” katanya.

Katanya, sehingga kini tiada aduan berkaitan perkara tersebut diterima sehingga disiarkan dalam Sinar Harian.

“Sebelum ini MDHS pernah menerima aduan berhubung warga Myanmar membuka kedai runcit mini dan kedai makan di premis bertingkat di Bukit Sentosa, namun tindakan penguatkuasaan sudah diambil dan barangan sudah disita.

“Warga Myanmar sudah dikenal pasti pernah melakukan beberapa kesalahan dan berada dalam pemantauan, malah bilangan mereka yang semakin ramai menyebabkan keperluan meningkat termasuk keperluan pendidikan,” katanya.

Terkejut anak perempuan tergantung dalam bilik – Sinar Harian


Terkejut anak perempuan tergantung dalam bilik
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Disember 2013
  • Terkejut anak perempuan tergantung dalam bilikAnggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar.
< 1 / 1 >

SEREMBAN – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditemui mati dalam keadaan tergantung dalam bilik air di rumahnya dekat Taman Rasah Jaya Fasa 2, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Deshalini ditemui mati dalam keadaan tergantung dengan kain sari oleh ibunya yang ketika itu baru pulang dari pasar.

Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila melihat anak bongsunya mati dalam keadaan tergantung.

“Saya sedih melihat anak pergi dalam keadaan sebegitu rupa. Semasa saya keluar dari rumah pagi tadi untuk ke pasar, saya tidak merasakan apa-apa sesuatu yang pelik akan berlaku.

“Bagaimanapun, apabila saya pulang sahaja ke rumah daripada pasar, saya mencari anak saya dan terkejut dia sudah tiada,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, anak bongsunya itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mewah dan seorang anak yang baik serta mendengar kata.Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Baharudin Mustafa mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, polis masih menyiasat punca kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa telahpun dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat,” katanya.

Guru besar ceburi bidang ternakan lebah kelulut – Sinar Harian


Guru besar ceburi bidang ternakan lebah kelulut
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Disember 2013
  • Guru besar ceburi bidang ternakan lebah kelulutOthman menunjukkan kotak ternakan lebah madu kelulut yang diusahakannya.
< 1 / 1 >

BIDOR – Bermodalkan RM2,800, seorang guru besar sebuah sekolah di sini, bersama rakan kongsinya mengusahakan ternakan lebah kelulut.

Othman Md Ali, 56, berkata, dia tertarik untuk menternak lebah itu setelah diberikan sebotol madu lebah kelulut oleh seorang rakan yang merupakan usahawan menternak lebah bagi mengubati penyakit batuk dihidapinya.

Menurutnya, setelah beberapa hari minum madu itu, batuk yang dialami beransur  sembuh.

“Saya terus tertarik untuk menjadi usahawan lebah kelulut dan sebagai permulaan saya bersama rakan kongsi menternak serangga itu di dalam tujuh kotak.
“Kini kami mempunyai 300 kotak yang mampu menghasilkan kira-kira 40 kilogram sebulan,” katanya.

Othman berkata, madu berkenaan dijual dengan harga RM150 sebotol dan pendapatan diterima setiap bulan adalah antara RM5,000 hingga RM6,000.

“Madu ini dijual di pekan Bidor kepada rakan dan peminat madu lebah kelulut yang kini menjadi pelanggan tetap.

“Saya menjalankan perusahaan ini sendiri tanpa bantuan mana-mana agensi kerajaan atau swasta tetapi kini saya berusaha mendapatkan khidmat nasihat Fama, Jabatan Pertanian, Sirim, Mardi dan  Jabatan Perdagangan  Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna Korporat,” katanya.

Guru maut jatuh gaung – Metro


Guru maut jatuh gaung

Kuala Lumpur: Usaha seorang guru sains bersama rakannya menggunakan tali untuk turun ke kaki bukit selepas tersesat ketika mendaki Bukit Tabuh, di Taman Malawati, di sini, menemui kegagalan apabila mangsa maut akibat terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter, jam 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, sebaik menerima laporan berhubung kejadian, satu pasukan polis peronda dihantar ke lokasi untuk bantuan awal.

“Maklumat awal kita terima mengatakan ada seorang lelaki terjatuh dari level 10 Bukit Tabuh. Pada jam 9 malam, seramai lapan anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang telah naik untuk mengesan mangsa berpandukan maklumat yang diberikan rakan mangsa.

“Mayat mangsa ditemui di level sembilan bukit berkenaan kira-kira jam 11.55 malam dan disahkan meninggal dunia oleh anggota JPAM akibat kecederaan parah di muka dan badan,” katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Banjir di Johor belum jejaskan calon SPM – Bernama


Banjir di Johor belum jejaskan calon SPM

2013/12/04 – 13:09:55 PMCetakEmel Kawan
JOHOR BAHRU: Banjir yang melanda enam daerah di Johor belum menjejaskan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setakat ini, kata Pengarah Pelajaran Johor Mohd Nor A Ghani.

Beliau berkata terdapat 382 pusat peperiksaan di seluruh negeri dan pihaknya menerusi jawatankuasa banjir sentiasa memantau perkembangan sepanjang peperiksaan berjalan.

“Tiada calon yang terjejas kecuali beberapa pengawas peperiksaan di Mersing, yang menghadapi kesulitan untuk ke pusat peperiksaan, petang ini akibat jalan yang terputus hubungan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya pengawas peperiksaan tersebut akan dihantar pasukan tentera untuk ke SMK Nitar memandangkan laluan ke sekolah berkenaan hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Katanya, terdapat seramai 57,090 calon SPM di negeri ini dengan sebahagian daripada mereka masih menduduki peperiksaan sehingga Jumaat ini.

“Pelajar diminta menghubungi sekolah masing-masing sekiranya mengalami masalah untuk ke pusat peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor Suhairi Hashim berkata 67 penduduk Orang Asli Kampung Peta dan tujuh petugas Taman Negara Endau-Rompin ditempatkan di Kompleks Pelawat taman berkenaan setelah kawasan itu dinaiki air.
“Taman Negara Endau-Rompin kini hanya boleh dimasuki menggunakan laluan sungai dan pasukan tentera bersama pegawai perubatan serta jururawat sudah dihantar ke kompleks terbabit hari ini untuk merawat penduduk,” katanya.

Katanya taman negara berkenaan ditutup kepada pengunjung sejak 1 November lalu, ekoran musim tengkujuh.

– BERNAMA

YTL Dan Intel Akan Memperkenalkan Chromebook Dan Tablet Android Untuk Sektor Pendidikan – Aman


YTL Dan Intel Akan Memperkenalkan Chromebook Dan Tablet Android Untuk Sektor Pendidikan

Diterbitkan pada 48 minit lepas oleh 
2
YTL Communications pada tahun ini telah sedia menawarkan Chromebook kepada sekolah-sekolah seluruh negara dibawah program 1BestariNet. Hari ini, dalam terus mengukuhkan dan memperluaskannya, pihak YTL mengumumkan kerjasama dengan pihak Intel.

Dengan kerjasama kedua-dua pihak ini, mereka bakal memperkenalkan komputer riba Chromebook dan juga tablet berasaskan Android untuk tujuan pendidikan, dan hadir dengan intergasi 4G bersama-sama dengannya.

Pada hari ini, pihak YTL telah sedia menawarkan Chromebook pada majoriti sekolah di Malaysia, dan pada tahun hadapan mungkin kita akan dapat melihat pengenalan tablet Android dan juga Chromebook berasaskan cip Intel dengan lebih meluas, sekaligus membolehkan para pelajar untuk mengakses platform pembelajaran Frog VLE.

Tiada sebarang peranti yang diperlihatkan hari ini, dan mungkin kita akan dapat melihatnya tidak lama lagi.

Kredit : © 2013 Amanz Media

Pengisian Skor PKS-SKPM 2003 – MAKLUMAT TERKINI


Pengisian Skor PKS-SKPM 2003

MAKLUMAN TERKINI

1. Merujuk Surat Siaran Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Pembangunan Profesionalisme Keguruan) bertarikh 22 November 2013, semua sekolah diminta untuk mengisi skor PKS-SKPM 2003 di Portal NKRA (http://nkra.moe.gov.my) mulai 9 Disember 2013. Surat siaran boleh di muat turun dalam portal eNazir (www.moe.gov.my/enazir).

2. Pengisian skor PKS-SKPM 2010 ke dalam portal adalah mengikut tarikh seperti berikut;

 

 SEKOLAH

TARIKH PENGISIAN

 SEKOLAH RENDAH

 1 November 2013 – 27 Disember 2013

 SEKOLAH MENENGAH

1 Februari 2014 – 11 April 2014

Percutian jadi tragedi – Kosmo


Percutian jadi tragedi

 

 

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my

 

BEGINILAH keadaan kereta dinaiki sebuah keluarga selepas dirempuh sebuah van kilang di George Town, Pulau Pinang semalam.

 

GEORGE TOWN – Kegembiraan tujuh sekeluarga bercuti di negeri ini bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut setelah kereta yang dinaiki dirempuh sebuah van kilang di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dekat Batu Uban di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Saodah Hashim, 48, dan anak lelakinya, Nazirul Hafis Muhammad Bakri, 11, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Mangsa menaiki kereta yang dipandu adiknya, Mohd. Firdaus Hashim, 24, bersama ibu mereka, Salmah Hashim, 64, dan tiga anak mangsa iaitu Mohd. Khairul Nizar, 22, Sazafiza, 16, dan Mohd. Naufal, 4.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.