3 remaja pecah kedai diberkas – Sinar Harian


3 remaja pecah kedai diberkas
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Disember 2013
  • Ernest JohnErnest John
< 1 / 1 >

SUNGAI SIPUT – Tiga remaja diberkas sepasukan anggota polis tidak sampai 30 minit selepas memecah masuk sebuah restoran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintendan Ernest John berkata, polis bertindak memburu suspek sebaik sahaja menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Katanya, pemilik restoran  yang berusia 42 tahun menyedari kejadian itu setelah terdengar alat penggera keselamatan dipasang pada premisnya di Taman Jalong Baru,di sini, berbunyi.

Menurutnya, mangsa segera memeriksa premisnya sebelum mendapati pintu restoran itu diumpil dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam.

“Mangsa yang melakukan pemeriksaan rapi pada premisnya kemudian mendapati berpuluh kotak rokok, wang tunai RM300 dan lebih 20 botol minuman keras  disimpan di dalam premis itu hilang.

“Mangsa segera membuat laporan polis sebelum sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput mengadakan operasi bagi menjejaki kumpulan penjenayah berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, polis kemudian menemui tiga remaja tempatan dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan Taman Jalong Baru sebelum menahan mereka dan dibawa ke IPD Sungai Siput untuk disoal siasat.

“Hasil soal siasat, ketiga-tiga remaja terbabit mengaku melakukan kes pecah kedai itu bersama seorang lagi rakan mereka bernama Vinod yang masih bebas.

“Suspek mendakwa mengumpil pintu restoran itu menggunakan kayu sebelum mengambil wang, minuman keras dan rokok di dalam premis itu. Bagaimanapun  polis hanya menemui semula 10 botol minuman keras, 29 kotak rokok dan wang syiling berjumlah RM12,” katanya.

Menurutnya Ernest, suspek dipercayai meminum minuman keras yang dicuri sejurus melakukan jenayah tersebut.

Ketiga-tiga remaja terbabit yang berusia 17 tahun kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Guru resah kontraktor belum serah kunci bilik guru – Sinar Harian


Guru resah kontraktor belum serah kunci bilik guru
NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
31 Disember 2013
  • Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-AuliaKeadaan SRAR Al-Aulia di Jalan Kuala Kangsar yang tidak mempunyai bilik guru sejak tahun 1990-an.
< 1 / 3 >

IPOH – Empat guru Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Aulia di Jalan Kuala Kangsar di sini, runsing persediaan mengajar menjelang sesi persekolahan bermula Khamis ini terjejas apabila bilik guru masih berkunci.

Bangunan menempatkan bilik guru dan sebuah stor berkenaan sudah siap dibina sejak Julai lalu tetapi masih belum dapat digunakan apabila mendakwa kontraktor terlibat pembinaan enggan menyerahkan kunci pintu bangunan itu.

Difahamkan, ia pertama kali sekolah terbabit mempunyai bilik guru selepas ditubuhkan sejak tahun 1990-an.

Pengerusi sekolah berkenaan, Hashim Sulaiman berkata, dia sendiri berasa pelik dengan sikap kontraktor yang sehingga kini belum menyerahkan kunci bilik guru itu walaupun projek pembinaan telah siap sepenuhnya Ogos lalu.

“Kontraktor terbabit ada menghubungi dan memberikan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memberikan kunci kepada saya namun, sehingga kini kami masih tidak menerima kunci tersebut.

“Kami tidak mengetahui alasan sebenarnya kenapa tidak diberikan kunci bilik itu sejak lima bulan lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Hashim berkata, guru-guru sebelum ini hanya menumpang di kelas-kelas kosong terutama selepas waktu pengajaran untuk mengadakan mesyuarat atau berbincang bersama guru besar.

Katanya, kesemua guru lega apabila pihak Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) meluluskan peruntukan sejumlah RM50,000 untuk bina bangunan terbabit.

“Dengan adanya bilik guru, tenaga pengajar dapat buat persediaan sebelum memulakan sesi pengajaran,” katanya.

Ganti segera pagar sekolah

Pada masa yang sama, Hashim berkata, pihaknya bertegas mahukan pihak kontraktor terbabit segera menggantikan pagar baru yang dibinanya kepada pagar lama yang lebih kukuh.

“Ketika projek sedang berjalan, pihak kontraktor merobohkan pagar dawai besi untuk membolehkan kenderaan berat masuk untuk projek terbabit. Tetapi, bila sudah siap, mereka menggantikan dengan pagar dawai yang tidak berkualiti.

“Penggunaan pagar itu tidak selamat berikutan ia mudah dirosakkan  oleh murid berbanding pagar besi yang lebih kukuh sebelum ini. Lebih baik sekiranya pagar lama berkenaan  dipasang semula berikutan ia hasil wang sumbangan masjid dan orang ramai,” katanya.

Kata beliau, pihaknya akan berusaha memastikan guru terbabit dapat memasuki bilik berkenaan walaupun terpaksa mengeluarkan kos untuk menggantikan tombol pintu.

“Saya tidak akan menandatangani surat penyerahan jika pihak kontraktor tidak mahu memasang semula pagar lama dan saya berusaha untuk keselesaan guru-guru di situ,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa murid sekolah berkenaan, Mohd Risham Mohd Ibrahim berharap  segala masalah yang berlaku antara  pihak kontraktor dan pihak sekolah dapat diselesaikan demi keselesaan guru-guru.

“Sebelum ini, saya nampak barangan milik guru banyak dilambakkan di setiap kelas disebabkan mereka tidak mempunyai bilik. Malah, dengan tambahan meja-meja baru, diharapkan bangunan tersebut dapat digunakan.

“Kita tidak mahu hanya kerana tidak mendapatkan kunci, pelajaran murid terjejas terutama dua anak saya berusia sembilan dan 11 tahun yang belajar di sekolah berkenaan,” katanya.

Kontraktor, sekolah perlu bincang

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Mohd Nizar Zakaria mahu kedua-dua pihak iaitu kontraktor dan lembaga pentadbiran sekolah dapat bersemuka bagi menyelesaikan segala masalah yang mungkin timbul.

Menurutnya, perbincangan tersebut perlu diadakan segera supaya tidak menjejaskan segala penyediaan sesi persekolahan baru yang akan bermula tidak lama lagi.

“Kedua-dua pihak perlu duduk berbincang  serterusnya  mengambil keputusan terbaik demi kebaikan bersama. Perkara itu (pagar) perlu diselesaikan demi kepentingan pelajaran anak-anak dan sekolah itu sendiri,” katanya.

Semua sekolah terjejas banjir di Terengganu dibuka esok – Kosmo


Semua sekolah terjejas banjir di Terengganu dibuka esok

 

31/12/2013 4:42pm

 

KUALA TERENGGANU – Kesemua 19 sekolah di Terengganu yang terjejas banjir awal bulan ini akan dibuka esok mengikut jadual persekolahan sesi 2014.

Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu, Hashim Mohd Zin berkata, kesemua sekolah tersebut sudah dibersihkan dan buku teks serta perabot yang rosak sudah diganti.

“Bagi asrama yang terjejas seperti di Sekolah Menengah Mak Lagam di Kemaman, tilam-tilam dan perabot juga telah digantikan,” katanya di sini.

Menurut Hashim, sebanyak 33 sekolah dijadikan pusat pemindahan juga telah dibersihkan dan perabotnya disusun atur untuk memulakan sesi persekolahan esok. – Bernama

Umum minggu ini – Metro


Umum minggu ini

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Garis panduan dan kaedah pengagihan bantuan persekolahan RM100 seorang kepada 5.4 juta murid di negara ini akan diumumkan minggu ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, pengumuman itu akan dilakukan sama ada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.
“Semua murid akan mendapat bantuan ini termasuk mereka yang belajar di sekolah agama rakyat, negeri atau sekolah swasta, sebab semuanya murid kita.

 

“Namun, kaedah pengagihan dan garis panduannya akan dimaklumkan secara lebih terperinci oleh TPM atau Menteri Pendidikan II,” katanya di sini, semalam.
Kelmarin, Idris dilaporkan berkata, bantuan RM100 kepada 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan mula diagihkan selepas 15 Januari depan.
Beliau dipetik berkata, peruntukan berjumlah RM540 juta akan diagihkan kepada pelajar sejurus pihak sekolah menerima peruntukan berkenaan, dan bantuan itu diharap dapat dimanfaatkan pelajar dan meringankan bebanan kewangan ibu bapa.

 

Mengenai sekolah yang dilanda bah, Khair berkata, sebanyak 249 sekolah terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini di Kelantan, Terengganu, Johor dan Pahang.
Namun, katanya, peruntukan sudah disalurkan kepada sekolah berkenaan untuk memulihkan sebarang kerosakan atau menggantikan peralatan yang rosak.

 

“Esok (hari ini) Timbalan Perdana Menteri akan turun padang ke Pahang untuk melihat sendiri perkembangan di sana. Sebelum ini, tindakan pemulihan sudah dilakukan mengikut peruntukan yang diberikan kepada sekolah terbabit.
“Perkara ini memang sudah digariskan Timbalan Perdana Menteri iaitu apabila sekolah dibuka semuanya cukup di mana setiap murid akan mendapat satu kerusi dan meja serta set buku,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya banjir berulang pihaknya sudah bersedia dari segala aspek untuk memastikan sesi persekolahan dapat berjalan seperti biasa, walaupun terpaksa menumpang di sekolah yang tidak terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

Memang mengarut! – Metro


Memang mengarut!

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kuala Lumpur: Ketika sebahagian pengusaha bas sekolah mendesak untuk kenaikan tambang sehingga 40 peratus, sebahagiannya lagi sekadar menganggap tuntutan itu sebagai mengarut dan mahu mereka menyemak semula pengiraan tambang yang dilaksana sejak 2009.

Ini kerana menurut Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Ahmad Fauzi Murad berkata, kebanyakan pengusaha keliru dengan kaedah penetapan tambang seperti yang diputuskan sejak pentadbiran Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
“Sejak 2009, LPKP menetapkan tambang pada kadar RM27.43 dengan RM2.02 sen bagi setiap kilometer (KM). Tetapi ramai terkeliru dengan kiraan KM apabila tidak mengambil kira perjalanan sebagai dua hala.

 

“Macam teksi, apabila kita masuk saja RM3 sudah dikenakan dan tambang meningkat bagi setiap KM ia bergerak. Begitu jugalah dengan bas apabila RM2.02 dikenakan bagi setiap KM.
“Apabila mereka tak faham ini, maka tambang dikenakan tersasar jauh daripada kadar sebenar mengakibatkan mereka menanggung kerugian. Itu sebab kami kata rujuk balik bagaimana mereka mengira tambang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Ahmad Fauzi berkata, bersetuju sekiranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mahu mengenakan tambang yang lebih fleksibel dan tiada penetapan harga tambang siling.

 

“Tidak perlu kenaikan sampai 40 peratus, tetapi ikut apa yang SPAD putuskan dalam perbincangan itu sudah mencukupi. Walaupun tidak diumumkan lagi, secara kasarnya kami maklum mengenai pendekatan diambil,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputra Kuala Lumpur dan Selangor menyokong pertimbangan tambang yang dipersetujui pengusaha dan ibu bapa kerana menurutnya mewujudkan situasi menang-menang. Akhbar sejak kelmarin melaporkan SPAD akan menentukan kos bagi setiap penumpang sebelum menetapkan kadar tambang fleksibel berdasarkan permintaan pasaran.

 

Laporan menyebut kadar siling tidak ditetapkan kerana tidak mahu pengusaha menaikkan tambang, tetapi kekal dengan kualiti perkhidmatan lama seperti masih menggunakan bas lama, namun mengenakan tambang seperti harga baru.
Bagaimanapun, Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) tetap mendesak mahu mengenakan tambang dengan kenaikan 40 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

Tiga korban mengantuk – Metro


Tiga korban mengantuk

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Sungai Buloh: Perjalanan pulang lima beranak selepas menghantar anak ketiga memasuki tingkatan satu di sebuah sekolah berasrama di Kedah berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka terbunuh, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 451.6, Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke ibu negara di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, kereta Proton Wira dipandu bekas anggota tentera Norhairy Ahmad, 42, dikatakan merempuh bahagian belakang sebuah treler menyebabkan mangsa, isterinya yang juga seorang guru agama, Rohayati Oman, 42, serta anak perempuan mereka, Adibah, 17, meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi anak pasangan itu, Ahmad Kasyful Hadi, 10, dan Athirotul Huda, 6, pula cedera parah. Difahamkan, Ahmad Kasyful Hadi dilaporkan patah kaki, manakala Athirotul Huda pula dilaporkan mengalami kecederaan dalaman.
Adik ipar Norhairy, Mohamad Yoseof Ramli ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh berkata, dia sekeluarga tidak menyangka perjalanan pulang mangsa sekeluarga dari Kedah selepas menghantar anak ketiga mereka ke asrama berakhir tragedi memilukan.

 

“Arwah dipercayai pulang ke kampungnya di Kepala Batas, Kedah untuk menghantar anak ketiga mereka berusia 13 tahun yang baru melangkah ke tingkatan satu, manakala anak kedua mereka pula belajar di sebuah sekolah di Alor Setar.
“Selepas pendaftaran masuk sekolah, mereka sekeluarga terus bertolak pulang ke rumah mereka di Taman Melati,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini (semalam), dia belum memaklumkan berita sedih itu kepada kedua-dua anak pasangan itu yang berada di Kedah dan berharap mereka tabah menerima berita memilukan itu.

 

“Kami berdoa semoga kedua-dua anak pasangan itu akan tabah menerima ujian Allah ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, Proton Wira dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba melanggar belakang sebuah treler lalu terbabas ke tengah jalan.

 

Menurutnya, berikutan kejadian itu, sebuah pacuan empat roda yang gagal mengelak dikatakan terus melanggar Proton Wira itu dari arah belakang.
“Akibat perlanggaran itu, isteri mangsa dan anak perempuannya meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta itu yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh, namun disahkan meninggal dunia di hospital.
“Pemandu pacuan empat roda itu turut mengalami kecederaan ringan, manakala dua lagi anak mangsa yang masing-masing berusia 10 dan enam tahun pula cedera parah,” katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian, cuaca baik dan jalan juga tidak sibuk dan siasatan awal mendapati kemalangan itu kemungkinan akibat kecuaian pemandunya yang memandu dalam keadaan mengantuk.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/31

Sub kontraktor dipenjara 18 tahun, 8 sebatan rogol dan liwat anak bekas kekasih – Berita Harian


Sub kontraktor dipenjara 18 tahun, 8 sebatan rogol dan liwat anak bekas kekasih

2013/12/31 – 11:58:22 AMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Seorang sub kontraktor dipenjara 18 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang, selepas didapati bersalah merogol dan meliwat anak bekas kekasihnya, yang ketika kejadian berusia tujuh tahun 10 bulan, tahun lalu.

Hakim, Manira Mohd Nor memutuskan demikian terhadap Nazarul Rizman Mohd Tartip,31, selepaspihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Banjir: 41 sekolah di Pahang kerugian lebih RM7 juta – Bernama


Banjir: 41 sekolah di Pahang kerugian lebih RM7 juta

2013/12/31 – 12:42:00 PMCetakEmel Kawan
KUANTAN: Banjir baru-baru ini mengakibatkan sebanyak 41 sekolah di enam daerah di Pahang mengalami kerosakan membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM7 juta.

Pengarah Pelajaran Pahang, Mohd Rosdi Ismail yang mendedahkan perkara itu berkata jumlah kerosakan buku teks di sekolah berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

Beliau mendedahkan butiran itu semasa memberikan taklimat kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang di Bandar Indera Mahkota dekat sini, hari ini.

Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran tiba di sini untuk mendengar taklimat mengenai pasca banjir dan persediaan penggal persekolahan sesi 2014 di Pahang, di sini, hari ini.

Mohd Rosdi berkata sebanyak 16 buah di Kuantan terjejas oleh banjir itu di samping tiga sekolah di Jerantut , Bera (lima), Maran (tiga), Pekan (tujuh) dan Temerloh (tujuh).

Katanya, JPN akan memastikan semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memantau peralatan persekolahan cukup di sekolah yang terjejas dan buku teks baru diterima sebelum sekolah dibuka Khamis ini.

Selepas sesi taklimat selama sejam itu, Muhyiddin melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Badak dan SK Tanah Putih Baru dekat sini bagi meninjau keadaan sekolah itu yang dilanda banjir baru-baru ini.
– BERNAMA

Sesi persekolahan di Sarawak yang terbabit banjir ditangguh sementara – Muhyiddin – Berita Harian


Sesi persekolahan di Sarawak yang terbabit banjir ditangguh sementara – Muhyiddin

2013/12/31 – 14:14:31 PMCetakEmel Kawan
KUANTAN: Sesi baru persekolahan 2014 yang bermula Khamis ini bagi sekolah di Sarawak yang terbabit banjir ditangguhkan buat sementara waktu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan, berkata sesi persekolahan di beberapa daerah di Sarawak yang terjejas akibat banjir akan dimulakan sebaik keadaan kembali pulih dan selamat untuk digunakan pelajar.

POKB sumbang peralatan sekolah kepada 300 pelajar – Bernama


POKB sumbang peralatan sekolah kepada 300 pelajar

2013/12/31 – 16:37:24 PMCetakEmel Kawan
KOTA BHARU: Seramai 300 pelajar sekolah rendah di sekitar kawasan Parlimen Kota Baharu hari ini menerima bantuan persekolahan berupa beg dan alat tulis daripada Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

Penasihat POKB, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh, berkata sumbangan itu adalah hasil inisiatif Wanita UMNO Kota Baharu untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan.

“Ini bukan soal nilai, tetapi soal niat kita untuk membantu dan ini menunjukkan Wanita Umno di sini prihatin dengan masyarakat di sini.

“Pada tahun depan, POKB dan Wanita Umno di sini akan terus berkerja keras untuk membela nasib masyarakat di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan itu di Dewan Umno Negeri Kelantan di sini.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Kota Bharu, Madihah Ab Aziz dan naib ketuanya Khazuni Datuk Othman.

Seorang penerima, Mohd Atiq Marhakim, 10, yang juga orang kelainan upaya (OKU) dari Tanjung Mas, berkata peralatan sekolah berupa beg dan alat tulis yang disumbangkan itu amat bermakna baginya.

“Terima kasih kepada semua, saya rasa tak sabar nak pergi sekolah dengan beg baharu ni,” katanya.
– BERNAMA