‘Sistem pendidikan sudah terbalik’ – Sinar Harian


‘Sistem pendidikan sudah terbalik’
NIK MUHAMAD RAFFIQ
1 Disember 2013
  • 'Sistem pendidikan sudah terbalik'Satiful menyarankan orang ramai menyalurkan sumbangan untuk menyiapkan sebuah bangunan bagi kegunaan pelajar Sekolah Menengah Islam Darul Bayam dekat Pinang Merah, Paka.
< 1 / 1 >

PAKA – Pendidikan Islam merupakan kaedah terbaik bagi mengatasi isu keruntuhan moral anak-anak yang harus ditangani bukan sahaja ibu bapa, malah masyarakat dan kerajaan.

Adun Paka, Satiful Bahri Mamat berkata, pendidikan Islam kini hanya dijadikan alternatif dan bukan pendidikan utama.

Menurutnya, jika dibuat perbandingan, sistem pendidikan kini lebih bercirikan sistem konvensional, sedangkan pendidikan Islam itu penting kerana merupakan asas diperlukan dalam masyarakat.

“Bagaimanapun, sistem pendidikan kini sudah terbalik kerana beri penekanan akademik pada peringkat awal, sebaliknya asas pendidikan Islam biasanya diberi perhatian selepas seseorang itu berjaya menguasai akademik.

“Ramai yang sudah berjaya menjadi doktor, hakim mahupun jurutera, tapi tak pandai baca al-Quran. Selepas itu baru nak belajar, sedangkan sepatutnya perkara ini diberi penekanan awal. Bila tak ada asas yang kukuh, sebab itu berlakunya keruntuhan akhlak, rasuah dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga pengasas Sekolah Islam Darul Bayam berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup kem pra tahfiz di sekolah berkenaan, dekat sini, pagi semalam.

Satiful berkata, sepatutnya kerajaan memberi lebih banyak bantuan kepada sekolah pondok yang ditubuhkan secara persendirian melalui sumbangan orang ramai.

“Bagi sekolah bantuan penuh kerajaan, walaupun muridnya tak ramai, kerajaan boleh menyediakan bangunan dan kemudahan lebih daripada mencukupi.

“Jadi apa salahnya kerajaan membantu sekolah agama yang melahirkan golongan ilmuwan Islam yang hafaz al-Quran, mengamalkan sunah Rasulullah serta baik moralnya,” katanya.

Pada masa sama, Satiful turut memaklumkan, pihaknya kini sedang menyiapkan sebuah bangunan dua tingkat untuk dijadikan asrama pelajar lelaki.

Bagaimanapun katanya, pihaknya memerlukan kira-kira RM800,000 untuk perbelanjaan menyiapkan bangunan tersebut yang dibina hasil sumbangan orang ramai.

“Dengan adanya sumbangan orang ramai dan dana yang cukup, mungkin bangunan ini boleh disiapkan lebih awal daripada tempoh sebenar.

“Bangunan ini sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan pelajar yang kian bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Didakwa rogol gadis bawah umur – Sinar Harian


Didakwa rogol gadis bawah umur
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Disember 2013

KUANTAN – Seorang pembantu kedai restoran di ibu negara, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, kelmarin atas dakwaan merogol seorang gadis bawah umur, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Shafiq Basiar, 20, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan merogol mangsa, yang pada ketika kejadian berusia 15 tahun di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Jalan Pahlawan, Kota Perdana, Paloh Hinai, Pekan, pada 15 Disember 2008 lebih kurang 12.30 tengah malam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wahidah Zainal Abidin di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Walaupun pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan memandangkan kes tersebut terlalu serius namun hakim berpendapat mahkamah masih boleh mengenakan budi bicara.

Selepas pengakuan direkodkan, Zainal menetapkan 10 Januari depan tarikh sebutan semula kes.

Kanak-kanak Cina berkhatan – Sinar Harian


Kanak-kanak Cina berkhatan
MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON
1 Disember 2013
  • Kanak-kanak Cina berkhatanKa Yong bersama Yin Mei pada program Khatan Perdana anjuran Umno Bahagian Sekijang di Klinik Kesihatan Bandar Putra, semalam.
< 1 / 1 >

SEGAMAT – Seorang kanak-kanak Cina menarik perhatian ramai apabila turut dikhatankan bersama 87 peserta Islam lain pada program Khatan Perdana anjuran Umno Bahagian Sekijang di Klinik Kesihatan Bandar Putra, di sini semalam.

Pang Ka Yong, 11, kelihatan begitu teruja apabila dapat bersama dengan kanak-kanak lain berkhatan dan merasai sendiri pengalaman diarak dengan paluan  kompang selain disiram air menggunakan hos bomba.

“Dalam teruja saya juga sedikit berdebar apabila mendengar jeritan dan tangisan peserta lain yang sedang dikhatankan. Saya satu-satunya kanak-kanak bukan Islam yang hadir pada hari ini (semalam).

“Memang takut sebab tanya rakan di sekolah pun tiada yang berkhatan. Jadi dalam kalangan rakan sebangsa, saya yang pertama berkhatan,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.

Ka Yong dari Bukit Siput ditemani ibunya, Cheng Yin Mei, 36.

Yin Mei berkata, hampir dua minggu dia memujuk anak sulungnya itu supaya turut sama berkhatan pada program itu malah meyakinkan proses berkenaan  tidak menyakitkan.

Jelasnya, antara sebab dia menyarankan anaknya berkhatan kerana Ka Yong sering mendapat alahan selain mengetahui ia cara terbaik bagi memastikan  kebersihan diri lelaki.

“Selepas mendapat tahu program ini daripada rakan saya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Daerah Segamat (HDS), saya terus mendaftarkan anak saya walaupun pada mulanya dia enggan untuk dikhatankan.

“Selepas ini, adik lelakinya pula akan menyusul bila dia besar sedikit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sekijang, Datuk Baharum Mohamed berkata, program itu bukan sekadar menyahut amalan berkhatan yang dituntut Islam malah merapatkan hubungan persaudaraan dan perpaduan masyarakat.

Menurutnya, kebiasaan, kos berkhatan sekitar RM250 hingga RM280, tetapi hari ini (semalam) semua peserta dikhatankan secara percuma.

“Program ini bukan saja murah, malah lebih selamat berikutan dilakukan pegawai perubatan bertauliah selain dengan kerjasama Pemuda Umno Sekijang kerana kami hendak mereka lebih dekat  dengan kanak-kanak ini.

“Selain itu, kita mendapat kerjasama daripada Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Mokhtar Ahmad dan Balai Bomba Bandar Putra pada majlis hari ini (semalam),” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sekijang yang juga Naib Ketua Umno Sekijang, Anuar Abdul Manap; Ketua Pemuda Umno Sekijang, Salleheen Mohamad dan Timbalan Ketua Umno Sekijang, Alus Kassim.

Remaja perempuan 14 tahun ditemui mati di sawah padi dekat Alor Setar – Berita Harian


Remaja perempuan 14 tahun ditemui mati di sawah padi dekat Alor Setar

2013/12/01 – 11:31:41 AMCetakEmel Kawan
Alor Setar: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditemui mati di kawasan bendang padi di Alor Senibong, dekat sini, dipercayai dibunuh.

Mayat mangsa ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di lokasi kejadian kira-kira jam 3.45 petang semalam, sebelum ia dimaklumkan kepada polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, ketika ditemui mengesahkan kejadian itu. Berdasarkan maklumat, katanya mangsa keluar dari rumah bersama dua adik perempuannya berusia tiga dan 12 tahun pada malam 29 November lalu, sebelum mayatnya ditemui petang semalam.

“Buat masa sekarang polis masih menyiasat kes terbabit dan pihak kami menunggu laporan hasil bedah siasat dilakukan untuk mengetahui punca kematian.
“Kita akan mengambil kira semua aspek dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, usaha mencari dua lagi adik mangsa yang masih hilang diteruskan dan polis turut menggunakan khidmat skuba serta anjing pengesan untuk mencari dan menyelamat di sekitar kawasan sungai berhampiran.

Kerajaan Kedah beri sebulan supaya henti kutipan derma – Mukhriz – Berita Harian


Kerajaan Kedah beri sebulan supaya henti kutipan derma – Mukhriz

2013/12/01 – 11:35:02 AMCetakEmel Kawan
Alor Setar: Kerajaan negeri memberi tempoh sebulan kepada sekolah agama atau maahad tahfiz persendirian di Kedah untuk menghentikan semua aktiviti kutipan derma amal berunsurkan eksploitasi yang menggunakan pelajar majoritinya kanak-kanak.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata ini kerana kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan tindakan sedemikian dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk menghentikan operasi premis terbabit terutama yang tidak berdaftar.

“Tindakan tegas wajar diambil kerana sudah banyak laporan mengenai aktiviti mengeksploitasi kanak-kanak berkenaan diterima.

“Mereka ini asalnya datang ke maahad tahfiz untuk menuntut ilmu, namun disuruh mengutip derma…jadi kita akan ambil tindakan jika perlu,” katanya.

PEKELILING PERKHIDMATAN BIL. 37/2013 – Imbuhan Tahunan Dan Bayaran Khas Prestasi Tahun 2013 – JPA


PEKELILING PERKHIDMATAN BIL. 37/2013 – Imbuhan Tahunan Dan Bayaran Khas Prestasi Tahun 2013

E-mailCetakPDF

29 NOVEMBER 2013

Imbuhan Tahunan dan Bayaran Khas Prestasi ini akan dibayar pada 2 Januari 2014. Pembayaran adalah berdasarkan gaji bulan Disember 2013 atau gaji akhir bulanan yang diterima pada tahun 2013.

 

Muat turun: Pekeliling Perkhidmatan Bil. 37/2013